Adaptasi Tubuh Badan

Kenapa berat saya dah tak nak turun ni? Haritu turun sampai 5kg, tapi sekarang ni… hurmm.. hurmm..” >:/

Biasa tak anda jumpa soalan di atas? Atau mungkin anda sendiri turut pernah mengeluarkan soalan yang sama sebelum ini? Walau apa pun jawapan anda, saya percaya soalan ini tidak akan berhenti sampai di sini. Sebagai contoh…

Buntu: Mereka yang pernah berdepan dengan masalah ni mesti jadi buntu dan gelisah. Mengalahkan pasangan kekasih yang putus bercinta sedihnya. Stress nya pula jangan cakaplah, mengalahkan beban kerja berlonggok-longgok dari boss.

Paranoid: Paling kurang dalam sehari, mesti 3 kali dia pijak alat penimbang. Itu paling kurang, paling banyak tak tau lah banyak mana. Lagi lama angka KG tu tak nak turun, lagi kerap dia pijak penimbang. Lama-kelamaan spring dalam alat penimbang pun rosak sebab selalu kena pijak dengan dia; lepas tu dia salahkan pula alat penimbang tu, kononnya sebab itu angka KG tak gerak-gerak.

Terdesak: Lepas tu, datang pula seorang rakan dok hasut, “weh, hang kena cuba jugak produk jus susu gajah ni, bla bla bla… berkesan.. bla bla bla bergetah… bla bla bla.. kita ikhtiar, Allah yang menentukan, betul dak?“. Kawan yang terdesak tu pun setuju. Sekali angkat, sebotol nak dekat RM500 (Mahal sebab harga non-member katanya).

Ilmu???: Ini perkara paling last dia akan ‘Google’ atau pergi ke library, MPH, Popular, untuk cari buku-buku yang berkaitan.

Biasa tak jumpa situasi-situasi di atas????

Puncanya dari “angka KG tak mahu turun lepas turun beberapa kilo”. Tapi implikasi yang menyusul selepasnya itu mengalahkan masalah dunia. Agak-agaknya lah, kenapa angka KG tu dah tak mahu turun? Bukannya apa, kalau kita tak tahu punca sesuatu peristiwa, macam mana kita nak cari solusi untuk masalah tu, betul tak? Ini perkara paling basic yang semua kena tahu. Sebab tu nak buat apa-apa sekalipun, knowledge first.. knowledge must ALWAYS come first.

Fakta #1: Badan Manusia sensitif dengan perubahan

Badan manusia mudah menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan. Contohnya, Orang Kanada datang Malaysia, pada awal-awal saja akan mengadu panas, “Oh My God, this is very hot!” Gitu katanya. Mat saleh dan minah saleh yang jenis mandi sekali sehari pun akan mandi sampai 10 kali. Pakai baju pun dah macam tak cukup kain. Tapi cuba tengok apa yang berlaku selepas 2 minggu? Dia akan berhenti mengeluh.

Begitu juga dengan orang Malaysia yang nak pergi bercuti sebulan dua di UK untuk musim sejuk. Ketika sampai sana pertama kalinya, mengadu sejuk bukan main sampai pakai baju pun 5-6 lapis (dalam banyak-banyak lapis tu, ada singlet cegah boroi), tapi bila dah lama menetap di sana, pakai singlet (cegah boroi) dengan selipar jepun ‘Tat Sing’ untuk pergi beli makanan di seberang jalan pun tak ada masalah.

Bila balik semula ke Malaysia, ironinya dia mengadu pula Malaysia ni panas macam neraka (padahal dah pernah tinggal di Malaysia bertahun-tahun). Tapi cuba tengok apa yang berlaku selepas 2 minggu? Dia akan kembali ‘selesa’ dengan suhu Malaysia.

Sebab apa situasi-situasi di atas boleh berlaku? Betul! Sebab badan manusia mudah menyesuaikan diri.

panas

Situasi ini juga sama dengan pemilihan diet dan latihan/senaman. Kalau kita selalu melakukan senaman yang sama, ia dah tak jadi “senaman khusus”, sebagai contoh senaman untuk membakar lemak, tetapi statusnya akan menjadi “senaman rutin”. Masih juga bagus untuk total fitness dan kesihatan jantung, tapi jangan harapkan ia membantu mempertingkatkan sesuatu yang khusus seperti untuk turunkan berat, bina otot, tingkatkan koordinasi motor, dan sebagainya.

Begitu juga dengan pola pemakanan anda. Jika mengambil makanan yang sama setiap hari, dengan jumlah kalori yang sama, badan akan mudah untuk menyesuaikan sistem tenaga dengan pola pemakanan tersebut.

Fakta #2: Turun berat badan adalah sesuatu yang merugikan (kata tubuh badan)

Meskipun turun berat badan merupakan sesuatu yang kita mahu, hakikatnya badan kita selagi boleh ‘tak mahu’ untuk kehilangan jisimnya. Menurut tubuh badan, kedua-dua otot dan lemak adalah sama penting. Otot untuk bantu kita buat kerja, lemak pula sebagai simpanan tenaga atau dalam bahasa gadget hari ini, ia adalah ‘powerbank’ untuk tubuh badan apabila sumber ‘bateri’ utama (glycogen) mula berkurangan. 

Oleh itu turun berat badan akan dianggap sebagai sesuatu yang merugikan oleh tubuh badan kita sendiri. Ini adalah petanda yang kurang baik dan seboleh-bolehnya mahu dielakkan. Implikasinya, cara badan membakar nutrien untuk mendapatkan tenaga akan diperlahankan. Apabila sampai ke tahap ini, anda akan melalui satu fasa yang dikenali sebagai ‘plateau’.

powerbank

Apabila kita sudah kenal dengan cara badan menyesuaikan diri, barulah kita boleh rangka satu strategi untuk mengatasi masalah “angka KG tak bergerak-gerak” tu. Sebelum terlupa, fakta-fakta di atas tidak terhad untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan, tapi untuk semua perkara yang melibatkan tubuh badan kita.

Antara strategi paling biasa dilakukan, anda perlu terus mencabar diri supaya badan tidak cepat menyesuaikan diri. Sebagai contoh, kalau dah cuba mengamalkan satu diet untuk menurunkan berat badan tanpa senaman (kira kalori), bila dah capai tahap ‘plateau’ tersebut, cubalah cabar metabolisma anda pula menerusi bersenam. Sama kesnya kepada mereka yang ingin menambah berat badan menerusi latihan pemberat. Kalau hari ini mampu angkat 10kg untuk curl, bulan depan pun janganlah masih angkat 10kg, kalau tidak sampai bila nak nampak hasil?

Selain itu, anda juga boleh melihat beberapa tip dalam mengatasi ‘plateau’ (diet) di sini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kesan adaptasi tubuh badan

Seperti yang telah diberitahu, adaptasi tubuh badan itu penting untuk tujuan survival; sebagai contoh ia membantu badan dari kehilangan lebih banyak otot dan lemak – susut kedua-duanya merupakan sesuatu yang merugikan pada tubuh badan kita. Tapi saya percaya ramai yang ‘tak suka’ dengan cara badan bekerja ini. Untuk membuka mata anda akan kepentingan adaptasi tubuh badan, biarlah saya buka beberapa lagi cerita.

Pertama, kebolehan untuk berlari dengan lebih lama. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan tak pernah bersenam akan mendapati sukar untuk berlari walaupun untuk tempoh 5 minit. Keluhan paling biasa, rasanya semput macam nak mati. Walaubagaimanapun, golongan ini ada motivasi (turunkan berat badan) yang “push” diri mereka supaya hari demi hari, mereka boleh lari lebih dari 5 minit atas alasan boleh membakar lebih banyak kalori. Larian pula biasanya akan diselang selikan dengan jalan (bila rasa tak cukup nafas). Hasilnya, badan mereka tidak sempat untuk menyesuaikan diri kerana perubahan intensiti sentiasa berlaku di setiap sesi senaman.

Sampai satu masa, individu tersebut mampu berlari hingga berpuluh-puluh minit lamanya. Ketika ini faktor-faktor lain pula menjadi “had” kepada progres tersebut seperti kepenatan, atau sudah selesa dengan satu-satu pace atau kelajuan. Disebabkan sudah tidak ada “progres” baru atau cabaran baru, berat badan tidak lagi turun dengan mendadak kerana badan telah berjaya menyesuaikan diri dengan aktiviti berlari itu sendiri (badan sudah mengecil supaya kelajuan larian/pace yang dikehendaki tercapai). Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri sekitar 6 tahun yang lalu.

running

Kedua, disebabkan adaptasi tubuh badan juga, tidak semua yang pergi kerja berjalan kaki (naik LRT) ke pejabat mampu menurunkan berat badan, yang mana purata jarak berjalan kaki sehari sekitar 2-3km. Ini kerana “senaman” ini (seperti mana ramai yang memanggilnya) bukan lagi senaman yang “khusus”, sebaliknya adalah “rutin” – benda normal yang kita buat setiap hari sama seperti mandi, makan, solat, tidur, itu semua rutin.

Namun bila saya berkata begini, lepas ini jangan lah pula ada yang terus berhenti mengamalkan amalan ini. Meskipun sudah menjadi rutin, ia tetap amalan yang bagus dalam mengekalkan kesihatan jantung (pencegahan). Cuma jangan terlalu berharap ia membantu anda membakar lemak, itu saja. Cuba pelbagaikan lagi aktiviti senaman supaya badan sentiasa terkejut, dan kalau boleh, dapatkan nasihat dari mereka yang pakar (doktor, jurulatih kecergasan) sebelum memulakan sebarang aktiviti riadah.

Sekarang anda faham, mengapa kadang-kadang anda sukar untuk meneruskan sesuatu rentak kemajuan? Semoga apa yang dikongsikan dalam entri ini membantu anda semua memahami konsep penyesuaian diri oleh tubuh badan dengan lebih baik, dan kaitannya degan apa yang anda sedang lakukan. Tidak kira apa matlamat anda, suka atau tidak, proses adaptasi tubuh badan itu tetap ada. Selamat bermuhasabah diri dari saya.

Nota: Sejak beberapa minggu yang lalu, saya sudah menerima stok baru Diari Diet. Ia adalah “planner” harian yang membantu merekod dan membimbing diet, di samping turut mengandungi nota-nota berkaitan diet. Kepada sesiapa yang berminat untuk memilikinya, bolehlah menghantarkan tempahan ke email sususejat[at]gmail.com atau PM terus saya di Facebook.

Kepada yang berminat menyertai seminar memantapkan ilmu diet dan senaman, ‘Sihat Holistik’, bolehlah menghubungi En. Bahagia (013-7277007). Masih ada kekosongan lagi untuk lokasi-lokasi berikut: Kemaman – 12 September 2014; Kuala Terengganu – 13 September 2014; Melaka – 20 September 2014. Maklumat lanjut boleh rujuk di sini.

Comments

  1. By Nurul

    Reply

  2. By muhammad

    Reply

  3. By muhammad

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *