Baca label ramuan sebelum beli

Daripada soal selidik rambang yang dijalankan aku hari ini, 58% mengatakan bahawa mereka wajib membaca label dahulu sebelum membeli sebarang produk. 40% pula mengatakan bahawa mereka hanya kadang-kadang sahaja membaca label sebelum membeli, dan kadang-kadang mereka tak ambil kisah. Cuma seorang sahaja yang tidak akan membaca label sebelum beli dan mempercayai jenama yang dibeli bulat-bulat.

Sampel untuk soal-selidik ini mungkin sedikit ‘bias’ dan tidak boleh mewakili masyarakat negara kita keseluruhannya memandangkan kesemua responden (67 orang) adalah terdiri daripada pembaca blog SS. Ini sekaligus menunjukkan bahawa hampir ke semua pembaca blog SS mempunyai kesedaran akan kepentingan membaca label terlebih dahulu sebelum membeli apa-apa produk makanan. Syabas!

Isu kali ini dibangkitkan bukanlah apa, tetapi lebih kepada pengembangan tajuk yang sama yang pernah aku kupas dalam ruangan Kelas Kalori dahulu. Dalam entri tersebut ada dinyatakan bagaimana seseorang boleh memahami maklumat yang terdapat dalam kotak “Fakta Nutrisi” (aku gelar sebagai distribusi makro dan mikro nutrisi) selain dari mengetahui berapa banyak kalori yang terkandung dalam makanan tersebut untuk satu-satu hidangan. Ini perkara paling utama harus dibelek sebelum anda membeli sesuatu produk berasaskan makanan.

Namun terdapat perkara kedua penting yang harus dipertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk membeli produk tersebut. Perkara itu juga merupakan elemen utama yang menentukan status halal atau haram sesuatu makanan andaikata pengesahan halal tidak tertulis pada pek tersebut (berguna buat masyarakat Islam yang menetap di luar negara). Perkara tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah “Senarai Ramuan” atau “Ingredients“.

Kebiasaannya, penulisan senarai ramuan ini disusun berdasarkan jumlah komposisi, semakin banyak ramuan tersebut digunakan dalam membentuk produk tersebut, maka ia akan dinyatakan dahulu. Sebagai contoh, dalam produk roti, senarai ramuan yang akan dinyatakan (ditulis), pertama sekali, semestinya tepung gandum kerana ia digunakan dalam jumlah yang besar untuk membentuk roti, dikuti dengan bahan-bahan lain. Pewarna/perisa/penstabil makanan biasanya ditulis paling akhir dalam senarai kerana ia digunakan dalam jumlah yang kecil. Tidak percaya? Sila ke dapur sekarang dan semak pek bungkusan roti anda.

Sama kesnya juga dengan produk biskut Oreo di bawah. Bahan utamanya adalah tepung (Enriched Flour, dipecahkan lagi disitu kepada beberapa komponen), maka ia akan dinyatakan terlebih dahulu, diikuti dengan bahan yang kedua terbanyak (gula/sugar), ketiga (high fructose corn syrup), keempat (canola oil), seterusnya beberapa bahan lagi, sehinggalah yang terakhir, yang paling sedikit digunakan iaitu Perasa Tiruan (Artificial Flavor).

Bila dah faham cara baca ramuan makanan..

Maka anda boleh masuk ke fasa yang seterusnya iaitu mengaplikasi pengetahuan di atas, dan gunakannya dalam menilai senarai ramuan yang digunakan dalam membentuk makanan tersebut. Untuk memudahkan skop pemahaman, aku hadkan perbincangan kali ini dengan produk pelangsingan, a.k.a produk kesihatan untuk kurus dan berbagai lagi. Tidak mahu berbicara soal MLM atau hal yang berkaitan, aku hanya mahu fokus pada isu label dan ramuan sahaja.

Dewasa ini negara kita dibanjiri dengan berbagai produk kesihatan. Pengguna tertarik untuk membeli berdasarkan faedah yang ditawarkan produk tersebut, ini semua lumrah. Tetapi, isu yang perlu kita fikir di sini sekarang adalah, berapa ramai yang baca dahulu label sebelum membeli produk tersebut? Apakah dengan dengar apa yang dikatakan oleh si juru jual itu sudah cukup? Adakah jurujual tersebut betul-betul tahu setiap bahan kimia yang tertulis pada label ramuan tersebut?

Awal Mac tempoh hari kita sudah digemparkan dengan penarikan sebuah produk pelangsingan berasaskan ‘Acai Berry’ yang dirampas oleh JAKIM dan KMM kerana produk berkenaan mengandungi `Sibutramine Hydrochloride’. Jika anda membaca Surat Khabar semalam, sebuah lagi produk pelangsingan oleh sebuah syarikat terkemuka di Malaysia sudah dirampas kerana dipercayai mengandungi racun berjadual yang diharamkan.

(klik untuk besar)

Keratan akhbar hari ini mendedahkan syarikat yang dimaksudkan.

(klik untuk besar)

Persoalannya di sini, adakah pembeli (yang pernah beli) produk-produk yang dinyatakan di atas baca dan faham akan isi kandungan, senarai ramuan produk tersebut. Berdasarkan level pengetahuan masyarakat di Malaysia ketika ini, aku percaya jawapannya “TIDAK BACA atau TIDAK FAHAM atau kedua-duanya sekali”.

Contoh Aplikasi Membaca dan Memahami Label.

Berikut (gambar di bawah) adalah contoh sebenar senarai ramuan sebuah produk pelangsingan yang agak popular di negara kita pada ketika ini. Jenama produk ini dirahsiakan atas tujuan keselamatan. Dan aku sama sekali tidak ada niat untuk menjatuhkan bisnes mana-mana pihak, kerana jika aku sendiri berada di tempat mereka, aku juga tidak suka diperlakukan sedemikian. Biarlah contoh ini digunakan untuk tujuan ilmu, untuk memberitahu pengguna akan kepentingan membaca dahulu label sebelum membeli apa-apa produk. Anda nilailah sendiri baik buruknya.

Katakan anda hendak membeli sebuah produk pelangsingan di bawah satu jenama (katakanlah). Anda juga adalah seorang pembeli yang membaca label terlebih dahulu sebelum membeli apa-apa produk makanan, justeru menyedari bahawa produk yang bakal anda beli mengandungi “Silicon dioxide” (SiO2). Mungkin ada segelintir yang tak tahu, terlepas pandang, atau mungkin tak baca langsung label, maka mereka terus membeli dan percaya apa saja yang diperkatakan si jurujual. Namun anda mengambil keputusan untuk tunggu dulu, sebaliknya mendapatkan terlebih dahulu maklumat berkenaan SiO2.

Dari pemahaman aku, SiO2 adalah apa yang kita kenali sebagai pasir ‘silica’. Ianya digunakan secara meluas dalam penghasilan produk kaca. Ia juga digunakan sebagai ‘additive‘ dalam industri penghasilan makananan berserbuk agar makanan tersebut bersifat serbuk macam pasir (flow agent) dan tidak berketul-ketul. Aku percaya, kewujudan SiO2 dalam produk di atas adalah sebagai flow agent /anticaking.

Berikut adalah beberapa lagi info berkenaan SiO2 (Silicon):

1 – Statusnya sebagai “essentials mineral” yang diperlukan manusia masih samar-samar. Meskipun terdapat hubungkait yang mungkin menunjukkan ia sebagai keperluan penting untuk tulang, kulit, rambut dan kuku, tetapi mekanismanya masih tidak diketahui. Saintis juga tidak dapat pasti dengan tepat berapa jumlah Silicon yang diperlukan manusia dalam sehari. (Rujukan PubMed)

2 – Sehingga kini, manusia memerlukan Silicon atas sebab perubatan (tujuan merawat). Sebagai contoh, Magnesium Trisilicate (Mg2O8Si3), mengandungi Silicon, bertindak sebagai antasid untuk mengurangkan rasa sakit ketika gastrik.

3 – Silicon juga digunakan ketika rawatan untuk Osteoporosis, juga penyakit yang berkaitan kerosakan rambut, kuku dan kulit. (Rujukan WebMD & PubMed)

4 – Silicon wujud secara semulajadi (dalam kuantiti yang kecil) dalam tumbuh-tumbuhan (daun, batang, akar), buah-buahan, kekacang dan beberapa sumber bijian.

5 – Manusia normal, sihat, tidak memerlukan apa-apa “produk buatan” yang mengandungi Silicon. Ini kerana kajian menunjukkan kesan toxicologi Silicon agak ketara jika diambil dalam kuantiti yang besar secara berterusan. Malah saintis masih tidak dapat merumuskan jumlah sebenar yang diperlukan manusia. Dipercayai keperluan Silicon yang terdapat dalam makan sebenar (semulajadi) sudah mencukupi buat manusia. (Rujukan WHO & Journal of Physics)

6 – Para pengidap penyakit gastrik juga tidak digalakkan untuk mengambil Magnesium Trisilicate untuk tempoh yang berterusan, dikhuatiri berisiko untuk mendapat batu karang dalam ginjal dan Osteoporosis (tulang rapuh). Komponen Silica bertanggungjawab di atas kesan sampingan ini. Berdasarkan info ini juga, adalah jelas bahawa satu-satu produk/ubat yang mengandungi Silicon tidak digalakkan untuk diguna secara berterusan (Rujukan WebMD)

Setelah menilai maklumat yang diperolehi, persoalan seterusnya akan datang kepada anda, sebagai pembeli. Adakah anda akan membeli produk tersebut? Keputusan ada di tangan anda.

Comments

  1. By masnita

    Reply

  2. By haha

    Reply

  3. Reply

  4. By Opie

    Reply

  5. By acik oya

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *