Mengenal E. coli: Adakah E. coli itu jahat?

Tergerak hati aku untuk bercerita tentang isu semasa yang sedang hangat diperkatakan dunia pada masa kini, iaitu penularan bakteria E. coli (jenis O104) dalam makanan-makanan segar di Eropah. Isu yang berlaku pada masa kini seolah-olah menggambarkan bahawa E. coli itu makhluk yang jahat, ia membunuh, maka dengan itu ia merupakan sebahagian daripada bakteria berkategori ‘jahat’. Namun benarkah begitu?

Inilah wajah sebenar bakteria E. coli setelah melalui pembesaran imej sebanyak 15000X menggunakan mikroskop elektron.

Perasan tak, imej bakteria yang berada di tengah-tengah ini, kelihatannya mereka seperti bercantum. Namun mereka sebenarnya bukan sedang bercantum, tetapi sedang ‘berpisah’, atau lebih tepat lagi sedang membelah untuk membiak. Teruskan bacaan untuk mengetahui bagaimana bakteria seperti E. coli membiak.

Masyarakat umumnya mengetahui bahawa bakteria itu ada yang baik, dan ada yang jahat. Aku masih ingat lagi, suatu ketika dahulu aku pernah bertanya di Facebook kepada para pembaca, apa yang dimaksudkan dengan bakteria? Rata-rata, ramai yang menjawab, “Ada 2 jenis bakteria, satu bakteria yang baik, dan satu lagi bakteria yang jahat“. Terang-terangan terdapat unsur pengaruh iklan pada jawapan tersebut (minuman yogurt/susu kultur seperti Yakult selalu menggunakan ungkapan seperti ini dalam iklan mereka). Dan disebabkan bakteria E. coli ini sedang menular dan membunuh beberapa mangsa, maka ia diklasifikasikan sebagai bakteria yang jahat.

Namun bagi mereka yang terdedah secara langsung dengan sains, atau dalam bahasa mudahnya, saintis, itu sama sekali tidak benar. Malah, rata-rata saintis pasti akan menjawab soalan aku dengan jawapan seperti ini, “Ada 2 jenis bakteria, satu yang gram positive, satu lagi yang gram negative“. (Sekiranya perlu, aku akan terangkan lagi dengan lebih lanjut apa itu bakteria, pengelasannya, apa yang dimaksudkan dengan gram positive atau gram negative, dan hubungkait antara kewujudan bakteria dan kehidupan manusia dalam entri yang akan datang)

Apa itu E. coli?

E. coli, atau nama penuhnya Escherichia Coli, merupakan sejenis bakteria dari jenis gram negative (mempunyai lapisan peptidoglycan yang tebal) yang merupakan penghuni tetap (normal flora) dalam usus besar organisma yang berdarah panas, seperti manusia. Bentuknya adalah seperti rod (Bacillus) dan mempunyai saiz sekitar 2 mikrometer (μm) panjang dan 0.5 μm diameter. E. coli membiak dengan cara belahan dedua secara exponential (asalnya ada 1, kemudian 2, kemudian 4, kemudian 8, kemudian 16, dan begitulah seterusnya sehingga berjuta-juta banyaknya) dengan kadar purata 20 minit untuk sekali belahan. Klik pada video di bawah untuk melihat sendiri bagaimana E. coli membiak. Video telah dipercepatkan supaya anda boleh lihat sendiri bagaimana kesan pembiakkannya yang pantas dan dahsyat.

Tidak seperti manusia yang memindahkan maklumat genetik kepada gamet (sperma dan ovum) lalu terdapatnya perkongsian genetik antara kedua gamet untuk mendapatkan variasi anak (kacuk), E. coli (atau bakteria yang lain) mempunyai caranya yang tersendiri untuk memindahkan maklumat genetik dari satu bakteria kepada bakteria yang lain. Salah satunya adalah dikenali sebagai konjugasi. Menerusi kaedah konjugasi, seekor bakteria yang sudah menjalani mutasi, sebagai contoh rintang/kebal terhadap satu-satu jenis antibiotik, katakan antibiotik X, akan ‘berkongsi’ maklumat genetik yang sama (kebal terhadap antibiotik X) dengan bakteria-bakteria sejenis yang lain. Dengan cara itu, maklumat genetik tersebut dapat tersebar ke seluruh koloni, dan seterusnya kepada seluruh umat E. coli di atas muka bumi ini. Sharing is caring juga bakteria ni kan?

Bukan bakteria jahat

Memandangkan E. coli merupakan penghuni tetap (normal flora) dalam usus besar manusia sejak zaman nabi Adam lagi, maka adakah ia layak dikira sebagai ‘jahat’? Kalau benarlah ia jahat, sudah lama ia tidak menetap dalam badan manusia kerana kehadirannya pasti akan mengancam kesihatan manusia. Namun ia tidak dicipta untuk itu, malah kewujudannya di dalam usus besar amat diperlukan untuk mencernakan karbohidrat yang tidak tercerna oleh sistem pencernaan manusia sebelum itu. Ini kerana manusia tidak mempunyai enzim-enzim khas yang mampu menguraikan dinding sel tumbuhan yang terbina daripada polisakarida, namun bakteria seperti E. coli mampu menghasilkan enzim yang berkenaan.

Selain itu, E. coli yang menghuni usus besar manusia juga bertindak sebagai kawan sejati yang membekalkan Vitamin K kepada manusia, disamping kewujudan mereka mampu menghalang patogen-patogen jahat (bakteria luar yang bukan sebahagian daripada normal manusia) daripada terus membiak dan bermaharajalela di sana.

Itulah E. coli yang secara umumnya baik dan setia menghuni dalam usus besar manusia. Aku akan ceritakan lagi kebaikan umum E. coli terhadap manusia sejagat pada entri yang akan datang, juga beberapa ‘jenis’ (hanya segelintir) E. coli yang benar-benar bahaya dan membawa maut kepada manusia (bersambung….)

E. coli pada permukaan tahi?

Comments

  1. Reply

  2. By someone

    Reply

    • Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *