Diet: Kualiti, Kuantiti, atau keduanya?

1 – Menjaga Kualiti makanan yang diambil

Orang yang mengamalkan diet sebegini setidak-tidaknya akan tahu, jenis makanan apa yang bagus untuk sistem tubuh badan bekerja, dan yang mana tidak bagus. Contoh paling mudah adalah Karbohidrat. Kita tahu gula itu merupakan karbohidrat (jenis ringkas), dan nasi juga merupakan karbohidrat (sederhana ringkas). Andaikata anda diminta untuk mengambil dan membandingkan antara kedua-duanya untuk sejumlah kalori yang sama, sebagai contoh

Segelas Teh Tarik = 100kcal

dan

Segenggam nasi = 100kcal

yang mana lebih mengenyangkan? Yang mana mampu menahan lapar dan ‘rasa nak makan’ anda untuk tempoh yang lama?

Mereka yang menjaga kualiti makanan yang diambil tahu serba sedikit asas pemakanan berkualiti, paling kurang akan memahami apa itu makanan (karbohidrat) yang mempunyai unit glycemic rendah, protein yang cepat atau lambat cerna (BV protein), dan minyak apa yang paling berfaedah buat jantung. Kemungkinan besar mereka yang mengamalkan cara ini tidak terlalu ‘berkira’ akan kuantiti yang dimakan (yakni berapa banyak jumlah yang diambil) kerana percaya dan yakin makanan yang dimakan itu sudah lengkap dan tidak akan menggemukkan.

2 – Menjaga Kuantiti makanan yang diambil

Orang yang mengamalkan strategi diet sebegini setidak-tidaknya tahu asas-asas kalori kerana kalori menggambarkan kuantiti – lebih banyak jumlah makanan, lebih banyak kalori yang masuk, lebih sedikit jumlah makanan, maka lebih sedikit jumlah kalori yang masuk.

Mereka yang mengamalkan diet sebegini juga menyedari bahawa pengambilan makanan mengikut kuantiti yang diperlukan adalah kunci utama untuk menghalang kegemukan. Kebiasaannya segelintir daripada mereka tidak memandang kualiti makanan itu sendiri, sebagai contoh diet mat biskut di bawah:

Pagi: Makan biskut Merry 5 keping (100kcal)

Tengahari: Mee goreng mamak sepinggan (600kcal)

Petang: Biskut Jacob 4 keping cicah teh ‘o’ panas (200kcal)

Malam: Biskut Hup-seng 5 keping cicah Milo (250kcal)

Supper: Biskut Tiger 4 keping (90kcal)

Diet di atas mampu menurunkan berat badan kerana diet tersebut mempunyai nilai kurang dari 1000kcal, sedangkan keperluan kalori mat biskut adalah 2000kcal sehari. Namun apakah diet tersebut berkualiti?

.

3 – Menjaga Kedua-dua Kualiti dan Kuantiti makanan yang diambil

Orang yang mengamalkan diet sebegini bukan sahaja tahu jenis makanan apa yang bagus untuk sistem tubuh badan bekerja, yang mana tidak bagus, karbohidrat yang bagaimana mempunyai unit glycemic rendah, protein yang cepat atau lambat cerna (BV protein), dan minyak apa yang paling berfaedah buat jantung, TETAPI mereka juga tahu asas konsep kalori dan bagaimana ia berkait rapat dalam menurunkan, mengekalkan, atau menaikkan berat badan. Mereka yang tergolong dalam golongan ini adalah sebijak-bijak manusia apabila berbicara tentang pengamalan diet.

Kesimpulannya, kedua-dua faktor ini amat penting, bukan sahaja dalam mengekalkan berat badan idaman, sebaliknya untuk mendapatkan profil kesihatan yang baik dan mantap. Kini SS mahu bertanya anda semua, anda jatuh dalam kategori yang mana satu? Atau anda mungkin jenis yang langsung tak ambil kisah tentang kualiti dan kuantiti makanan yang masuk ke dalam badan anda?

Comments

  1. By noor

    Reply

  2. By myoliza

    Reply

  3. By Hamba Allah SWT

    Reply

    • Reply

  4. By nixnitro

    Reply

    • Reply

  5. By wan

    Reply

    • Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *