Jakun tengok orang lain bersenam?

Sama ada mereka jakun, pelik, atau kagum?

Semalam saya sempat menonton rancangan “Soal Jawab” di TV3, rancangan yang berbentuk bual bicara tetapi dengan skop perbincangan yang lebih kritikal, dan ahli panel yang dijemput juga bukan calang-calang orang.

Saya secara jujur tak pernah dan malas tonton program ini sebelum ini kerana isu yang dikupas banyak menyentuh hal-hal politik dan juga isu-isu dalam negara yang semestinya majoriti panel-panel yang dijemput mestilah mereka yang berat ke arah pihak kerajaan. Namun topik “Obesiti di Malaysia” yang dikupas semalam membuatkan saya melekat sekejap di hadapan TV untuk mendengar diskusi mereka.

Walaubagaimanapun saya tak berminat untuk menyingkap kembali apa yang dibincangkan semalam secara menyeluruh, kerana bagi saya ada sesuatu yang lebih menarik boleh dibincangkan berdasarkan komen-komen fans di page facebook.

komen

Isu pertamanya adalah obesiti terjadi kerana rakyat Malaysia itu tak kawal pemakanan dan dalam masa yang sama kurang aktif, ini terjadi kerana faktor mereka malas dan masih belum ada kesedaran untuk menjaga tubuh badan yang dipinjamkan sementara oleh Tuhan.

Isu kedua terjadi kerana ada sebilangan mereka yang masih malu untuk mempraktikkan gaya hidup sihat di luar rumah. Malu kerana takut diperhatikan pelik atau “freak” oleh mereka yang malas dan tak ada kesedaran ini.

Sebagai contoh, ketika makan di mamak, kebanyakkan saiz hidangan yang dihidangkan di kedai-kedai makan adalah bukan saiz hidangan yang sepatutnya. Sepinggan mee goreng mamak itu sebenarnya terdiri dari 2 saiz hidangan, dan jika nak makan ikut saiz hidangan yang betul, perlu dimakan separuh pinggan sahaja mee goreng itu. Di sini timbulnya “attitude” pengaruh agama dalam kehidupan masyarakat, kerana agama menasihati penganutnya agar tidak membazir (amalan syaitan). Lalu nak tak nak, perlu dihabiskan hidangan tersebut untuk elakkan pembaziran (konsep halalan toyyiban tak nak ikut pula kan).

Tak ramai yang akan melaksanakan tip kongsi sepinggan mee goreng tersebut dengan pasangan atau rakan yang lain, atau pun makan separuh sahaja, dan separuh lagi minta mereka bungkuskan bawa balik, dan boleh dinikmati pada waktu-waktu yang lain. Alasannya? Malu, takut dikata kedekut sampai perlu berkongsi, miskin sampai tahap makan pun kena kongsi dan bungkus bawa balik, dan sebagainya. Oleh siapa? Oleh mereka yang malas dan tak ada kesedaran ini

Contoh kedua, picit, lap atau kesat makanan bergoreng dengan tisu ketika di kedai makan awam. Ramai yang malu mempraktikkan tip ini kerana segan diperhatikan. Tapi hakikatnya mereka yang ‘terpaksa’ makan di luar atas faktor kerja tiada pilihan makanan lain, sebab rata-rata makanan yang dijual di luar adalah makanan bergoreng; tambah-tambah lagi jika makan bersama rakan sekerja yang lain, sudah pasti tempat yang dituju itu biasanya mamak. Akhirnya, sebab malu punya pasal, maka hantam sajalah, minyak pun minyak lah.

Contoh ketiga, bersenam di luar rumah. Bagi saya, nikmat bersenam (berlari) adalah paling sempurna jika dilaksanakan dalam keadaan yang dikelilingi alam semulajadi, sama ada di taman rekreasi (bandar) mahupun di kawasan kampung. Apa lagi yang lebih menyegarkan selain dari berlari di kawasan-kawasan yang dikelilingi suasana hijau, sambil sang pokok tidak henti-henti membekalkan oksigen kepada kita? Namun disebabkan majoriti di kawasan itu tidak beriadah/bersenam, maka mereka yang beriadah di luar itu akan dipandang pelik. Seperti jakun, mereka akan perhatikan sosok tubuh yang berlari mengelilingi sawah bendang dan menyusuri pesisir kampung tanpa henti, seolah-olah itu adalah perkara baru bagi mereka. Disebabkan situasi ini terjadi, akhirnya mereka yang dah ada kesedaran untuk jaga kesihatan badan ini akan rasa malu untuk bersenam di luar, dan akhirnya di kawasan itu, langsung tiada siapa pun yang bersenam. Malu punya pasal.

kampung

Kalau tanya saya, apa solusi untuk atasi sindrom malu kerana dipandang jakun masyarakat ini? Saya akan kata, buat bodoh saja. Pedulikan mereka. Kalau kita yang tak mulakan, dan asyik diselubungi malu, siapa lagi yang nak mulakan. Betul tak? Ingat, kita adalah katalis yang akan membawa kepada gelombang perubahan kepada masyarakat sekeliling kita. Tunjukkan pada mereka apa itu definisi gaya hidup mantap, percayalah, kalau benda tu dah jadi biasa dalam komuniti tu, mereka tak akan jadi jakun dah. Silap hari bulan, lebih ramai yang akan ikut langkah kita!

Comments

  1. Reply

  2. Reply

  3. By Fairus

    Reply

  4. By ADiB

    Reply

    • Reply

  5. Reply

  6. By Zakeri

    Reply

  7. By mak cik endon

    Reply

  8. By liza

    Reply

  9. Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *