Kisah dan Tauladan Azni Azuni

Dah lama rasanya tak kongsikan kisah kejayaan dalam blog ni. Tempoh hari saya baru perasan ada sebuah “kisah” yang telah dikongsikan dalam group April tahun lalu dan saya sudah berjanji ingin menyebarkan kisah beliau dalam blog supaya lebih ramai lagi yang berpeluang membacanya, tetapi biasalah resam manusia, mudah terlupa. Ini amanat yang cuba hendak disampaikan oleh saudari Azni Azuni kepada semua rakyat Malaysia di luar sana, baca, faham, dan fikir-fikirkan.

Harap maaf, tiada gambar dari tuan punya badan atas faktor privasi dan keselamatan. Sekiranya anda ingin menyampaikan maklum balas terus kepada Azni Azuni, bolehlah menghubungi beliau terus ke laman facebook beliau.

Profile Picture yang digunakan oleh Azni Azuni. Sila curi dan masukkan dalam testimoni produk anda... *sarcasm*

Profile Picture yang digunakan oleh Azni Azuni sejak sekian lama. Sila curi dan masukkan dalam testimoni produk anda… *sarcasm*

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua :)

Semoga ceria dan sihat-sihat selalu hendaknya :) Izinkan saya untuk berkongsi serba-sedikit tentang kisah saya. mungkin tak begitu menarik tapi saya tak kira, nak kongsikan juga ;p

Dulu saya kurus je. Saya sedar berat badan saya bertambah sejak saya ada kereta. Sebelum tu saya naik bas je pergi dan balik kerja. Dulu saya memang banyak berjalan kaki dan kadang-kadang berlari kerana nak kejar bas. Bila dah ada kereta faham-faham sajalah, parking dekat dengan lif, so jalan sikit je. Keje di ofis pula memang banyak duduk depan PC, so tak banyak bergerak juga. Masa tu saya tak ada mesin penimbang jadi walaupun saya dapat rasa yang berat saya makin bertambah tapi saya rasa tak apa, kalau naik pun naik sikit je kot.

Setahun selepas itu baru saya sedar sebenarnya berat saya dah naik banyak, semua gara-gara selepas saya tengok gambar saya yang tembam terlebih, huhuhu… masa tu saya pergi timbang berat dan amat terkejut melihat angka di mesin itu…macam tak percaya!!! Begitu banyak sekali peningkatan!!! (tak perlulah bagitau kat sini ye hehehe)

Sejak itu saya pun berazam untuk menurunkan berat badan. Selepas itu, saya pun ‘berjalan-jalan’ di internet untuk mencari cara-cara yang terbaik untuk kembali kurus. Sebenarnya beberapa bulan sebelum itu saya ada berjumpa dengan seorang kawan yang memang sedang berusaha nak turunkan berat badan. Dia yang banyak bercerita kepada saya tentang konsep kalori. Tapi masa tu saya memang tidak paham apa yang dia ceritakan tu. Jadi bila kena giliran saya pula yang berusaha hendak kurus ni saya teringat semula cerita dia tentang kalori tu. Atas rasa ingin tahu yang tinggi tentang konsep kalori itu lah akhirnya saya bertemu dengan blog SS ni… alhamdulillah… :)

Kini, walaupun masih banyak yang perlu saya lakukan untuk mengembalikan diri saya seperti saya yang dulu tetapi saya rasa sangat-sangat bersyukur. Masa saya mula-mula sedar saya dah semakin ‘kembang’ tu saya rasa sangat sedih, kenapa saya tak mampu nak kekal kurus macam orang lain walhal tengok orang lain seronok je makan tanpa perlu risau apa-apa. Tetapi sekarang saya sedar ujian yang menimpa ini sangat besar hikmahnya buat saya. Sejak mengenali blog SS ini barulah saya sedar menjaga pemakanan itu bukanlah untuk kurus semata-mata tetapi menjaga kesihatan melalui pemakanan yang baik itu jauh lebih penting.

Saya rasa bersyukur sangat kerana kini saya dapat meluaskan ilmu saya tentang pemakanan. Sebagai seorang wanita, adalah sangat penting untuk mempunyai ilmu dalam pemakanan ini kerana kita yang akan memasak untuk keluarga (suami dan anak-anak), jadi kesihatan keluarga kita bergantung kepada kita, orang perempuan, sebenarnya. Besar tanggung jawabnya di situ.

Dan juga sebagai seorang Islam, alhamdulillah, saya dapat lebih memahami apa yang telah Allah SWT sebutkan dalam Al-Quran supaya kita memakan makanan yang halalan tayyiban menerusi surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud; “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Selama ini kita umat Islam hanya menekankan makanan yang halal sahaja tetapi tidak begitu memahami konsep tayyiban itu sendiri. Tayyiban bermaksud baik. Apa-apa yang baik seharusnya tidak memberi kemudaratan.  Maka, secara asasnya, makanan yang baik ialah makanan yang mampu memberi keperluan yang mencukupi kepada tubuh badan kita dan terhindar daripada bahan-bahan yang boleh memudaratkan tubuh badan. Walaupun halal tetapi kalau tinggi kolestrol, tinggi kadar gula dan sebagainya tetap tidak menepati ciri-ciri makanan yang dianjurkan kerana tidak Tayyiban.

Saya rasa stakat ini dahulu perkongsian saya untuk kali ini. Semoga bertemu lagi pada perkongsian yang lain-lain pula jika diizinkan Allah :)

Wassalam

~ Sihat itu ibadah :) ~

(Sekiranya anda mempunyai pengalaman menarik untuk dikongsikan berkenaan ‘transformasi’ atau perubahan diri anda ke arah lebih baik dan sihat, anda boleh berbuat demikian dengan menghantarkan kisah transformasi anda ke sususejat[at]gmail.com)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *