Kepuasan selepas bersenam, kurang stress, mengapa?

Mengapa mood anda riang selepas bersenam? 

1 – Manusia terdiri daripada beberapa sistem. Sistem-sistem ini mempunyai fungsi mereka sendiri dan merekalah yang membentuk ciri-ciri kemandirian manusia seperti bernafas, makan (pencernaan) dan membiak. Antara sistem-sistem ini, ada satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Saraf (Nervous System).

2 – Sistem saraf manusia berfungsi untuk menyelaras aktiviti-aktiviti badan dengan menghantar mesej ke otak dalam bentuk impuls sebagai tindak balas terhadap rangsangan yang diterima (stimuli).

3 – Bahagian-bahagian sistem saraf yang kompleks ini boleh dibahagikan kepada 2, iaitu sistem saraf pusat (otak, saraf tunjang atau spinal chord) dan periferi (cabang-cabang saraf yang lain).

Sistem saraf pusat terdiri dari otak dan saraf tunjang (bahagian tengah) manakala periferi pula terdiri dari distribusi saraf-saraf kecil (luar dari kawasan tengah)

Sistem saraf pusat terdiri dari otak dan saraf tunjang (bahagian tengah) manakala periferi pula terdiri dari distribusi saraf-saraf kecil (luar dari kawasan tengah, selain dari saraf tunjang dan otak)

4 – Sistem saraf ini mempunyai cabang-cabang yang sangat banyak. Seperti dalam rajah di atas, cabang-cabang ini kelihatan secara kasar seperti wayar yang berhubungan dan berselirat. Namun apabila diteliti secara mikroskopik, ia sebenarnya terdiri daripada berjuta-juta sel yang ‘hampir bersambungan’ secara fizik antara satu sama lain; sel ini dikenali sebagai Neuron (sel saraf).

5 – Neuron mempunyai rupa fizik yang berbeza berbanding sel-sel badan yang lain. Tatkala kebanyakkan sel dalam badan berbentuk bulat/sfera (seperti sel lemak), bentuk neuron adalah lebih abstrak – ia mempunyai begitu banyak ‘tangan’ dan ‘jari-jemari’ yang dikenali sebagai dendrites (jejari yang berdekatan dengan nukelus, atau bolehlah dipanggil ‘kepala’) dan terminal axon (jejari pada sebelah ‘ekor’) – keduanya berfungsi sebagai medium perhubungan antara satu neuron dengan neuron yang lain. Perhubungan yang macam mana itu?

Struktur umum Sel saraf (Neuron) - fokus kepada Dendrites dan Terminal Axon sahaja buat masa ini.

Struktur umum Sel saraf (Neuron) – fokus kepada “Dendrites” dan “Terminal Axon” sahaja buat masa ini.

6 – Perhubungan yang dimaksudkan sebentar tadi adalah peghantaran insyarat yang disampaikan dari satu neuron, kepada neuron yang lain, dan isyarat ini pula adalah dalam bentuk bahan kimia yang dikenali sebagai neurotransmitter.

7 – Sebagai contoh, Neuron A (berada berdekatan dengan kawasan di mana rangsangan diterima, atau senang cerita hujung saraf) hendak menghantar isyarat ke otak, namun tindakan ini perlu melalui berjuta-juta neuron sebelum isyarat itu sampai ke otak. Lalu Neuron A akan menghantar isyarat kepada Neuron B dahulu. Oleh itu, terminal axon Neuron A akan berada berdekatan dengan dendrite Neuron B, dan isyarat (neurotransmitter) akan diberikan.

Kemudian terminal axon Neuron B pula akan menghantar isyarat yang sama kepada dendrite Neuron C, dan terminal axon Neuron C menghantar isyarat kepada dendrite Neuron D, dan begitulah seterusnya, melalui berjuta-juta neuron sehinggalah isyarat sampai di otak. Meskipun di atas kertas, kita melihat proses ini sangat panjang, tetapi tahukah anda semua ini berlaku dalam tempoh yang SANGAT PANTAS. Pantas yang maca mana itu? Bayangkan tangan anda tersentuh cerek yang panas, dan anda secara refleks mengalihkan tangan anda; bahagikan tempoh masa tersebut kepada 2, dan itulah tempoh masa yang perlu diambil oleh Neuron A untuk menghantar isyarat ‘rasa panas’ itu ke otak. Pantas bukan?

Masa belajar dahulu, kalau nak senang ingat, saya selalu membayangkan yang Neuron A akan ‘berak’ (bahagian ekor / axon) dan ‘tahinya’ (neurotransmitter) akan dimakan oleh Neuron B (bahagian kepala / dendrite). Neuron B pula akan berak apa yang sudah dimakan itu dan tahinya akan dimakan pula oleh Neuron C, dan begitulah seterusnya.

Chemical_synapse

8 – Jika anda rujuk nota no.4, disebutkan bahawa neuron-neuron ini tidak lah bersambung atau bersentuhan antara satu sama lain (terminal axon Neuron A tidak bercantum dengan dendrite Neuron B pun). Jika anda perhatikan rajah di atas, terdapat satu ruang kosong antara mereka, dan ruang ini dikenali sebagai synapse.

9 – Berbalik kepada kisah neurotransmitter, pergerakannya dari terminal axon ke dendrite (receptor) menghasilkan sedikit perbezaan potensi arus elektrik dikenali sebagai membrane potential –  ini disebabkan oleh perbezaan kepekatan ion yang terdapat di antara luar sel dan dalam sel. Disebabkan neuron ini amat sensitif dengan perubahan arus elektrik di sekitarnya, ia juga merupakan isyarat kehadiran neurotransmitter ini kepada mereka (dendrites).

10 – Ada berbagai jenis neurotransmitter yang terdapat dalam badan kita. Dipendekkan cerita, ada sejenis neurotransmitter yang dikenali sebagai Opioid Peptide (atau cukup saja dengan nama Opioid). Berbeza dengan jenis neurotransmitter yang lain, Opioid boleh melekat/diterima oleh suatu receptor yang ada pada otak dipanggil Opioid Receptor. Kenapa ia dipanggil Opioid? Ini kerana receptor ini mentafsir isyarat yang diterima sebagai rasa ‘high’ atau rasa selesa (dalam bahasa Inggeris, Opium adalah bermaksud dadah/candu). Opioids juga sering digunakan sebagai ubat tahan sakit dalam bidang perubatan (sakit masih ada, cuma otak mentafsirnya sebagai ‘tak sakit’).

11 – Terdapat beberapa opioid yang dihasilkan oleh tubuh badan hasil dari rangsangan oleh seseuatu tindakan. Antaranya Endorphins (oleh Kelenjar Pituitary dan Hypothalamus yang terletak berhampiran otak). Tindakan atau rangsangan yang membawa kepada penghasilan Endorphins adalah senaman, rasa keterujaan, kesakitan (termasuk apabila makan makanan pedas), rasa cinta dan orgasma ketika seks.

endorphin

12 – Nama Endorphins berasal dari singkatan 2 istilah iaitu “Endogenous Morphine” – merujuk kepada bahan seperti morphine (dadah) yang dihasilkan secara semulajadi oleh badan. Endorphins juga dikenali dengan nama jolokan “the feel-good chemical” (dah macam slogan ntv7 bunyinya)

13 – Ketika bersenam, Endorphins dirembeskan oleh kelenjar pituitary ke dalam darah, kemudian dikesan oleh neuron-neuron di bahagian saraf tunjang dan seterusnya sampai ke otak. Kebiasaanya ia banyak dirembeskan ketika senaman berintensiti sederhana dan tinggi dilakukan (pernafasan menjadi tercungap-cungap / laju).

14 – Dipercayai ia dirembeskan untuk memberikan rasa selesa kepada individu yang bersenam memandangkan bersenam juga memberikan kesan ‘kesakitan’ kepada tubuh badan. Pernah terfikir, mengapa bicep anda tidak pernah terasa sakit ketika melakukan bicep curls, waima secara teori luka mikroskopik pada otot sudah berlaku ketika itu, namun otak anda masih berfikir ia tidak sakit dan anda boleh lakukan lebih lagi, namun pada sebelah malam atau keesokkan harinya, anda mula merasa sakit pada bahagian tersebut?

endorphine-2

15 – Endorphins juga dipercayai merupakan salah satu faktor penting anti-penuaan, anti-stress, anti-tekanan perasaan, mengurangkan rasa marah, menguatkan sistem imun badan dan merendahkan bacaan tekanan darah (semua ini juga merupakan kelebihan/kesan langsung dari bersenam, terima kasih kepada Endorphins).

16 – Berapa lama paras Endorphins akan bertahan dalam badan selepas bersenam? Ia berbeza dari individu ke individu. Ada individu yang puas dan mempunyai mood riang meskipun setelah bersenam berjam-jam lamanya. Macam saya.

17 – Kini anda tahu mengapa mereka yang sering bergiat aktif / bersenam itu jarang stress, sentiasa riang dan berfikiran positif? Mengikut pengalaman saya, mereka yang aktif bersukan dan rajin belajar, adalah pelajar yang paling cemerlang dan pandai dalam sekolah/institusi tersebut. Barangkali, mereka tidak terlalu stress ketika belajar dan apa yang dipelajari itu mudah untuk dihadam oleh otak.

seronok

Sebaliknya, mereka yang jarang / tidak pernah bersenam dan sentiasa diselubungi kesibukan kerja pula biasanya mempunyai risiko yang tinggi untuk menerima tekanan / stress. Barangkali kerana otak kurang mendapat Endorphins dan Costisol pula banyak berkumpul dalam badan. Anda pasti tidak mahu jadi seperti itu bukan? Kini anda sudah ada alasan untuk meluangkan masa untuk beriadah dan bersenam sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

Nota: Alang-alang dah faham bagaimana sistem saraf kita bekerja, mungkin untuk entri-entri mendatang, saya boleh kupas info beberapa bahan kimia lain di sekeliling kita yang berkaitan secara langsung dengan sistem saraf kita. Salah satunya adalah Monosodium Glutamate (MSG) dalam makanan.

*****

248x150Nak tak belajar strategi diet untuk kawal berat badan dengan lebih teratur dan berkesan? Kalau nak, jom dapatkan Diari Diet dan mula belajar cara untuk rekodkan diet anda! (sementara stok masih ada)

Comments

  1. By Safarah

    Reply

  2. By Kopiah Hijau

    Reply

  3. By Mohd Zaki

    Reply

  4. By rifaie

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *