Monologku kerana berfikir, apa tujuan makan yang sebenarnya…

Pepatah Inggeris ada menyebut, “Breakfast like a king, lunch like a prince, dinner like a paupper“. Terjemahan kepada pepatah ini adalah, “Bersarapanlah seperti Raja, makan tengahari seperti putera, dan makan malam seperti pengemis”. Mesej yang cuba disampaikan menerusi pepatah ini adalah mudah, iaitu “Makanlah mengikut keperluan“.

Versi ‘pepatah’ yang sama juga ada diajar dalam Islam, maksud yang lebih kurang sama tetapi menggunakan pendekatan ayat yang berbeza, iaitu keserdehanaan.

Makanlah sebelum (ketika) lapar, berhentilah sebelum kenyang

“…dan makanlah dan minumlah. Jangan kamu melampau-lampau. Allah tidak suka pada orang yang melampaui batas…” (al-A’raf: 31)

Aku cuba merenung kembali maksud yang cuba disampaikan menerusi kata-kata di atas. Kedua-duanya nampak sama, tetapi sebenarnya berbeza. Apabila digabungkan, maka dapatlah satu konsep diet yang sempurna, yang mana kita kenali sebagai “calorie equilibrium“.

Makan ikut keperluan – Definisi keperluan bermaksud perkara asas. Ibaratkan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam itu seperti pakaian. Pakaian itu harus ada baju, seluar, tudung, dan sebagainya. Andaikata tercicir satu, maka keperluan tidak akan menjadi lengkap. Setiap satunya datang bersama dalam satu pakej, supaya ia kelihatan lengkap. Harus diketahui juga bahawa saiz setiap pakaian tidak sama, bergantung kepada keperluan untuk menutup anggota yang berkenaan. Saiz baju tidak sama seperti seluar mahu pun tudung. Ia bergantung kepada “berapa besar” kain yang diperlukan untuk menutup anggota yang tersebut. Walaupun ramai yang tahu akan hal ini, tetapi tidak dinafikan masih ada yang ‘tercicir’ bersarapan kerana terlalu sibuk, atau sengaja melucutkan ‘makan malam’ dengan alasan mahu berdiet. Kenapa mahu menyiksa diri wahai manusia?

Keserdehanaan – Definisi keserdehanaan ini meluas, dalam konteks hari ini, ia bermaksud ‘ala qadar‘ dan tidak membazir. Mengambil perumpamaan yang sama iaitu pakaian, kita tahu pakaian itu adalah perkara asas, ia harus ada. Tetapi kita harus ingat, pakaian ini ada yang mahal dan ada yang murah. Yang mahal tak semestinya berkualiti, dan yang murah tak semestinya ‘low class‘. Juga harus diketahui juga berapa pasang pakaian tersebut yang harus dibeli? Mereka yang mengamalkan konsep keserdehanaan pasti tahu, belilah/ambillah sekadar yang perlu, biarlah yang dibeli itu murah tetapi berkualiti. Ada yang mahal ‘nak mampos’ seperti aiskrim Baskin Robbins atau Mocha Starbucks tetapi tak berkualiti mana pun.

Aku masih ingat lagi ketika aku masih kecil, aku selalu menziarahi datuk dan nenek di kampung belah emak (Sarawak). Setiap pagi, seawal jam 7 pagi lagi mereka sudah makan nasi. Aku hampiri keduanya dan aku lihat sambil aku menjamah sekeping biskut yang emak sediakan untuk aku bersarapan pada pagi itu. Aku lihat mereka makan nasi seperti makan tengahari. Ada sayur, ulam-ulaman, ikan goreng, sup ayam dan segelas air kosong. Aku perhati nasi dalam pinggan datuk yang banyak membubu seperti bukit. Lalu aku bertanya datuk dengan penuh kehairanan (aku bertanya dalam bahasa bidayuh, sebab masa aku kecil-kecil dahulu aku fasih berbahasa bidayuh sebelum berpindah ke semenanjung).

“Awalnya datuk dan nenek makan nasi?’

Datuk tidak menjawab tetapi hanya mampu tersenyum sambil mulutnya giat mengunyah makanan. Aku kehairanan lagi, lalu salah seorang pakcik aku (adik emak) menegur,

“Datuk dan nenek makan nasi sebab mereka nak ke ladang. Kena makan nasi untuk dapatkan tenaga, kalau tiada tenaga, bagaimana nak bekerja?”

Aku terdiam lagi, masih belum faham maksud sang pak cik. Aku yang masih kecil ternyata belum berpuas hati dengan jawapan itu. Kenapa mesti makan nasi dengan banyak pada sebelah pagi? Kenapa tidak tunggu sahaja pada sebelah tengahari? Kenapa Datuk dan Nenek tak makan sebanyak itu pada sebelah malam, malah kadang-kadang nenek hanya minum segelas susu penuh krim Fernleaf sahaja?

“Kerana sebelah malam kita tak guna banyak tenaga, dah nak tidur. Cukuplah sekadar mengalas perut, joy…” sampuk emak, sambil tersenyum melihat telatah putera sulungnya yang masih kecil, tidak mengerti apa-apa.

Gambar atas: Nenek kini berumur 85 tahun dan mempunyai beberapa orang cicit. Meskipun beliau kini sudah tidak ke ladang, namun beliau masih aktif melakukan kerja-kerja rumah. Gambar diambil dari sini.

Comments

  1. By posh76

    Reply

  2. By dka

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *