Berat Tak Turun, Tetapi Saiz Makin Menyusut

Terdapat beberapa permasalahan berkaitan interpretasi kemajuan apabila melibatkan komposisi tubuh badan. Antara permasalahan paling biasa berlaku adalah apabila seseorang itu terlalu mengambil berat terhadap pergerakan angka Kilogram atau KG. Namun, tidak pernah sesekali untuk mereka mempertimbangkan kemajuan ‘diet’ berdasarkan perubahan positif terhadap komposisi tubuh badan.

Golongan ini lazimnya terkejut besar apabila mendapati setelah sekian lama berdiet, berat mereka didapati semakin lambat untuk bergerak turun. Kadangkala masalah ini mendatangkan tekanan perasaan yang tidak dijangka.

Walhal dalam mereka resah dibelenggu masalah yang mereka faham sebagai PLATEAU ini, mereka tidak sedar baju-baju yang dipakai semakin lama semakin melonggar!

Untuk pengetahuan anda semua, apa yang dialami dalam situasi ini sebenarnya adalah sesuatu yang normal.

Dalam kes ini, terdapat penyusutan tisu adipos (penyusutan sel lemak), tetapi jisim otot tidak berubah atau mungkin sedikit bertambah. Situasi ini merupakan sebahagian daripada proses ‘remodeling’ otot, lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu melakukan rutin senaman yang tidak biasa dilakukan sebelum ini.

Bagi memahami apa yang berlaku, kita harus mengetahui satu fakta penting iaitu jisim otot adalah lebih tumpat berbanding jisim lemak.

Perhatikan perbandingan antara lemak dan otot seperti di bawah; 1kg lemak bersaiz lebih besar (makan ruang) berbanding 1kg otot.

Meskipun kedua-duanya mempunyai saiz yang berbeza, namun berat kedua-duanya sama iaitu 1kg. Justeru, boleh dikatakan tisu lemak ini mempunyai ketumpatan (density) yang lebih rendah berbanding tisu otot; situasi yang mirip dengan kapas dan batu, yang mana disebabkan kapas mempunyai ketumpatan yang rendah, maka 1kg kapas bersaiz lebih besar berbanding 1kg batu.

Apabila seseorang melakukan senaman atau latihan bebanan ketika menurunkan berat badan, proses adaptasi tubuh badan akan berlaku. Menerusi adaptasi ini, badan akan membina lebih banyak tisu otot sebagai persediaan sekiranya individu berkenaan perlu berhadapan dengan latihan yang sama di masa akan datang.

Sekiranya pertambahan jisim otot ini berlaku, maka badan berpeluang untuk membakar lebih banyak lemak badan berikutan peningkatan keperluan tenaga ketika fasa rehat.

Dari masa ke masa, jisim otot yang lebih tumpat akan bertambah, namun jisim lemak yang kurang tumpat pula akan terus menyusut.

Oleh yang demikian, jumlah berat badan yang menurun tidak akan nampak begitu ketara, sedangkan ‘saiz badan’ sedang/ telah menyusut. Penyusutan saiz ini disumbang oleh penyusutan saiz tisu lemak yang hanya banyak memakan ruang, sedangkan ia tidaklah setumpat atau seberat otot.

Justeru, penurunan 1kg lemak sahaja sebenarnya sudah mampu memberi kesan yang amat ketara dari segi rupa saiz tubuh badan berbanding penurunan 1kg otot atau air yang sememangnya tidak memberikan perbezaan yang ketara dari segi saiz fizikal.

Hal ini menjelaskan mengapa seseorang yang kehilangan 1kg lemak akan mengalami perubahan saiz tubuh badan yang ketara lalu membuatkan baju yang dipakai semakin longgar. Sedangkan perubahan 1kg tersebut kurang signifikan dari perspektif bacaan KG (contoh, penurunan berat badan dari 80kg kepada 79kg).

Bagaimana kita dapat mengenal pasti bahawa ketika fasa ‘PLATEAU’ seperti ini, penurunan jisim yang berlaku ialah lemak dan bukannya jisim yang berharga seperti otot dan tulang?

Antara kriteria yang boleh diambil kira adalah seperti berikut:

  1. Kadar penurunan berat yang tidak terlalu ketara – Secara purata, tidak melebihi 2kg sebulan. Kalau lebih, besar kemungkinan yang turun itu ialah “fat free mass” seperti air, otot dan tulang.
  2. Baju/seluar semakin longgar – Saiz pinggang semakin menyusut walaupun penurunan berat badan yang tidak banyak.

Justeru, antara tip/ strategi yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

  1. Penurunan KG dan penurunan Jisim Lemak (Fat Mass / FM) ialah 2 perkara yang berbeza. Penurunan 1kg FM sudah mampu memberi perbezaan ketara dari segi rupa saiz tubuh berbanding penurunan 1kg berat badan.
  2. Abaikan penurunan pertama 5kg hingga 10kg berat badan ketika minggu pertama anda memulakan diet/ senaman untuk menurunkan berat badan; ini hanyalah penurunan berat air sahaja.
  3. Sasarkan penurunan berat badan tidak lebih daripada 2kg sebulan setelah 2 minggu anda memulakan diet/ senaman untuk menurunkan berat badan. Elakkan tabiat mensasarkan penurunan berat yang terlalu pantas dalam tempoh yang singkat.
  4. Jangan guna satu indikator sahaja. Gunakan sekurang-kurangnya 3 indikator dalam memantau kemajuan. Saya cadangkan selain menggunakan indikator Berat Badan (KG), gunakan juga indikator Ukur Lilit Pinggang (cm/ inci) dan Peratusan Lemak Badan (BF%).

#####

Artikel ini diolah semula daripada salah satu topik dalam Buku PLATEAU: Merungkai Sains Penurunan Berat Badan. Jika anda sukakan penulisan ilmiah yang santai seperti ini, anda boleh dapatkan buku ini sementara stok masih ada (stok terhad); klik sini (Whatsapp) atau anda juga boleh mendapatkannya di laman Shopee dan laman Onpay rasmi Susu Sejat. Dijamin berbaloi dan mudah faham!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *