Gelombang Nombor 17 di US: The 17 Day Diet?

Revolusi The 17 Day Diet (Diet 17 Hari) bermula sejak tahun lepas lagi (2010), dan popularitinya meningkat naik di US secara tiba-tiba seperti pisang goreng panas (mujurlah gelombangnya belum merebak ke Malaysia lagi). Dicipta oleh seorang physician dari bandar San Diego (US), Dr Mike Moreno, The 17 Day Diet kemudiannya telah diperkenalkan dalam rancangan “The Doctors” dan “Dr. Phil Show”.

Buku yang sudah mencapai status “best selling” di negara Uncle Sam itu memegang pada ‘keajaiban’ nombor 17 nya. Dengan 17 minit senaman setiap hari berserta empat kitaran makanan yang berbeza selama setiap 17 hari, diet ini menjanjikan hasil penurunan berat badan yang dramatik untuk sepanjang hayat. Program diet ini dipecahkan kepada empat fasa berbeza yang direka khas untuk mereset kembali kadar metabolisma pengamalnya untuk setiap 17 hari. Fasa pertama melibatkan pengehadan pengambilan kalori sebelum penukaran pelbagai jenis protein, karbohidrat, buah-buahan dan sayuran untuk fasa-fasa seterusnya.

Berikut ini adalah empat fasa The 17 Day Diet yang mensasarkan 4 A’s:

Fasa 1: Accelerate (Memecut) – Mendorong berat badan turun dengan cepat, membersihkan sistem pencernaan dan membakar lemak disamping menyekat proses penyimpanan lemak.
Fasa 2: Activate (Mengaktif) – Mereset kembali metabolisme.
Fasa 3: Achieve (Mencapai) – Menggalakkan pola pemakanan yang baik, kembali mengajar diri untuk menerima kembali karbohidrat.
Fasa 4: Arrive (Tiba) – Kombinasi tiga Kitaran tadi (1 hingga 3). Ketika hujung minggu, pengamalnya kembali menikmati makanan kegemaran.

Diet untuk menurunkan berat badan ini pada asalnya direka untuk mengelak kenaikan berat badan ketika seseorang itu bercuti. Namun apa yang istimewa tentang diet ini ialah ia boleh digunakan bila-bila masa sahaja sepanjang tahun untuk membuang beberapa kilogram berat badan.

“Setiap 17 hari anda akan mengubah apa yang anda lakukan. Kami menyebutnya sebagai (memanipulasikan) metabolisme, atau (suatu proses) mengelirukan tubuh badan” jelas Dr Moreno. Ketika ditanya ABC News, beliau menambah lagi, “Saya rasa diet ini adalah (mungkin) satu-satunya diet yang terbaik untuk semua orang. Tidak kiralah sama ada anda ingin menurunkan 5 pound berat badan untuk sambutan reunion sekolah menengah anda, atau ingin kehilangan 150 pound berat badan anda, atau anda sudah berpuas hati dengan rupa tubuh badan anda sekarang, diet ini bukan hanya memberi fokus untuk menggerakkan jarum penimbang anda, tetapi memberi fokus kepada kesihatan sistem pencernaan agar menjadi lebih baik dan sempurna.”

Berdasarkan jumlah para penyokongnya yang meningkat saban hari, jelas ternyata bahawa diet ini sangat sesuai untuk mereka yang menjalani pelbagai jenis gaya hidup yang berbeza. Walaubagaimanapun, sama seperti diet-diet lain yang pernah diperkenalkan oleh individu-individu ternama, kebanyakkan ahli-ahli nutrisi masih lagi ragu-ragu terhadap modul keseluruhan program diet ini, disamping kesan sampingan terhadap para pengamalnya untuk jangka masa panjang. Berikut SS huraikan beberapa PROs dan CONs yang sempat SS jumpa dalam beberapa blog kesihatan dari US.

PROs:

Tidak kelihatan monotonous (membosankan) – Meskipun program diet ini berlanjutan selama 68 hari, ia tidak membosankan kerana ia telah dipecahkan kepada 4 fasa yang diperkenalkan dalam program untuk setiap 17 hari (17 x 4 = 68 hari). Ahli nutrisi Laurie Slayton (foodtrainers.net) menambah oleh kerana program ini telah disusun dan dipecahkan ‘kecil-kecil’ maka ia tampak lebih realistik dan secara psikologinya kelihatan boleh dilakukan oleh sesiapa (Analoginya adalah sama seperti pecahan “subgoal” dalam diet “kiraan kalori”, namun ternyata diet “kiraan kalori” juga bukan bersifat monotonous kerana dalam diet “kiraan kalori”, anda secara teorinya boleh makan apa sahaja, asalkan anda tahu mana satu sumber karbohidrat, protein dan lemak).

Keputusan agak cepat – “Anda pasti dapat melihat hasilnya pada tahap pertama lagi,” ujar Slayton. Pada 17 hari pertama sahaja para pengamalnya pasti mengalami kehilangan dari 5kg sehingga 15kg kerana menyekat pengambilan makanan sebanyak 1200kcl sehari. (Hakikatnya, penurunan yang banyak dalam mana-mana diet sekalipun adaah suatu yang normal. Rujuk entri SS berkenaan konsep perjalanan turun berat badan di sini).

Terdapat plan untuk jangka masa panjang
17 hari pertama adalah peringkat yang paling ekstrim dalam diet ini, namun peringkat kedua akan memperkenalkan para pengamalnya dengan lebih banyak ambilan kalori (lebih dari 1200kcal) sekaligus memberi kesempatan kepada pengamalnya untuk menurunkan beberapa kilogram berat badan, manakala dua kitaran seterusnya direka untuk mengintegrasikan tabiat makan secara sihat untuk jangka masa panjang. (Asalkan ada ilmu di dada, pemilihan makanan untuk diet seharian tidak lagi menjadi masalah. Malah mereka yang berjaya menurunkan berat badan disebabkan usaha sendiri/jaga pemakanan dengan betul/bersenam lebih cenderung untuk mengekalkan berat badan idle untuk tempoh yang lama)

Penukaran yang buruk kepada yang baik – Penggantian makanan-makanan tidak sihat dalam diet seperti mayonnaise (digantikan dengan mustard) dan gula (digantikan dengan nektar/madu dan rempah-rempah) adalah antara beberapa prinsip asas mengekalkan berat badan untuk jangka masa panjang yang diterapkan menerusi diet ini. “Jika diet anda sebelum ini lebih memusar kepada makanan-makanan yang diproses, maka diet ini bakal mengubah anda secara total. Jika anda adalah seorang yang mengamalkan pemakanan yang sihat, anda pasti tahu hal-hal seperti putih telur, ikan, dan sayur-sayuran itu amat baik untuk anda,” ujar Slayton lagi.

Diet yang seimbang – Berbeza dengan diet Atkins, The 17 Day Diet tidak menolak sepenuhnya salah satu sumber utama nutrisi (karbohidrat). Buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan “karbohidrat sihat” adalah sebahagian daripada plan pemakanannya (cuma kadar pengambilannya sentiasa berubah dalam setiap fasa); oleh yang demikian tubuh badan si pengamalnya tidak akan tercicir salah satu daripadanya.

CONs:

Bukti saintifik belum benar-benar meyakinkan – Dr. Moreno mendakwa penukaran pola pemakanan pada setiap 17 hari merupakan cara untuk memastikan agar kadar metabolisme sentiasa tinggi dan pada tahap terbaik, namun benarkah begitu? Hakikatnya, tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa pengamalan “kitar kalori” seperti yang diterapkan mampu memberikan kesan yang drastik pada kadar metabolisma. Namun, tidak salah untuk seseorang itu untuk mengamalkan “kitar kalori” (mengambil jumlah kalori yang berbeza pada hari-hari yang berbeza) ketika berdiet untuk menurunkan berat badan atau jika ingin mengekalkan berat badan. Malah, tahukah anda bahawa proses “kitar kalori” ini sebenarnya terjadi secara semulajadi bagi semua manusia yang semestinya tidak mengambil atau membakar jumlah kalori yang sama setiap hari.

Salah satu peraturan dalam diet tersebut juga menegaskan “jangan mengambil karbohidrat berkanji atau buah selepas jam 2 petang”. Hakikatnya tiada bukti saintifik yang menunjukkan selepas masa-masa tertentu, tubuh badan akan kehilangan kemampuan untuk mencerna karbohidrat lalu menukarkannya terus kepada lemak (mitos ni sebenarnya kuat bermain dalam kepala otak mereka-mereka yang tak makan malam sebab nak kurus).

17 hari pertama yang meragukan – Memanglah mengambil 1200kcal kalori dalam sehari itu bakal membawa kepada penurunan berat badan. Namun adakah ini bersesuaian untuk semua individu? Bagaimana jika seseorang itu mempunyai nilai BMR (kadar metabolisma badan ketika rehat) di atas 1200kcal? Jika anda tidak mengambil cukup kalori untuk memenuhi keperluan BMR, maka anda pasti berada dalam ‘mod lapar’ yang sebenarnya akan merendahkan lagi kadar metabolisma.

Terselit faktor bisnes yang nyata – Ketika berdiet, anda sememangnya diberi kebebasan untuk menikmati makanan yang boleh dibeli di pasaraya mahupun kedai makan. Namun, mereka yang menjalani program 17 Day Diet ini digalakkan untuk membeli “snek khusus 17-Day Diet” yang semestinya lebih mahal daripada snek-snek biasa.

Rumit dan kompleks – Diet ini ternyata kelihatan lebih kompleks dari realiti memandangkan terdapat perubahan-perubahan pola pemakanan yang khusus sepanjang program dijalankan, malah tiada penjelasan saintifik yang nyata untuk modul-modul yang diterapkan.

SS beranggapan prinsip diet ini masih sama iaitu “kurangkan pengambilan kalori dan teruskan bersenam”. Ini merupakan teori fundamental untuk menurunkan berat badan sejak azali lagi. Walaubagaimanapun, SS amat mengalu-alukan sebarang kajian saintifik terhadap diet ini agar setiap modul-modulnya benar-benar disokong dengan fakta dan bukan sekadar auta. Mungkin majoriti rakyat Malaysia langsung tak pernah tahu akan kewujudan gelombang diet ini, namun tidak mustahil ia bakal menembusi ‘pasaran kita’ tidak lama lagi, terutamanya apabila ia mula ‘dieksport’ keluar oleh US sekiranya diet ini terus menerus mendapat sambutan yang menggalakkan di sana.

Comments

  1. By eliza

    Reply

  2. Reply

    • By Yoa

      Reply

  3. By Aribah Aida

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *