Adakah durian menggemukkan?

Berwarna kuning, berbau harum (meskipun ada yang kata busuk), berasa lemak manis, dan sesekali menggugat keimanan. Itulah dia, raja segala buah yang kaya dengan nutrien dan kalori, tidak lain dan tidak bukan DURIAN. Dikalangan masyarakat barat, durian mungkin merupakan sesuatu yang ‘taboo’ dan dipandang serong segenap masyarakat. Sampaikan ia dimasukkan ke dalam rancangan “Fear Factor”. Termuntah-muntah mat salleh tu nak makan Durian ni. Busuk sangat kah buah kesayangan orang Malaysia ini?

Teringat juga aku pada seorang pengacara rancangan Bizarre Food, Andrew Zimmern yang kerjanya “makan macam-macam”. Sekejap makan Tarantula yang masih hidup, sekejap makan mata babi, makan ginjal unta mentah-mentah, makan dan minum darah ular, makan cicak dan lipan goreng, tetapi apabila diberi kek yang berperisa durian, muntah serta merta macam orang kena diarrhea!

Tapi aku kagum juga dengan seorang lagi pengacara ‘jalan-jalan cari makan’ versi US, Anthony Bourdain. Berbeza dengan Andrew Zimmern, beliau lebih hebat dan rilek sahaja ketika menikmati durian di kepulaun borneo dalam salah satu episod rancangan “Anthony Bourdain: No Reservations“. Masih terngiang kata-kata beliau, “It’s creamy, sweet, tastes almost like caramel!

Teka teki aku tempoh hari. Lebih 90% memberikan jawapan “Durian“. Ternyata kome memang hantu deghoyaannnnn!

Berbalik kepada tajuk entri ini, benarkah durian itu menggemukkan? Aku tak mahu mengatakan jawapannya “Ya” sahaja, tetapi meletakkannya sebagai “Tidak, dengan syarat dimakan dengan berpada”. Ini adalah kerana, buah durian ini boleh dikatakan berkalori tinggi juga. Mengapa boleh jadi begitu? Mari lihat perbandingan nutrien antara buah durian dengan salah satu buah yang boleh dijadikan pengukur dalam menentukan sama ada buah itu berkalori tinggi atau tidak, iaitu buah pisang.

Perhatikan ruangan yang diwarnakan dengan warna biru pada jadual di atas, yakni ruangan lemak. Memandangkan dalam setiap 100g Durian mengandungi 5.3g lemak, ini bermakna terdapat pertambahan kalori kira-kira 47kcal, jika dibandingkan dengan kalori 100g pisang. Meskipun lemak yang terkandung dalam durian adalah dari jenis sihat, tetapi apabila dimakan secara tidak terkawal, bukan sahaja menyebabkan badan menjadi panas atau perut menjadi berangin (kerana tinggi kandungan sulfur), malahan boleh menyumbang kepada kegemukan. Namun ada yang beranggapan (hantu-hantu durian di luar sana) yang buah durian ni datang sekali sahaja setahun (bermusim), maka apa salahnya menikmati durian secara puaka. Itu sebenarnya terpulang kepada hak masing-masing. Malah aku sendiri pun hantu durian juga.

Selain kaya dengan sumber gula dan lemak, durian juga kaya dengan Vitamin C, Potassium, dan Tryptophan. Ini membuatkan ia tersenarai sebagai bukan sahaja makanan yang tinggi nilai G.I dan berkalori tinggi, tetapi juga kaya dengan mikronutrien sihat yang baik untuk tubuh badan manusia.

Trivia Pantas SS

1 – Bermacam-macam gelaran pada durian yang telah diberikan orang putih hanya disebabkan baunya yang tajam, dan kebanyakkan adalah “negatif” dan melampau-lampau. Beberapa gelaran yang popular adalah (baunya busuk) seperti “almond”, “bawang busuk/rosak”, “turpentin”, “kentut skunk” dan “stoking gym”.

2 – Seorang naturalist British pada tahun 1856, Russel Wallace pernah menyatakan beliau ragu-ragu untuk mencuba durian kerana aromanya, walaubagaimanapun pada suatu hari, beliau ternampak sebiji buah yang sudah masak gugur ke tanah. Didorong rasa ingin mencuba, diambilnya seulas (makan)… kemudian diambilnya lagi, dan lagi, dan lagi….

3 – Musim durian di semenanjung Malaysia kebiasaannya adalah sekitar Jun sehingga Ogos setiap tahun, dan selalunya hadir bersama-sama dengan musim manggis. Patutlah berlonggok-longgok durian sekarang ye yob?

4 – Tahukah anda? Berbanding saiz durian yang besar dan berduri, sebenarnya hanya kira-kira 25% peratus sahaja yang mewakili bahagian yang boleh dimakan. Selebihnya? Buang dalam tong sampah, atau tanam di belakang rumah buat baja kompos (kononnya lah).

5 –  Tahukah anda? Supplemen “Dur-India” yang dipasarkan pada tahun 1920-an oleh Durian Fruit Products, Inc. (NYC) adalah berasaskan durian!

6 – Sejak turun temurun lagi, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi dinasihatkan agar tidak “mata-kedarah” (makan tidak berpada) durian sesuka hati mereka. Apa rasionalnya ya?

7 – Satu kajian oleh University of Tsukuba di Jepun mendapati kandungan sulfur yang tinggi dalam durian menghalang aktiviti enzim aldehyde dehydrogenase, menyebabkan badan sukar untuk membuang toksin (dari badan) sebanyak 70% berbanding biasa!

8 - Uniknya bau dan rasa durian itu kerana Sulfur, wujudnya kesan sampingan makan durian juga adalah kerana Sulfur. Bayangkan, dalam seulas durian sahaja mengandungi 16 jenis sebatian Sulfur yang berbeza. Selain itu, seulas durian juga mengandungi beberapa sebatian Ketones, Ester, Alkohol dan Asid Lemak, menjadikan jumlah keseluruhan sebatian secara purata dalam seulas durian adalah 63 jenis – kesemuanya bersifat “Volatile” atau senang berubah kepada bentuk gas dalam suhu bilik. Campuran ke semua sebatian ini menjadikan bau dan rasa durian itu sangat unik dan “distinctive”. It is like a food with 63 different flavours! (sumber: Wong K.C., Tie D.Y. 1995. Volatile constituents of durian (Durio zibethinus Murr). Flavour Fragrance J. 10: 79-83)

9 - Alkohol dalam durian tidak menyebabkan durian itu haram dimakan. Ini kerana alkohol tersebut terhasil secara semulajadi dan kandungannya juga adalah amat kecil untuk memabukkan (sumber: e-fatwa.gov.my)

Semalam aku pergi ke pasar malam, kebetulan ternampak pula durian borong yang telah dikopek dan dibungkus siap-siap sebegini (sesuai untuk orang malas macam aku). 4 paket = RM10. Apa lagi, tanpa membuang masa aku pergi menghampiri pak cik penjual tu sambil mengeluarkan sekeping not berwarna merah dari dompet. Kalau anda nak tahu, ada dalam +500kcal lebih juga jumlah kalori dari keempat-empat paket durian ini. Tapi hati cakap “Tak apa, bukankah esok nak workout?” Boleh katakan ni carbo-loading la juga eh? Makan selepas Subuh gitu. Nyummy!

Pergghhh, biar benar, Susu Sejat buat carbo-loading dengan durian, tak pernah dibuat dek orang tu! ;)


17 thoughts on “Adakah durian menggemukkan?

  1. haha…kan btl jawapannya durian..pg td dgr radio sinar, kebetulan topik yg sama tentang durian ni. Ada sorang pemanggil tu bg petua, lepas makan durian, minum air garam sikit untuk elak daripada ‘kembung’ atau ‘angin’..mgkin ni petua baru untuk yg hantu durian..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>