Mengapa garam mengakibatkan penyakit darah tinggi? (Updated Theory)

Sebelum ini, kebanyakan doktor, pakar nutrisi dan jurulatih kecergasan berpendapat bahawa penyakit darah tinggi adalah disebabkan oleh peningkatan isipadu darah. Garam, jika diambil berlebihan akan mengakibatkan isipadu cecair darah meningkat, sekaligus memberi tekanan pada dinding arteri. Walaubagaimanapun, pendapat ini hanyalah tinggal pendapat dan mungkin akan menjadi mitos sahaja selepas ini. Ini kerana, beberapa penyelidik dari Boston University School of Medicine (BUSM) telah memberikan penjelasan sebenar mengapa hal ini (darah tinggi) boleh terjadi, berdasarkan beberapa hujah dan kajian yang dilakukan sejak akhir-akhir ini.

Artikel akademik (journal) tersebut ditulis oleh Dr. Irene Gavras dan Dr. Haralambos Gavras, kedua-duanya merupakan professor di BUSM dan artikel tersebut juga telah dilampirkan dalam Journal of Hypertension awal tahun 2012.

Menurut mereka, kehadiran garam yang berlebihan akan merangsang sistem saraf (dikenali sebagai sympathetic nervous system) untuk menghasilkan Adrenalin, sejenis bahan kimia perangsang yang mampu meningkatkan degupan jantung dan “mengecilkan” salur arteri, dan dek kerana kehadiran Adrenalin inilah maka berlakunya penyempitan arteri (lalu terjadinya tekanan darah tinggi). Ini sama sekali menafikan teori perubatan selama ini yang berpendapat darah tinggi adalah disebabkan oleh peningkatan isipadu cecair darah oleh kehadiran garam berlebihan.

Istilah “penambahan isipadu” (volume-expanded hypertension) bermaksud garam yang berlebihan akan mengakibatkan pengumpulan cecair tambahan (retention) dalam sistem peredaran darah di arteri, menyebabkan peningkatan isipadu darah sekaligus menambah tekanan ke atas dinding arteri. Namun begitu, beberapa kajian terkini telah menunjukkan hal ini, bersama faktor-faktor lain yang menyebabkan “penambahan isipadu” termasuklah rembesan hormon antidiuretic atau peningkatan paras gula dalam darah, langsung tidak menyebabkan peningkatan tekanan darah kerana isipadu darah yang berlebihan boleh “disimpan” (diatasi) oleh proses pengembangan kapilari dan pembuluh darah.

“Sistem peredaran darah kita ni sangat fleksibel. Ia berupaya untuk membuka lebih ruang (kapilari dan pembuluh darah) jika berlakunya pertambahan isipadu darah,”

Dr. Irene Gavras

Berdasarkan beberapa hasil kajian lepas yang dikumpulkan, mereka menyimpulkan bahawa apabila berlakunya pengumpulan garam dalam darah (kerana terlebih ambil garam menerusi diet), sistem saraf sympathetic yang terletak di otak akan terangsang, lalu Adrenalin pun dirembeskan ke dalam darah. Kehadiran Adrenalin akan mengakibatkan liang/salur arteri “mengecut” secara automatik, dan apabila jumlah Adrenalin yang terdapat dalam darah meningkat, maka tekanan darah pun meningkat.

Comments

  1. By cahaya

    Reply

    • Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *