‘Basal Metabolic Rate’ (BMR) dan Online Kalkulator

Apa itu BMR?

Basal Metabolic Rate (BMR) adalah jumlah tenaga minimum yang digunakan oleh haiwan/manusia ketika dalam fasa rehat. Tenaga ini tidak merujuk kepada apa yang berlaku di luar badan manusia (seperti bersenam, angkat barang, berjalan, memasak, mandi atau aktiviti-aktiviti fizikal yang lain), tetapi lebih merujuk kepada apa yang berlaku DALAM BADAN MANUSIA (degupan jantung, pembaikpulihan sel, pencernaan makanan, bernafas, dan sebagainya). Dalam bahasa mudah, jumlah tenaga yang diwakili oleh BMR merupakan jumlah tenaga yang diperlukan oleh seseorang manusia apabila manusia itu tidur (atau koma) selama 24 jam sehari.

BMR vs RMR?

BMR (Basal Metabolic Rate) bermaksud ‘kadar metabolisma secara asas’, manakala RMR (Resting Metabolic Rate) bermaksud ‘kadar metabolisma ketika rehat’. Mungkin ramai yang terdengar mengenai 2 istilah ini sebelum ini, namun sedikit terkeliru akan maksud kedua-duanya. Secara matematiknya, nilai kedua-duanya adalah sama sahaja, atau hampir sama. Yang membezakan kedua-duanya adalah kaedah dalam menentukannya (nilainya).

BMR kebiasaanya diukur dalam ruangan yang gelap setelah individu yang diuji bangun dari 8 jam TIDUR DI TEMPAT KAJIAN (tempoh berpuasa keseluruhan adalah 12 jam) untuk memastikan bahawa sistem pencernaan mereka tidak aktif – individu-individu yang diuji juga diminta agar berada dalam posisi berbaring. Berbeza dengan BMR, RMR kebiasaannya diukur dalam situasi yang lebih longgar berbanding BMR di mana ia tidak memerlukan individu-individu yang diuji kaji bermalam ditempat kajian (tidak memerlukan tempoh berpuasa 12 jam) sebelum kajian dijalankan.

Nilai BMR adalah lebih tepat berbanding RMR memandangkan kaedah yang digunakan dalam menentukannya adalah lebih ‘ketat’ dan dipercayai/sahih.

Salah satu kaedah dalam menyukat nilai BMR/RMR adalah dengan merekod jumlah haba yang dikeluarkan menerusi pernafasan ketika rehat. Dalam gambar di atas, individu ini sedang menjalani analisa RMR. Sumber gambar dari blog Tim Morehouse.

 

Bagaimana BMR/RMR ditentukan secara saintifik?

Penghasilan tenaga oleh tubuh badan dikenali sebagai thermogenesis dan tenaga ini boleh diukur, sekaligus mendapatkan nilai BMR/RMR yang diperlukan. Tenaga ini diukur menggunakan analisa gas menerusi teknik ‘Calorimetry‘ dengan menggunakan ‘Calorimeter‘ (SS tidak akan membincangkan hal berkenaan ‘Calorimetry‘ di sini dengan lebih lanjut kerana ia pasti akan menyerabutkan lagi kepala otak anda).

Ice-calorimeter pertama (1782-83) ciptaan Antoine Lavoisier dan Pierre-Simon Laplace.

Bagaimana BMR ditentukan secara matematik?

Cara yang paling tepat dalam menentukan nilai BMR secara matematik adalah berdasarkan rumus yang melibatkan berat otot (lean body mass) sebagai salah satu pembolehubahnya. Namun cara ini agak merumitkan kerana ia memerlukan seseorang individu tersebut mengetahui terlebih dahulu komposisi tubuh badannya – berapa peratusan lemak badannya, berapa komposisi air dalam badannya, dan sebagainya. Oleh yang demikian, rumus-rumus lain yang mengganggarkan nilai BMR berdasarkan pembolehubah umur, jantina, berat dan ketinggian adalah lebih popular dan digunakan secara meluas.

Mengira nilai BMR yang paling hampir berdasarkan faktor-faktor metabolik (umur, jantina, berat dan ketinggian) merupakan tugas yang dilakukan oleh ahli sains sejak seabad yang lalu. Pada asalnya, ‘Rumus Harris-Benedict‘ yang telah diterbitkan pada tahun 1919 telah dijadikan rumus piawai dan digunakan secara meluas di seluruh dunia dalam menentukan nilai BMR sesuatu organisma berdarah seperti manusia. Ia terus diguna pakai sehinggalah pada tahun 1990, apabila Mark D Mifflin dan rakan-rakan telah menemukan sebuah lagi formula yang lebih tepat – Rumus ini diberi nama ‘Rumus Mifflin‘.

Rumus Harris-Benedict telah dibincangkan sebelum ini dalam ruangan Kelas Kalori Bahagian 1. Manakala ‘Rumus Mifflin’ adalah seperti berikut:

Untuk lelaki: (10 x b) + (6.25 x t) – (5 x u) + 5
Untuk wanita: (10 x b) + (6.25 x t) – (5 x u) – 161

di mana

b = berat dalam kg
t = tinggi dalam cm
u = umur

Persoalan mungkin akan timbul, yang mana satu perlu digunakan dalam diet mengira Kalori? Bagi SS, kedua-duanya merupakan formula yang bagus dalam memberikan anggaran nilai BMR yang hampir tepat. Namun, terdapat ramai pihak bersetuju bahawa Rumus Mifflin adalah lebih tepat berbanding Rumus Harris-Benedict, berdasarkan kekurangan berikut:

  1. Berdasarkan standard kajian pada masa kini, rumus Harris-Benedict tidak mengganggar nilai BMR, tetapi RMR semata-mata (ingat kembali perbezaan antara BMR dan RMR sebentar tadi). Ini kerana, individu-individu yang diuji pada masa itu tidak ‘bermalam’ di pusat kajian sebelum kajian dijalankan.
  2. Individu-individu yang diuji dalam kajian Harris-Benedict tidak merangkumi golongan obese, muda dan tua yang mencukupi. Apabila ini berlaku, ralat pengiraan pasti akan berlaku dengan ketara apabila seseorang individu itu terlalu berusia atau terlalu gemuk (obese).
  3. Apabila dibandingkan dengan rumus-rumus yang lain, rumus Harris-Benedict kebiasaannya memberikan anggaran yang terlebih, sekurang-kurangnya 5%. Sebagai contoh, anda akan menyedari bahawa nilai BMR yang diperolehi menerusi Rumus Mifflin adalah kurang sedikit nilainya (dalam -100kcal) berbanding Rumus Harris-Benedict.
  4. Untuk maklumat lanjut, anda boleh merujuk kajian David C. Frankenfield, et al (Journal of the American Dietetic Association, September 2003) dalam menentu-sahkan rumus-rumus RMR untuk mereka yang obese dan bukan obese.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, maka pembinaan struktur kalkulator BMR online yang disertakan dalam blog Susu Sejat dot Com ini (nampak tak, kat sidebar sebelah kanan tu) adalah berdasarkan Rumus Mifflin. Namun ditegaskan sekali lagi, tidak menjadi masalah sekiranya anda mahu mengira nilai BMR anda (dan DCR anda) secara manual menggunakan Rumus Harris-Benedict ketika mengamalkan Diet Mengira Kalori (rujuk ruangan Kelas Kalori Bahagian 1). Tepuk dada, tanya selera.

Maka dengan ini, saya merasmikan Kalkulator BMR/DCR online Susu Sejat dot Com. Selamat berdiet!

Bacaan Lanjutan Berkaitan:
Kelas Kalori
Kisah Metabolisma (Bahagian 1)

Comments

  1. By eose

    Reply

    • Reply

  2. By eose

    Reply

    • Reply

  3. By anna zhana

    Reply

  4. By eliza

    Reply

  5. By yati

    Reply

  6. By nad

    Reply

    • Reply

      • By nad

        Reply

  7. By Aribah Aida

    Reply

  8. By kaer amrie

    Reply

    • Reply

  9. By m****ee

    Reply

    • Reply

  10. By Jazlin

    Reply

    • Reply

  11. By ooaea

    Reply

    • Reply

  12. By putri_syu

    Reply

  13. By ani

    Reply

    • Reply

  14. By chroniches

    Reply

    • Reply

  15. By ani

    Reply

  16. By Rabia

    Reply

  17. By Nora

    Reply

    • Reply

  18. By syazanna azaman

    Reply

    • Reply

  19. By WaReMoN

    Reply

    • Reply

      • By WaReMoN

        Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>