Daun Kari beri keperluan Kalsium harian?

Baru-baru ini, saya menerima mesej (soalan) dari salah seorang pengikut di FB Susu Sejat. Soalannya adalah seperti berikut:

Assalammualaikum encik susu sejat

Baru baru ni viral kat facebook kata 5 helai dauh kari boleh cukup bekalkan keperluan kalsium sehari. Betulke.. ?

Berikut adalah jawapan saya:

Daun kari (Pokok kari) atau nama saintifiknya Murraya koenigii atau Bergera koenigii, merupakan salah satu komponen rempah yang tidak asing lagi. Kita sedia maklum bahawa rempah tradisi ini sememangnya amat kaya dengan alkaloids yang mampu membawa manfaat kepada tubuh badan kita.

Cuma baru-baru ini, dikatakan telah viral suatu info yang mengatakan 5 helai daun kari sebagai ulam-ulaman mampu mencukupkan keperluan kalsium harian kita (atau dalam bahasa lain, bersamaan dengan 2 gelas susu berjenama Anlene lah). Sejauh manakah kebenaran info ini?

daun-kari

Untuk permulaan, saya lakukan tinjauan di Google untuk membaca sendiri teks ini. Dari tinjauan tersebut, saya dapati ‘fakta’ ini merupakan ‘fakta copy paste’ yang bertebaran di alam maya sejak tahun 2013-2014 lagi, tanpa sebarang rujukan. Barangkali ia menjadi VIRAL baru-baru ini kerana telah di viralkan oleh page-page tertentu.

Antara 'screen shot' yang saya jumpa. Barangkali penulis ini terlupa peranan susu lembu dalam budaya Masyarakat di India...

Antara ‘screen shot’ yang saya jumpa. Barangkali penulis ini terlupa peranan susu lembu dalam budaya masyarakat di India…

Sebenarnya, kesan positif kalsium dalam daun kari mula diperkenalkan menerusi satu kajian oleh Shah dan Juvekar (2006) yang merumuskan kesan inotropik positif (penggalak kontraksi) terhadap jantung katak, yang mana mungkin disebabkan oleh kewujudan kalsium di kawasan extra-cellular sel-sel kardiak. Kalsium merupakan agen utama dalam sistem kontraksi sel-sel myocyte di jantung (Bers 2000).

Selain Kalsium, daun kari juga mempunyai beberapa bahan lain seperti carbazole alkaloids, koenigin, girinimbin, dan mahanimbin, yang membawa ciri-ciri antioxidant, anti-nociceptive, anti-diabetes, dan lain-lain (Bhandari 2012, Jain et al. 2012).

Justeru dari segi khasiatnya, daun kari memang tidak boleh disangkal mampu membawa kesan positif terhadap kesihatan tubuh badan disebabkan oleh bahan-bahan aktif ini. Cuma persoalannya di sini adalah, benarkah kandungan kalsium dalam daun kari menyamai kalsium yang terdapat dalam sumber lazim seperti sumber tenusu?

Dalam beberapa review sistematik seperti Bhandari (2012) dan Jain et al (2012), tidak disebutkan bahawa kuantiti kalsium yang terdapat dalam daun kari ini adalah cukup signifikan untuk menjalankan tugasnya. Mereka hanya menyebut beberapa sifat daun kari ini dari sudut pharmakologikal dan medikal, serta berperanan sebagai anti-mikrobial dan anti-fungal. Ciri-ciri lain adalah seperti yang saya sebutkan sebelum ini.

Kenghe et al (2015) menganggarkan terdapat kira-kira 46.65 mg/L kalsium dalam beberapa tangkai daun kari yang dikeringkan secara optimum. Jumlah ini bagaimanapun masih terlalu jauh jika dibandingkan dengan kandungan kalsium dalam susu lembu iaitu kira-kira 1130mg/L (Data dari USDA).

kalsium-kari

Jadi bagaimana boleh dikatakan kalsium dalam 5 helai daun kari bersamaan dengan kalsium di dalam 2 gelas susu? Ini sama sekali langsung tidak tepat.

Untuk makluman, keperluan kalsium harian (RDA) yang disyorkan beberapa badan utama seperti NIH adalah kira-kira 1000mg sehari. Dari segi pertimbangan logiknya, saya fikir semua pakar pemakanan semestinya bersetuju yang susu adalah sumber kalsium terbaik buat manusia dan mampu memudahkan kita melengkapi keperluan 1000mg kalsium sehari ini.

Sumber: Office of Dietary Supplements, NIH.

Sumber: Office of Dietary Supplements, NIH.

Risk outweigh Benefit

Kesimpulannya, tidak dinafikan daun kari mampu membawa manfaat jika diambil sebagai ulam-ulaman (consumed) pada kuantiti yang kecil kerana ciri-cirinya sebagai antioxidant, anti-nociceptive, anti-diabetes dan lain-lain. Namun, sekiranya daun kari tersebut hanya digunakan sebagai bahan rempah dalam masakan (maksudnya, tidak dimakan atau 100% consumed) pada pandangan saya manfaatnya tidaklah terlalu signifikan.

Malah, kebaikan yang dibawa boleh daun kari juga boleh ditenggelamkan (outweighed) dengan faktor-faktor lain seperti cara masakan tersebut, dan dalam gambaran yang lebih luas, gaya hidup anda semestinya.

Dan akhir sekali, jumlah kalsium yang terdapat dalam daun kari langsung tidak setara dengan jumlah kalsium yang terdapat dalam susu haiwan seperti susu lembu atau susu kambing.

Untuk mendapat manfaat kalsium seperti 2 gelas susu, anda perlu mengambil kira-kira 100g daun kari sebagai ulam-ulaman (lebih kurang beberapa tangkai besar daun kari). Tetapi untuk berbuat demikian, anda perlu pertimbangkan pula kesan toxicology ‘overdose‘ bahan-bahan aktif lain yang terdapat dalam daun kari.

p/s: Sains, jika menggunakan logik akal semata-mata adalah teori. Teori perlu dibuktikan dengan data, barulah ia menjadi fakta.

Rujukan:

1) Shah & Juvekar 2006. Positive inotropic effect of Murraya koenigii (Linn.) Spreng extract on an isolated perfused frog heart. Indian J Exp Biol. 2006 Jun;44(6):481-484.

2) Bers, 2000. Calcium Fluxes Involved in Control of Cardiac Myocyte Contraction. American Heart Association 87: 275-281.

3) Bhandari 2012. Curry leaf (Murraya koenigii) or Cure leaf: Review of its curative properties. Journal of Med. Nut. & Nutraceuticals 1(2): 92-97.

4) Jain et al. 2012. Murraya Koenigii: An Updated Review. International Journal of Ayurvedic & Herbal Medicine 2(4): 607:627.

5) Kenghe et al. 2015. Effect of Drying Methods on Quality Characteristics of Curry (Murraya koenigii) Leaves. International Journal of Environmental & Agriculture Research 1(5): 8-12.

6) United States Department of Agriculture Agricultural Research Service National Nutrient Database for Standard Reference Release 28. https://ndb.nal.usda.gov/ndb/search/list (17/4/2016).

7) National Institute of Health on Calcium. https://ods.od.nih.gov/factsheets/Calcium-HealthProfessional/ (17/4/2016).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *