Apa Bezanya “Protein Whey”, “Asid Amino”, & “BCAA” ?

Apakah perbezaan di antara suplemen “Protein Whey”, “Asid Amino”, dan “BCAA” (Branched Chain Amino Acids)? Yang mana satukah perlu saya ambil atau utamakan terlebih dahulu?

Saya percaya soalan-soalan seperti ini akan bermain di fikiran anda semua apabila memilih suplemen untuk diambil selepas latihan / senaman. Lebih mendukacitakan apabila jawapan yang diterima daripada sale assistant juga tidaklah membantu mana. Seolah-olah nak suruh kita angkut semua suplemen tu…!

Jangan khuatir kerana artikel ringkas ini akan membantu anda untuk merungkai persoalan tersebut. Namun  untuk mengupas soalan ini dengan lanjut, kita terlebih dahulu perlu memahami struktur dan fungsi setiap komponen protein di atas.

Protein whey” adalah sejenis protein yang berasal dari susu. Ia mengandungi hampir semua jenis asid amino yang diperlukan manusia, antaranya termasuklah sembilan Asid Amino Perlu atau Essential Amino Acids (EAAs) yang tidak boleh dihasilkan sendiri oleh manusia.

Asid amino dalam protein whey terikat antara satu sama lain membentuk rantaian polipeptida panjang.

Berbeza untuk suplemen “Asid amino” (EAAs), asid-asid amino yang terkandung di dalamnya adalah bentuk bebas (tidak terikat atau free-form) justeru lebih mudah dan cepat diserap.

Branched Chain Amino Acids atau “BCAA” pula adalah sekumpulan asid amino yang mana mereka semua terikat secara bercabang (branched), dan bukannya secara jujukan berterusan (continuous). Kebiasaannya, 3 jenis asid amino akan terkandung dalam BCAA iaitu Leucine (paling banyak, sebab paling penting untuk sintesis protein), Isoleucine dan Valine. Ketiga-tiga asid amino ini merupakan sebahagian dari sembilan asid amino perlu.

Justeru, apabila dibandingkan ketiga-tiga jenis suplemen ini, secara teknikal ketiga-tiganya akan mengandungi asid-asid amino essentials atau perlu, namun yang membezakan mereka adalah bilangan dan jenisnya.

Celoteh Susu Sejat

Protein whey sudah pasti mengandungi semua EAAs yang diperlukan manusia, di samping asid-asid amino yang lain (non-essentials).

Suplemen asid amino pula hanya menyasarkan beberapa EAAs tetapi dalam bentuk bebas (mudah dan paling cepat di serap apabila diminum, berbanding suplemen protein).

BCAA pula hanya menyasarkan 3 jenis asid amino yang benar-benar penting untuk tujuan pemulihan otot selepas bersenam/bersukan iaitu Leucine, Isoleucine dan Valine.

Yang mana satu sebenarnya yang perlu diambil sebagai makanan tambahan? Itu bergantung kepada keperluan anda. Sekiranya anda adalah seorang amatur dalam sukan/senaman, suplemen protein whey sahaja sudah memadai kerana ia mengandungi semua EAAs, termasuklah BCAA.

Sekiranya anda seorang atlit profesional, bolehlah dipertimbangkan mengambil BCAA kerana barangkali bilangan Leucine yang terkandung dalam protein whey tidak mencukupi untuk menampung pemulihan otot (anabolisma) sesuai dengan intensiti latihan yang dilakukan.

 ==========

Artikel ini merupakan salah satu topik yang dibincangkan dalam Siri Buku Celoteh Susu Sejat (CSS) Edisi ke-3 iaitu “Diet dan Nutrisi“. Jika anda sukakan penulisan ilmiah yang santai seperti ini, dapatkan siri buku CSS ini segera sementara stok masih ada; klik sini (Whatsapp) atau sini (Facebook).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *