Mentaliti ‘A’ dan Mentaliti ‘B’

Mentaliti A

Jam menunjukkan tepat pukul 1 tengahari. Samsul bergegas ke restoran berdekatan pejabatnya untuk mendapatkan sehidangan makanan untuk melengkapi fitrah perutnya.

Sesampai di restoran yang dimaksudkan, diperhatikannya begitu banyak lauk pauk yang terhidang, dari yang bergoreng kering, hingga yang berkuah. Rata-rata semuanya berminyak belaka, kecuali ulam-ulaman yang terletak betul-betul di hujung meja, bersebelahan bekas sambal belacan.

Dicapainya pinggan kosong, diletakkan nasi penuh-penuh di atas pinggan tersebut sehinggakan seperti bukit larut bentuknya. Dibeleknya satu persatu lauk yang ada, melihat sama ada di sebalik kuah yang pekat dan berminyak itu adalah ikan, ayam, atau pun daging. Sekiranya ikan, ditinggalkannya begitu sahaja kerana tahu dasar kapitalis penjual di lembah kelang yang suka meletakkan harga ikan semahal melebih RM5 untuk seketul.

Akhirnya setelah beberapa ketika, bertemulah si Samsul akan lauk yang menepati citarasa di hati; daging masak kicap. Kemudian ternampak pula seketul ayam goreng celup tepung. Dipilihnya bahagian thigh (tulang punggung). Meskipun tahu yang tebal itu hanyalah kerak, walhal isi ayam itu hanyalah seciput setelah dipotong beberapa bahagian, namun Samsul tidak peduli akan hal tersebut. Ini kerana beliau suka makan kerak ayam goreng. Crunchy bak hang!

Sebagai penutup pilihan lauk pauk tengahari itu, beliau mendapatkan bekas yang mengandungi sambal tumis, dicapainya senduk lalu dicedok dan dituangkan kuah sambal tumis tersebut ke atas nasinya. Nah! Habis banjir hidangan nasi tersebut, tetapi hatinya puas. Kelihatan bergerak sedikit halkumnya, petanda beliau sedang menelan air liur.

Setelah puas memerhatikan hidangan nasinya, dijeritnya dari meja makan sambil memandang ke arah dapur kedai makan, saling tak tumpah seperti seekor giant yang kelaparan,

 “Bro, teh ais satu!”

Mentaliti B

Jam menunjukkan tepat pukul 1 tengahari. Sepul bergegas ke restoran berdekatan pejabatnya untuk mendapatkan sehidangan makanan untuk melengkapi fitrah perutnya.

Sesampai di restoran yang dimaksudkan, dicapainya pinggan kosong, diletakkan nasi sedikit demi sedikit, rapi memenuhi sepertiga pinggan tersebut. Kemudian dibeleknya satu persatu lauk yang ada, melihat sama ada di sebalik kuah tersebut adalah ikan, ayam, daging, atau hanya sekadar ‘bebola tepung’. Dalam masa yang sama, otaknya ligat berfikir,

Hidangan seimbang untuk hari ini? Hmmm. Sumber karbohidrat dah pilih (dimaksudkannya nasi). Mana satu pilihan sumber protein nak pilih tengahari ini ye? Semuanya nampak berminyak dan tricky. Kena berhati-hati ni.”

Akhirnya setelah beberapa ketika, bertemulah si Sepul akan lauk yang menepati citarasa dan jawapan kepada persoalannya sebentar tadi; ayam goreng bahagian dada. Kemudian dicedoknya sedikit kuah masak kicap ke tepi pinggannya, agar hidangannya nanti tak lah terasa ‘tawar’ sangat. Kemudian beliau berfikir lagi,

“Sumber Karbohidrat dah ada, Protein pun dan ada. Mana nak cari sumber alkaline yang elok pulak ye?”

Untuk menjawab persoalan yang baru terlintas itu, beliau berjalan ke hujung meja lauk pauk lalu mendapatkan dulang ulam-ulaman. Diambilnya beberapa hiris timun, salad, dan tomato sebagai penutup kepada pemilihan hidangan lauk pauknya tengahari itu. Bagaimana pula dengan sumber lemak?

“Hmmm, tak payah la. Ayam goreng ni pun dah ada lemak. Kalau nak lemak yang lebih elok, petang ni aku makan snek kacang gajus

Sedang beliau hendak mendapatkan meja makan, tiba-tiba beliau disapa oleh satu suara dari arah belakang,

“Abang nak minum air apa?”

Ditolehnya, sambil tersenyum lalu membalas,

 “Bagi air suam satu”

Moral: Fikir dahulu sebelum bertindak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *