Formula Baru: Obesiti boleh diramal sejak awal kelahiran

Segmen berita terbaru dari makmal kali ini akan menyingkap penemuan formula matematik oleh sekumpulan saintis dari Imperial College London yang mendakwa kebarangkalian untuk seseorang kanak-kanak itu untuk obese ketika membesar boleh diramal sejurus mereka dilahirkan dengan hanya beberapa langkah pengiraan. Penemuan ini sekaligus akan membuatkan ibu bapa bayi berkenaan bukan sahaja lebih bersedia dengan debaran kelahiran bayi mereka, tetapi perlu lebih bersedia untuk berdepan “ramalan kebarangkalian” yang diperolehi agar anak mereka tidak membesar kelak sebagai seorang yang obese.

Kajian ini melibatkan penelitian terhadap statistik 4032 kanak-kanak warganegara Finland yang dilahirkan pada tahun 1986, serta terhadap 1503 kanak-kanak warganegara Itali dan 1032 kanak-kanak warganegara Amerika Syarikat, dan dari situ mereka mendapati beberapa faktor seperti berat bayi ketika kelahiran dan juga adakah ibu mereka adalah seorang perokok, akan menyumbang kepada tahap obesiti kanak-kanak itu kelak.

Sebelum ini, kita sedia maklum bahawa faktor genetik (gene dari ibu bapa) merupakan penyumbang besar kepada masalah berat badan seseorang kanak-kanak, walaubagaimanapun cuma seorang dalam 10 kes sahaja yang betul-betul disebabkan oleh mutasi gene yang mempegaruhi selera makan.

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal terbuka PLOS ONE dan boleh dibaca lebih lanjut di sini. Justeru itu, saya menyeru pasangan suami isteri di luar sana yang bakal bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi agar memanfaatkan formula yang baru ditemui ini agar tahap obesiti bayi mereka dapat dijangka lebih awal dan sekiranya nilai kebarangkaliannya tinggi, anda sepatutnya lebih bersedia untuk “mencegah” nya dari awal agar obesiti itu tidak berlaku. Untuk mengira kebarangkalian ini tidak susah kerana formula ini telah diringkaskan dalam satu bentuk ‘kalkulator online’ (sama seperti kalkular BMR/DCR yang ada pada sebelah kanan blog susu sejat ini).

Untuk mengira kebarangkalian tersebut, sila lawati laman ini, dan jika anda berminat untuk menyimpan formula ini dalam komputer anda, boleh muat turun fail Microsoft Excelnya di sini. Insyaa Allah, saya juga bercadang untuk memasukkan kalkulator ini dalam blog ini di masa akan datang kerana saya berpendapat ia sangat berguna. Berikut adalah petunjuk (terjemahan) untuk variabel dalam kalkulator tersebut:

Maternal BMI = BMI si Ibu
Paternal BMI = BMI si Ayah
Number of Household Members = Bilangan individu yang tinggal dalam rumah (minimum 2 orang)
Maternal Professional Category = Kerjaya si Ibu
Gestational smoking = Adakah si Ibu merokok?
Birth weight (Kg) = Berat bayi ketika kelahiran (Kg)

Semakin tinggi nilai peratusan yang terhasil, semakin tinggi kebarangkalian bayi tersebut untuk membesar menjadi seorang yang obese. Selamat mencuba!

Comments

  1. By fiza

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *