Meloncat selepas makan boleh mengakibatkan sakit ‘appendix’?

Bersenam selepas makan juga pun boleh mengakibatkan sakit ‘appendix’?

Dulu masa kecil-kecil, setiap kali lepas makan mesti aku dan adik beradik lain akan menjadi aktif. Berlari sana, berlari sini. Terloncat-loncat macam hantu pocong pun ada, mungkin sebab terlalu gembira dah kenyang. Walaupun ada satu ketika, tak semena-mena mak akan mencelah dan menegur kami semua dengan nada yang keras, “Hei, lepas makan jangan terus berlari, nanti kena ‘appendiks’ baru tau!” Aku percaya, hal yang sama juga dilakukan oleh ibu bapa anda atau sesiapa saja ketika anda masih kecil, kan? Namun, sejauh manakah kebenaran itu?

Sakit ‘appendix‘, atau nama sebetulnya dalam kamus perubatan ‘appendicitis‘ adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada inflamasi/kesakitan seuntai tisu yang terjuntai pada hujung usus besar, dikenali sebagai ‘appendix‘ (appendiks). Sehingga kini, fungsi sebenar appendix masih belum diketahui. Yang sebetulnya juga, inflamasi/kesakitan appendiks ini adalah berpunca dari jangkitan kuman dan tiada kena-mengena langsung kehadirannya disebabkan anda terloncat-loncat macam pocong atau bersenam sejurus selepas makan. Semua yang diperkatakan kepada kita sejak kecil itu hanyalah mitos.

Selepas makan, anda tidak digalakkan untuk terus bersenam atau berlari disebabkan satu faktor iaitu ‘kelancaran proses penghadaman‘. Sekiranya anda terus bersenam atau berlari sejurus selepas makan, kemungkinan besar proses penghadaman makanan akan terganggu kerana sebahagian besar makanan masih lagi berada dalam bentuk pepejal dan berada dalam perut anda. Otot perut akan berusaha keras untuk mencernakan makanan tersebut dan menukarkannya kepada separa cecair untuk diserap ke dalam darah sebelum disampaikan kepada sel-sel yang memerlukan.

Untuk menjayakan proses ini, otot perut memerlukan jumlah oksigen yang cukup untuk berkerja. Namun, sekiranya anda terus bersenam/bersukan/berlari, kemungkinan besar sumber oksigen akan menjadi terhad kerana sudah pasti otot seperti kaki dan lengan akan ‘mencuri’ sumber oksigen yang ada, dan ini sekaligus menganggu tugas-kerja otot perut. Dalam kes yang lebih teruk, otot perut akan memberi respon yang negatif dengan memuntahkan balik semua makanan yang ada kerana dia (otot perut) tidak mampu untuk menjalankan kerja tersebut. Sama kesnya seperti seorang bos yang memberi tugasan kepada pekerjanya, tapi gaji pendahuluan tak nak bayar, mahu dipulangkan balik semua kerja tersebut ke meja bos. Anda faham mekanismanya sekarang?

Oleh yang demikian, sebelum melakukan apa-apa aktiviti fizikal seperti bersenam/berlari/bersukan, ada baiknya anda beri peluang buat otot perut untuk menghadam makanan yang dimakan sebaiknya. Berapa lama tempoh antara selepas makan dan permulaan aktiviti fizikal yang hendak dilakukan? Ia bergantung kepada sejauh mana besarnya intensiti aktiviti fizikal yang anda hendak lakukan. Dalam kebanyakan kes, secara asasnya juga ia bergantung pada 2 perkara iaitu:

1. Kuantiti makanan yang dimakan – lebih banyak makanan yang diambil, lebih lama tempoh penghadaman yang harus diberikan. Kalau makanan tengahari biasa mengambil masa sekitar 4 jam sebelum boleh mula apa-apa jenis senaman.

2. Jenis makanan yang dimakan – kebiasaannya makanan yang mengandungi lemak akan lama sedikit tempoh cernanya. Sebab tu bila anda membaham nasi beriani secara puaka pada sebelah pagi, sebelah malam kalau bersendawa pun kadang-kadang mesti ada bau beriani.

Comments

  1. By fat

    Reply

  2. By cahaya

    Reply

  3. Reply

  4. By Zunita Othman

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *