Bagaimana Rupanya Graf Penurunan Berat Badan?

Secara asasnya terdapat 2 konsep yang boleh digunakan untuk mengaitkan antara nilai defisit kalori berserta jisim lemak/ berat badan yang diturunkan.

Konsep pertama diperkenalkan oleh Wishnofsky pada tahun 1958. Konsep ini mengandaikan pertukaran langsung antara berat badan dan kalori seperti berikut:

7,700kcal = 1kg berat badan
atau
3,500kcal = 1lb berat badan

Hubungkait 7,700kcal = 1kg berat badan seperti ini telah digunakan secara meluas dalam meramal kadar penurunan berat badan (termasuk oleh institusi klinikal).

Walau bagaimanapun, andaian Wishnofsky ini terdapat beberapa kelemahan.

Kelemahan paling ketara ialah pertukaran langsung antara berat badan dan kalori ini hanyalah dibuat berdasarkan pemerhatian komposisi lemak. Namun begitu, ia tidak mengambil kira perubahan fisiologi ketika proses penurunan berat badan secara keseluruhan yang turut melibatkan perubahan komposisi fat free mass (jisim bukan lemak) seperti air, otot, dan tulang.

Rumus Wishnofsky 7,700kcal = 1kg berat badan tidak mengambil kira komposisi tubuh badan yang lain selain daripada jisim lemak

Kelemahan kedua andaian ini ialah ia tidak mengambil kira faktor Latency Period atau “tempoh belum confirm” untuk peralihan atau perubahan berat badan yang bermula dari 3 hari hingga 2 minggu. Sepanjang tempoh ini, sebarang bentuk perubahan berat badan adalah bersifat sementara kerana turut dipengaruhi oleh faktor-faktor lain, seperti perubahan kandungan glikogen dan air.

Kelemahan ketiga andaian Wishnofsky ialah ia tidak mengambil kira faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada perubahan berat badan. Contohnya seperti faktor pengambilan air, pengambilan jumlah garam (sodium) yang diambil menerusi diet, serta faktor jantina yang mana turut dipengaruhi oleh hormon.

Andaian Wishnofsky yang mempunyai beberapa kelemahan ini kemudiannya dicabar oleh Thomas dan rakan-rakan (2011).

Antara hujah terkuat yang digunakan oleh Thomas et al. ini ialah hubungkait secara linear yang digunakan oleh Wishnofsky ini adalah sangat longgar dan langsung tidak mengambil kira aspek-aspek fisiologi dan biokimia dalam tubuh badan manusia.

Justeru Thomas et al. telah menerbitkan satu formula yang lebih tepat dalam meramal KG berat badan yang turun mengikut defisit kalori tertentu. Untuk menentukan nilai perubahan berat badan dengan lebih tepat, anda boleh menggunakan kalkulator online di laman ini.

Meskipun hasil perubahan berat badan yang diperolehi adalah berbeza mengikut individu, rule of thumb kepada penggunaan model Thomas et al. ini tetap sama; semakin lama tempoh defisit / surplus kalori yang diamalkan, semakin perlahan kadar penurunan/kenaikan berat.

Ketika fasa awal, proses penurunan berat badan akan berlaku lebih pantas. Situasi ini didorong oleh beberapa faktor seperti penyusutan simpanan glikogen serta jisim air yang ketara.

Kebiasaannya mereka yang bertubuh besar (100Kg++) akan mengalami penurunan berat badan paling banyak ketika fasa ini kerana jisim air yang menyusut adalah berkadar langsung dengan saiz tubuh badan.

Hal ini menjelaskan mengapa golongan morbid obes cenderung untuk memenangi pertandingan penurunan berat badan kerana pertandingan seperti ini hanya mengukur hasil kejayaan berdasarkan jumlah berat badan yang berjaya diturunkan.

Setelah beberapa ketika, proses penurunan berat badan ini akan menjadi lebih perlahan disebabkan penyusutan jisim glikogen dan air yang tidak lagi berlaku secara ketara. Sebaliknya, proses penyusutan lemak badan yang berlaku memerlukan lebih masa untuk dibakar kerana lemak merupakan molekul bertenaga tinggi.

Selain itu, penyusutan Fat Free Mass (FFM) seperti otot akan menyumbang kepada penurunan kadar penggunaan tenaga ketika rehat atau Resting Energy Expenditure (REE).

Berdasarkan faktor-faktor ini, maka adalah normal sekiranya proses penurunan berat badan itu menjadi perlahan selepas beberapa ketika; situasi yang mana difahami ramai sebagai plateau.

Berdasarkan penjelasan ini, maka interpretasi proses penurunan berat tidak boleh difahami sebagai satu proses
linear (garis lurus) seperti yang ditunjukkan dalam graf di sebelah kiri. Sebaliknya, ia perlu difahami (diplotkan) sebagai satu proses yang menyamai sifat exponential seperti yang ditunjukkan dalam graf di sebelah kanan.

Nota: Kedua-dua graf di sebelah ialah plot data yang sama, tetapi menggunakan kaedah ekstrapolasi berbeza.

#####

Artikel ini diolah semula daripada salah satu topik dalam Buku PLATEAU: Merungkai Sains Penurunan Berat Badan. Jika anda sukakan penulisan ilmiah yang santai seperti ini, anda boleh dapatkan buku ini sementara stok masih ada (stok terhad); klik sini (Whatsapp) atau anda juga boleh mendapatkannya di laman Shopee dan laman Onpay rasmi Susu Sejat. Dijamin berbaloi dan mudah faham!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *