‘Joy, jom main bola?’

Jam di laptop menunjukkan tepat pukul 6:00pm. Aku mengeluh kebosanan. Ku belek beberapa helaian nota “Plant Biotechnology“, dan ku pandang ‘sticky notes‘ yang tertampal di dinding. “Plant Biotecnology Exam, Monday, 8am, Room 08-A110“.

Beberapa saat kemudian aku bangun dari meja ulangkaji dan merebahkan diri ke atas tilam ‘air bed‘ yang ku beli dari pasaraya Walmart beberapa bulan yang lalu. Kempis. Ntah apa silapnya, barangkali sudah bocor, atau mungkin sudah hilang durabalitinya setelah terpaksa menampung berat badanku hampir setiap malam. Ah! sungguh tidak selesa sekali tilam ni, bisik hati kecilku. Malas pula untuk membeli tilam yang baru memandangkan tarikh graduasi hanya tinggal kira-kira 3 bulan sahaja lagi.

Aku bingkas bangun menuju ke ruang tamu, dan mencapai controller PS2 yang sudah retak menanti belah. Apakan tidak, setiap hari ia dibaling dan dicampakkan ke dinding, dan peristiwa ini berulang hari demi hari, acap kali apabila aku tewas bermain Pro-Evolution Soccer bersama teman-teman seangkatan. Aku tidak hebat, tapi aku sebenarnya ‘hebat’. Macam mana tu?

Kira-kira 1 jam yang lalu…

“Ejoy! Pjoe mana? Jom main bola sekali?” laung Saiful Effendi Syafruddin dengan lantang.

Aku tersentak tatkala sedang asyik menyusun nota-nota muzika pada scoresheet di ‘Guitar Pro 5‘, lalu aku tanggalkan headphone berjenama ‘Sennheiser‘ yang bertaut pada telingaku sejak beberapa ketika. Secara tiba-tiba beliau muncul dari pintu yang tidak berkunci, dan aku sama sekali tidak menyangka dari mana datangnya mahkluk Allah ini. Beliau berpakaian sukan lengkap. Berseluar trek Adidas biru sambil memakai sweater yang tertulis “Penn State University”, di kepalanya terdapat snow cap yang menutup rapi kepalanya, ala-ala orang tibet yang selalu kita lihat di kaca televisyen. Kacak.

“Bola pukul berapa beb? Pjoe tengah mandi”, ujarku bersahaja, langsung tiada menunjukkan minat walaupun secebis.

“Jap lagi la ni, jom aa main sekali, for fun je bai, budak pompuan ramai yang turun. Asma dengan Ajiem pun turun.”

“Ye ke?? Hehehe, weh, jom main winning sepam?” ujarku dalam percubaan untuk mengubah vektor perbualan.

“Jom jom. Lambat lagi ke si Pjoe tu?”

Perbualan tiba-tiba terhenti apabila pintu apartmenku diketuk perlahan. Beberapa saat kemudian, pintu terbuka. Jelas terpampang kelibat seorang lelaki berbadan kecil di muka pintu, tetapi agak tegap berdiri. Lelaki yang memakai jersi bola sepak skuad kenari ini menegur lembut, tetapi penuh bersemangat,

“Laaaa… awat tak siap-siap lagi?! Ejoy dok pakai kain lagi, jom aaa main bola sekali..”

“Tak pa, tak pa, you guys have fun, hehehe..”, jawabku ringkas.

Aku tolak pelawaan sahabatku itu dengan baik meskipun ajakan itu seakan-akan sebilah anak panah halus yang menusuk sanubari. Selang beberapa ketika, Pjoe muncul dari kamar tidur dalam keadaan tergesa-gesa, sambil siap berpakaian tebal segala.

“Di, angin kat luar kuat tak? kalau aku pakai sweater nipis macam ni ko rase ok?” soal Pjoe kepada Fendi.

“Angin tak kuat sangat, tapi boleh tahan gak aaa.. weh, cepat sikit pakai stokin. Dah lambat dah ni. Ko dah mesej Bos, Aiman semua ke?”

“Aku dah mesej tadi, tapi sorang pun tak reply. Dah gerak kot. Eh, Joy, jom aaa.. gerak sekali”

Aduh, sekali lagi soalan yang sama menerjah cuping telinga ku, tetapi belum sempat aku menyambung bicara, Fendi pantas mencelah,

“Si gemuk ni nak main bola? Kerat jari aaa weh, hahaha..”

GOAL!!!!!!!!!

Aku tersentak dari lamunan panjang. Jam pada telefon bimbit Motorola Razr V3 usang sudah menunjukkan 6:40pm. Aku campakkan controller PS2 ke lantai, lalu bingkas bangun menggantikan kain pelikatku, mencapai sweater kuning kegemaran yang tertera “NEW YORK 94 San Francisco“, dan bergegas ke Crossroad untuk membeli french fries, beberapa ‘items‘ untuk dibuat makan malam, dan juga setin air Arizona yang berharga cuma satu Dollar.

Setelah beberapa minit menapak meredah kesejukan senja, aku tiba juga di teratak Riverknoll. Ternyata keadaan masih sunyi, dan itu petanda rakan serumahku Pjoe masih belum pulang dari bermain bola sepak. Aku campakkan sweater kuning di atas ‘air bed‘ kempis, dan meletakkan plastik berisi makanan yang dibeli tadi di atas meja. Aku menuju ke hadapan laptop, sambil otakku ligat berputar memikirkan cerita apa yang hendak ditonton di ‘TV3 Online Catch-up TV’ tatkala menikmati makan malam nanti, dan..

Eh, ada 2 mesej baru di Yahoo Messenger? Dari siapa agaknya ya. Aku meneliti rapat, dan mesej pertama berbunyi:

“weh, ojoe dh grak ke? ko trun skali x? BUZZ!!! BUZZ!!!” – received at 6:10pm from Bob Merley.

Mesej kedua pula berbunyi:

“joi, ko pegi gym tak main bola, hahahahaha” – received at 6:15pm from Gazali Abdul Karim.

*Cerita di atas adalah kisah benar aku ketika masih belajar di RIT (Rochester Institute of Technology), hujung musim sejuk 2008/2009, dan plot cerita yang hampir sama berulang hampir setiap hujung minggu. Inilah cerita zaman gelap ku, yang aku abadikan kembali di blog ini khas buat tatapan para pembaca sekalian. Andaikata aku dapat undurkan perjalanan masa…

Comments

  1. By fadhlihamdan

    Reply

  2. By Joy Kalonas

    Reply

  3. By sirna

    Reply

  4. By Joy Kalonas

    Reply

  5. By Bob Merley

    Reply

  6. By Joy Kalonas

    Reply

  7. By fatimahalzahranaamat

    Reply

  8. By Joy Kalonas

    Reply

  9. By NADIA

    Reply

  10. By Joy Kalonas

    Reply

  11. By sya

    Reply

  12. By Aiman

    Reply

  13. Reply

  14. By fazeq

    Reply

    • Reply

  15. By WM

    Reply

  16. By ida 82

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *