Mutasi Manusia: Berbahayakah kebocoran radioaktif di Jepun ke atas manusia?

Hari ni aku nak bercerita sesuatu yang lari sedikit dari topik berkenaan diet dan senaman, tetapi sesuatu yang tak lari juga dengan diri kita, dan kesihatan diri kita. Ini berkaitan dengan apa yang aku belajar beberapa tahun dahulu di bangku Universiti, iaitu Mutasi.

Umum sedia maklum dengan situasi yang berlaku di Jepun sekarang berkenaan gempa bumi dan tsunami yang melanda. Baru-baru ini, 3 reaktor nuklear telah meletup di loji Fukushima Daiichi dan dikhuatiri berlaku ‘meltdown’. Yukio Edano, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, berkata “Jangan berada di luar, tinggal di dalam rumah. Tutup semua tingkap dan pastikan rumah anda ‘kedap udara’. Jangan memasang pengalihan udara. Tolong jemur pakaian di dalam rumah.

Mengapa kenyataan sebegitu dikeluarkan? Bahaya sangatkah partikel-partikel radioaktif ini? Mungkinkah mimpi ngeri yang dialami rakyat Jepun semenjak 66 tahun dahulu menerusi letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki bakal berulang? Untuk memahami kejadian ini dengan lebih lanjut, ada baiknya jika kita memahami dahulu apa yang dimaksudkan dengan mutasi.

Diri manusia terbina oleh struktur-struktur genetik yang dikenali sebagai “Deoxyribonucleic acid” atau DNA. DNA sesuatu organisma (seperti manusia) ini pula akan menentukan susunan asid amino dalam protein yang dihasilkan oleh tubuh badan kita, sebagai contoh untuk tujuan pembesaran, badan akan menghasilkan otot-otot yang terdiri daripada protein (asid amino) yang berkenaan. Lebih kompleks sesuatu organima, maka lebih komplekslah maklumat DNA nya. Contoh organisma yang tidak kompleks adalah seperti bakteria/kuman, dan kebanyakkan serangga, manakala contoh organisma kompleks adalah diri kita sendiri, iaitu manusia. Disebabkan manusia adalah organisma yang kompleks, maka maklumat DNA manusia juga adalah sangat panjang dan kompleks, yang mana jika ditulis dalam lembaran kertas sekalipun belum tentu berapa kilometer panjang lembaran kertas tersebut. Lihat betapa besarnya ciptaan Tuhan itu bukan?

DNA manusia adalah sangat panjang dan kompleks, namun apabila berlaku sedikit sahaja perubahan, maka perubahan yang maha besar akan berlaku ke atas manusia tersebut. Tahukah anda semua bahawa manusia dan chimpanzi, meskipun keduanya adalah 2 jenis makhluk ciptaan Tuhan yang berbeza, tetapi hampir 99% maklumat DNA keduanya adalah sama? (Inilah sebabnya mengapa pengikut-pengikut Darwin masa kini begitu taksub dengan teori revolusi yang mendakwa manusia itu datangnya dari beruk, kerana struktur DNA keduanya adalah hampir sama dan tak jauh beza).

Daripada bukti ini, anda sudah lihat sendiri, bagaimana dengan sedikit perbezaan maklumat DNA (susunan tapak-tapak asid amino) sahaja rupa manusia dan ciri-ciri manusia itu berubah. Tak perlu perubahan yang banyak, mungkin dengan hanya 0.01% perubahan sahaja sudah cukup untuk mengubah fisiologi dan rupa manusia tersebut, dengan banyak dan ketara. Dan perubahan struktur genetik ini dikenali sebagai “MUTASI”.

Secara umumnya, terdapat 2 jenis mutasi, iaitu “Spontaneous mutation” (mutasi spontan) dan “Induced mutation” (mutasi yang diinduksi). “Spontaneous mutation” berlaku secara semulajadi dan kebiasaanya mengambil masa yang panjang. Sebagai contoh, bakteria (kuman) akan bermutasi dan kebal terhadap sesuatu antibiotik, sekiranya antibiotik tersebut digunakan secara meluas tanpa kawalan. Manakala “Induced mutation” pula berlaku secara drastik dan mendadak, selalunya disebabkan oleh kehadiran unsur-unsur luar yang dikenali sebagai “mutagen”. Contoh “Induced mutation” adalah seperti apa yang berlaku di Jepun 66 tahun yang lalu, dan sedang berlaku sekarang. Dalam kes ini, mutagen tersebut adalah partikel-partikel radioaktif yang bocor terbebas ke alam sekitar.

Kanser (terjadinya tumor, yakni tisu tubuh badan yang tumbuh diluar kawalan) adalah kesan umum akibat mutasi. Ini termasuklah kanser darah (dikenali sebagai leukemia), kanser paru-paru, kanser thyroid dan kanser payudara. Berikut adalah contoh gambar-gambar mangsa mutasi akibat penggunaan bahan radioaktif ketika perang yang berleluasa (sumber harunyahya.com):

Saiz mata membesar

Jari bertambah satu lagi

Kecacatan anggota yang kekal, dan tidak mustahil untuk diwarisi ke anak cucu jika paras mutasi tersebut sangat hebat dan berlaku dalam sel pembiakan manusia

Antara contoh-contoh radiasi yang boleh mengakibatkan mutasi adalah seperti berikut:

  1. Sinar UV (Ultraviolet) – proses mutasi berlaku disebabkan 2 pembolehubah iaitu panjang gelombang (sekitar 260 nm – 270 nm) dan tempoh sesuatu organisma tersebut didedahkan.
  2. Sinaran pengion – sebagai contoh Sinar X dan Sinar Gamma.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku 66 tahun yang lalu, kebanyakkan mangsa perang di Jepun tidak meninggal dunia secara terus menerusi letupan bom atom tersebut, tetapi meninggal dunia secara perlahan, kesan daripada radiasi tersebut. Mengetahui betapa besarnya peranan mutagen seperti bahan radioaktif ini, maka tidak mustahillah rakyat di Jepun dan di negara-negara berhampiran diberi amaran supaya berjaga-jaga. Baru-baru ini, SS mendapat SMS rambang yang mengatakan supaya jangan keluar rumah sekiranya hujan turun, atau pastikan kulit tidak terkena air hujan tersebut. Persoalannya, bolehkah kesan kebocoran radioaktif di Jepun sampai ke Malaysia? Bersambung di entri ini.

Peta lokasi kejadian

Comments

  1. By sya

    Reply

    • Reply

  2. By Intan

    Reply

    • Reply

  3. By pao

    Reply

    • Reply

      • By pao

        Reply

        • Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *