Wehhh… makan sebelum tidur menggemukkan!

Rasa-rasanya anda setuju tak dengan pernyataan (tajuk) di atas? Kalau tanya pada saya ketika ini, saya memilih untuk ‘neutral’ dan tidak cenderung ke arah mana-mana pendapat. Hal ini kerana, memang ada beberapa kajian yang mendakwa badan akan cenderung untuk simpan lemak kalau kita makan pada sebelah malam.

Teori jam biologi manusia (circadian rhythm) digunakan untuk menerangkan hal ini. SupraChiasmatic Nucleus (SCN), iaitu sepasang sel berbeza yang terletak di hypothalamus (berdekatan otak), dikatakan kurang aktif pada sebelah malam, namun akan dikejutkan andai terdapat ‘external factor’ dan disrupsi ini mampu mengubah kitaran fisiologi.

Kitaran Circadian mencadangkan yang cara tubuh manusia bekerja secara biologi turut dipengaruhi oleh perubahan waktu dan sekeliling. Tiga orang saintis Amerika (Jeffrey C. Hall, Michael Rosbash dan Michael W. Young) telah menerima Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan pada tahun 2017 untuk hasil kajian mereka berkenaan Kitaran Circadian.

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan pada 2013 dalam jurnal “Current Biology”, tikus mencit (haiwan yang biasa digunakan untuk mengkaji fisiologi mamalia seperti manusia) didapati mempunyai regulasi gula darah yang berbeza mengikut waktu. Tindakan menggangu waktu tidur mereka (disrupsi Kitaran Circadian) dikatakan penyebab mereka menjadi gemuk.

Pada tahun yang sama juga, sebuah artikel di jurnal Obesity menunjukkan Kitaran Circadian membuatkan manusia lebih lapar dan cenderung memilih makanan manis, berkanji dan masin pada sebelah malam. Tindakan ini berguna pada waktu dahulu di mana sumber makanan tidak banyak dan sukar didapati, namun dalam konteks hari ini, ia amat MERBAHAYA.

Contoh Pemilihan Diet yang tidak seimbang…

Sebagai contoh, kecenderungan orang kita untuk mengambil teh tarik dan makan makanan yang berat ketika melepak di kedai mamak pada lewat malam. Apabila amalan ini sentiasa diteruskan, akhirnya kalori yang akan diambil untuk hari tersebut pasti berlebihan dari sepatutnya.

Pada tahun 2015, Kinsey dan Ormsbee (2015) berpendapat perspektif baru untuk makan lewat malam perlu distruktur semula kerana ramai juga berpandangan:

kesan negatif dari makan lewat malam tidak semestinya konsisten berlaku seandainya pemilihan makanan tersebut bersaiz kecil, tinggi nutrien (nutrient-dense), dan makanan yang rendah tenaga (contoh: kurang dari 400kcal)

Perspektif baru ini juga mencadangkan makan lewat malam seperti supper mampu membekalkan nutrien penting kepada tubuh badan untuk tempoh 8 jam tidur, sekali gus memberikan kesan positif kepada fisiologi tubuh badan manusia.

Kesimpulannya, sekiranya anda ‘pro’ kepada mereka yang perlu ambil supper sebelum tidur, pandangan anda tak salah. Satu cawan oat dan susu rendah lemak sebelum tidur, why not? 1 bancuhan protein whey dan susu rendah lemak pun apa salahnya nak ambil kan? It’s good for our body.

Dan kalau anda ‘pro’ kepada makan malam itu menggemukkan, anda juga tak salah kerana dakwaan anda telah disahkan oleh kajian-kajian sebelum ini. Lebih-lebih lagi jika anda menggunakan konteks sosial masyarakat kita pada hari ini (amalan melepak / mengeteh) sebagai contoh.

Nota: Makan malam TIDAK menggemukkan selagi kalori yang masuk dari makanan itu seimbang dengan aktiviti seharian anda. Cuma makan berat sebelum tidur dikhuatiri akan menganggu proses penghadaman dan mendatangkan ketidakselesaan pada perut.

 ==========

Artikel ini merupakan salah satu topik yang dibincangkan dalam Siri Buku Celoteh Susu Sejat (CSS) Edisi ke-3 iaitu “Diet dan Nutrisi“. Jika anda sukakan penulisan ilmiah yang santai seperti ini, dapatkan siri buku CSS ini segera sementara stok masih ada; klik sini (Whatsapp) atau sini (Facebook).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *