“Kad Laporan Prestasi” seorang Manusia

Diterima sejurus selepas bangun dari tidur esok paginya

Baru-baru ini keputusan UPSR untuk pelajar tahun 6 sesi 2012 telah diumumkan. Meskipun keputusan keseluruhan mencatatkan kemerosotan berbanding tahun lalu, namun secara keseluruhan prestasi adalah memuaskan. Dari gelagat murid-murid yang berdebar-debar ketika menerima “slip keputusan” dari cikgu sekolah di kaca televisyen, saya percaya ramai yang mampu terkenang akan memori masing-masing ketika di bangku sekolah dahulu.

Tahniah adik-adik!

Mengambil keputusan peperiksaan, tidak kiralah peperiksaan besar (dalam bentuk slip) atau peperiksaan bulanan (dalam bentuk kad, buku laporan), merupakan suatu yang ditunggu-tunggu kerana dari situ setiap pelajar dapat mengukur sejauh mana prestasi mereka meningkat berbanding rakan-rakan sekelas yang lain. Jikalau terdapat kemerosotan, maka tindakan untuk memperbaikinya adalah perlu supaya terus maju ke hadapan.

Itu jika kita melihat skop sebagai seorang pelajar sekolah yang tempohnya hanya terhad selama 11 – 13 tahun. Mungkin ramai yang tidak sedar, sebagai seorang manusia, yakni watak dan peranan yang perlu kita pegang sejak mula kita bernafas hinggalah saat kita berhenti bernafas, kita juga sebenarnya telah dibekalkan oleh sang Pencipta dengan “kad laporan” semulajadi. “Kad laporan” ini boleh dijadikan sandaran untuk mengukur sejauh mana prestasi kita sebagai seorang manusia pada hari sebelumnya dari perspektif kecergasan dan diet.

Tunggu sebentar? Kalau betul kad prestasi seperti ini wujud, dimanakah ia? Adakah ia ditulis dalam bentuk tulisan romanis, atau tulisan Arab? Dimanakah ia ditulis? Dicelah kangkang kah? Di bahukah? Atau di belakang badan seorang manusia kah?

Sebelum saya memberikan jawapan kepada persoalan ini, perlulah kita tahu bahawa sang pencipta itu tidak semestinya memerlukan sesuatu yang konkrit seperti bahasa untuk menyampaikan apa yang hendak Dia sampaikan. Bahasa Tuhan itu universal, sedangkan bahasa yang tertulis dalam “kad laporan” kemajuan itu adalah bertunjangkan bahasa ciptaan manusia. Tuhan tidak perlu memberitahu secara tersurat (beritahu bulat-bulat) apa yang berlaku, kerana apa yang hendak disampaikan itu biasanya sangat halus untuk ditafsir.

Sebagai contoh, kita melihat pemandangan gunung ganang yang sangat cantik dan hamparan alam yang cantik luas terbentang, dengan sekawan burung terbang mengikut irama mereka sendiri. Apa yang tersurat itu adalah apa yang kita nampak. Tetapi jika diperhalusi secara tersirat, apa yang kita lihat itu merupakan sebuah “mesej” yang mengatakan Tuhan itu wujud dan Dia berkuasa sehingga mampu mencipta sesuatu yang sangat hebat dan indah seperti itu.

Mungkin mukadimah saya terlalu panjang, tidak mengapa, kerana niat saya tulis begini adalah supaya kita menghargai dengan setiap fakta yang akan saya persembahkan sebentar lagi, iaitu “Kad Laporan Prestasi” seorang manusia. Dimanakah ia? Jawapannya telah pun saya berikan menerusi ayat pertama (sebetulnya frasa) untuk entri ini. Cuba baca tajuk entri ini diikuti dengan frasa tersebut, then you will get the bigger picture!

1 – Denyutan Nadi (Heart Rate)

Pada saat ini saya percaya semua tahu apa yang dimaksudkan dengan denyutan nadi dan bagaimana hendak mengira dan mentafsir denyutan nadi. Buat mereka yang tak pasti, mungkin boleh rujuk entri terdahulu di sini. Denyutan nadi yang diambil sejurus anda bangun dari tidur, sebelum meningalkan katil, adalah dikenali sebagai “Resting Heart Rate” (RHR) – ini kerana nilai yang diperolehi semestinya lebih hampir (closest) dengan denyutan nadi ketika anda dalam fasa rehat yang total iaitu tidur.

Secara teori, lebih rendah nilai RHR, lebih “fit” diri anda dan lebih sihat jantung anda, manakala semakin tinggi nilai RHR, semakin tak “fit” diri anda dan jantung berisiko untuk ‘sakit’ kerana terpaksa mengepam darah ke serata badan dengan ulangan yang banyak untuk seminit, tindakan yang kita ketahui sebagai “tidak efisyen” (masakan hendak memukul seekor nyamuk perlu tepuk beberapa kali, sedangkan tepuk sekali pun sepatutnya sudah cukup untuk membunuhnya). Mengapa jantung perlu pam banyak kali? Sebabnya adalah terdapat beban yang menghalang laluan darah dari jantung sehingga ke serata badan. Beban itu tidak lain tidak bukan adalah lemak yang terkumpul pada sepanjang dinding vena dan arteri. Dalam kes ini, untuk menghantar volume darah yang sama dalam satu-satu masa ke serata badan pasti memerlukan usaha dan “bilangan rep” yang lebih banyak berbanding mereka yang mempunyai salur darah yang lancar (fit).

Oleh yang demikian, mulai hari ini jadikan tabiat untuk mengukur RHR setiap pagi selepas bangun dari tidur, pastikan matlamat kita semua adalah satu, iaitu untuk mendapatkan julat bacaan RHR yang sihat. Gunakan carta di bawah untuk menentukan tahap kesihatan anda berdasarkan RHR (Sumber: Mayoclinic & TopEndSports).

Lelaki
Umur: 18-25 26-35 36-45 46-55 56-65 65+
Atlit 49-55 49-54 50-56 50-57 51-56 50-55
Cemerlang 56-61 55-61 57-62 58-63 57-61 56-61
Baik 62-65 62-65 63-66 64-67 62-67 62-65
Memuaskan 66-69 66-70 67-70 68-71 68-71 66-69
Sederhana 70-73 71-74 71-75 72-76 72-75 70-73
Kurang Memuaskan 74-81 75-81 76-82 77-83 76-81 74-79
Gagal 82+ 82+ 83+ 84+ 82+ 80+
Perempuan
Umur: 18-25 24-35 36-45 46-55 56-65 65+
Atlit 54-60 54-59 54-59 54-60 54-59 54-59
Cemerlang 61-65 60-64 60-64 61-65 60-64 60-64
Baik 66-69 65-68 65-69 66-69 65-68 65-68
Memuaskan 70-73 69-72 70-73 70-73 69-73 69-72
Sederhana 74-78 73-76 74-78 74-77 74-77 73-76
Kurang Memuaskan 79-84 77-82 79-84 78-83 78-83 77-84
Gagal 85+ 83+ 85+ 84+ 84+ 84+

Fakta: Bekas jaguh kejohanan berbasikal Le Tour de France,  Miguel Indurain pernah mendapat bacaan RHR serendah 28bpm. Jaguh kejohanan yang sama, Lance Armstrong pula mendapat bacaan RHR serendah 32bpm. Di manakah kedudukan kita berbanding atlit-atlit hebat ini?

2 – Air Kencing

Selepas mengukur RHR, seterusnya anda bangkit, berlalu dari katil dan akan ke bilik mandi untuk membuang air kecil (rutin yang saya percaya hampir 100% manusia pasti melakukannya). Mungkin warnanya sedikit kekuningan, itu normal memandangkan badan kita kekurangan air sepanjang 8 jam tidur. Namun ada satu pendekatan lebih saintifik yang boleh dilakukan untuk mentafsir sifat kencing lalu mengaitkan ia dengan “tahap” kesihatan anda setiap hari, iaitu menerusi nilai pH.  Mengapa saya kata begitu? Kerana air kencing anda yang pertama pada setiap pagi (selepas bangun tidur di waktu pagi) merupakan “laporan kemajuan” dari tubuh badan akan bagaimana rupanya diet anda semalamnya.

Strip pH untuk Urine

Jika pH air kencing anda sedikit alkaline (7.0 dan ke atas), itu petanda yang baik, tetapi jika sedikit asidic (7.0 ke bawah), ini bermaksud diet anda kurang seimbang sehari sebelumnya. Sebagai contoh, anda mengambil karbohidrat dan sumber protein pada sukatan yang berlebihan sedangkan sumber alkaline yang kaya dengan mineral dan vitamin seperti buah-buahan sitrus dan sayur-sayuran pula diambil terlalu kurang – pasti nisbah nutrisinya tidak seimbang! Salah satu cara untuk mengukur pH air kencing adalah dengan menggunakan kertas pH, seperti yang pernah kita belajar ketika di bangku sekolah dahulu.

Apakah signifikan dari maklumat yang saya ceritakan ini? Menurut Dr. Ben Kim, terdapat 2 faktor yang mampu menggugat kestabilan pH dalam cecair badan (i.e darah) iaitu jenis dan keseimbangan makanan yang anda ambil (alkaline atau acidic), dan kesan sampingan tindak balas kimia dalam badan. Meskipun begitu, badan mempunyai sistemnya sendiri untuk memastikan pH darah sentiasa berlegar di antara pH 7.35 to 7.45, jika tidak plasma darah tidak boleh berfungsi dengan baik dan boleh mengundang maut. Antara 2 mekanisma yang paling dominan adalah, pertama, “Buffer Systems” (Buffer = Stabil) menggunakan ion phosphate dalam bentuk sebatian Calcium Phosphate, dan kedua, penyingkiran ion Hidrogen menerusi ginjal (kalau anda ingat kembali kelas kimia di bangku sekolah dahulu, ion H+ merupakan sebab mengapa sesuatu bahan itu bersifat asid, sebagai contoh Asid Hidroklorik (HCL), Fosforik (H2PO4) kedua-duanya mengandungi H+ dalam formula kimia masing-masing; menerusi penyingkiran ion H+ inilah sifat air kencing boleh menjadi terlalu berasid keesokkan paginya).

Apabila badan terdedah dengan makanan yang bersifat asidik pada kadar terlalu kerap, badan akan menggunakan mekanisma pertama untuk meneutralkan kembali asid yang ada dalam darah, dan jika keadaan ini berlaku setiap hari secara berterusan (memandangkan kebanyakkan makanan proses pada hari ini bersifat acidic, dan mudah didapati), ada kemungkinan badan akan cenderung untuk merembeskan Calcium Phosphate secara “luar kawalan” ke dalam darah, dan apabila darah melalui ginjal untuk ditapis, lebih banyak Kalsium akan berkumpul dan ini meningkatkan risiko pembentukan batu karang di ginjal dan pundi kencing. Disamping itu, mekanisma kedua juga pasti memberi beban kepada buah pinggang untuk “berkerja lebih” menyingkirkan ion H+ ke air kencing. Ini akan membuatkan persekitaran di sekitar laluan kencing menjadi sedikit berasid justeru menghasilkan kondisi yang baik untuk pembiakan bakteria dan jangkitan kuman (Urinary Tract Infections)

3 – Tahi / Lawas

Jangan tak tahu, rupa dan keadaan tahi juga memberikan ‘laporan’ akan bagaimana rupanya diet anda sehari sebelumnya. Contoh paling mudah adalah, sekiranya diet yang anda nikmati sehari sebelumnya tercemar dengan kulat dan bakteria, maka anda pasti sudah masak bagaimana rupanya kejadian selepas itu bukan? Kalau kami di utara, masa kecil-kecil dahulu biasa menggunakan istilah “beghak taik cayak kaler oghen” tanpa segan silu untuk merujuk situasi ini.

Sedikit garis panduan yang mungkin sempat saya kongsikan menerusi entri ini akan penafsiran rupa tahi dan kaitannya dengan diet anda sehari sebelumnya:

1 – Warna sedikit gelap / kearah kehitam-hitaman - Terlalu banyak mengambil sumber diuretic seperti kafein, juga pengambilan pil tertentu yang mengandungi lead/plumbum dan zat besi. Kebiasaannya jika berlaku sekali sekala ini normal, namun jika persistan/kerap, mungkin ada masalah lain. Rujuk doktor yang berdekatan.

2 – Terlalu pejal dan keras sampai tenggelam ke dasar – Diet kurang serat, boleh jadi kurang air juga, dan terlalu banyak sumber berminyak masuk dalam perut. Perbaiki keputusan ini dengan banyak mengambil sumber serat dari sayur-sayuran, buah-buahan, dan kurangkan makanan bergoreng. Sifat serat akan membuatkan tahi tersebut kurang tumpat dan tidak mustahil untuk “terapung”.

Untuk ulasan lebih lanjut berkenaan lawas, rujuk entri SS terdahulu iaitu Cerita Tentang Tahi (Bah. 1) dan Cerita Tentang Tahi (Bah. 2).


4 thoughts on ““Kad Laporan Prestasi” seorang Manusia

  1. Pingback: Kadar Baik-pulih Nadi | Susu Sejat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>