Mutasi Manusia: Cerita dari Fukushima Daiichi

Entri ini merupakan sambungan kepada entri “Mutasi Manusia: Berbahayakah kebocoran radioaktif di Jepun ke atas manusia?” yang dikarang 2 hari sudah, maka sesiapa yang belum membaca entri tersebut, diharap dapat membacanya terlebih dahulu sebelum melanjutkan bacaan anda di sini.

Seorang kanak-kanak sedang diperiksa sebelum dibawa keluar dari kawasan kejadian susulan kebocoran loji nuklear di Fukushima Daiichi.

WHO semalam telah memberikan ‘jaminan’ bahawa situasi yang berlaku di Fukushima Daiichi tidaklah seteruk yang disangka dan meminta agar rakyat di negara-negara berhampiran supaya bertenang. Namun benarkah begitu? Pada masa kini, United Nations’ International Atomic Energy Agency meletakkan apa yang berlaku di sana sekarang hanyalah pada tahap 4, berbanding tahap tertinggi iaitu 7. Dalam sejarah manusia, tahap ke 7 pernah berlaku di Chernobyl, Ukraine 25 tahun dahulu yang telah meragut hampir sejuta nyawa – majoriti maut akibat kanser.

Bernama semalam (bertarikh 16hb March) melaporkan bahawa Kerajaan Malaysia akan meneruskan niat untuk membentangkan plan pembinaan 2 loji janakuasa nuklear bertujuan untuk janakuasa elektrik menjelang 2021, meskipun menyedari apa yang berlaku di Jepun pada masa kini genting. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata keputusan sama ada projek ini bakal diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada keputusan kabinet kelak. Walaubagaimanapun, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini berkata Malaysia masih belum bersedia untuk membina dan mengendalikan loji tenaga nuklear. Berikut adalah alasan pendirian beliau:

Masih banyak yang kita belum tahu mengenai teknologi lakuran (fusion) kerana sebaik saja ia menjadi radioaktif, kita akan hilang kawalan ke atasnya dan kita juga tidak mengetahui dengan cukup kesan radiasi.”

Saya tidak pasti sama ada orang ramai menyedari perkara ini atau tidak tetapi kita sudah ada ‘pengalaman buruk’ dengan nuklear…kita tidak tahu bagaimana hendak menghapuskan bahan nuklear itu

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pengalaman buruk’ oleh mantan perdana menteri tersebut? Ia menggambarkan seolah-olah telah berlaku suatu peristiwa buruk di negara kita namun dirahsiakan dari pengetahuan umum, benarkah begitu? Atau mungkinkah beliau merujuk kepada apa yang berlaku di Chernobyl 25 tahun yang lalu? Apabila ditanya oleh wartawan Berita Harian, beliau enggan untuk mengulas dengan lebih lanjut.

Adakah Malaysia bakal memiliki loji janakuasa nuklearnya sendiri menjelang tahun 2021?

Kesan radiasi nuklear adalah maha dahsyat, dan ianya mirip seperti kesan senjata biologi (bioweapon), yang mana apabila berlaku, tiada sesiapa yang mampu mengelaknya. Segagah mana seseorang manusia itu, akhirnya tumpas juga ‘di tangan’ musuh yang hanya sebesar zarah. Kerana apa? Semuanya kerana ciptaan dan inovasi manusia itu sendiri. Menyedari akan hal ini, aku melanjutkan penulisan berkenaan apa yang berlaku di Jepun masa kini supaya kita lebih berwaspada. Meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan supaya rakyat di negara-negara sekitar Jepun tidak panik, kita harus berwaspada.

Apakah risiko terkini kebocoran radiasi di Jepun terhadap masalah kesihatan mereka yang tinggal berhampiran dengan reaktor-reaktor nuklear di Fukushima Daiichi pada ketika kebocoran berlaku, dan juga mereka yang tinggal di daerah-daerah lain yang berhampiran?

Cadangan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Jepun pada masa kini adalah selaras dengan cadangan yang dikeluarkan oleh pakar kesihatan masyarakat. Kerajaan Jepun meminta mereka yang tinggal dalam jarak radius 20km dari tempat kejadian supaya berpindah dari radius tersebut, manakala mereka yang tinggal di antara 20km dan 30km dari tempat kejadian diminta untuk tinggal di dalam rumah yang tidak dipasang pengalihan udara.

Secara teorinya, mereka yang tinggal lebih jauh dari radius yang dinyatakan memiliki risiko lebih rendah untuk menerima kesan radiasi berbanding mereka yang tinggal berhampiran. Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh WHO ini akan berubah dari masa kesemasa bergantung kepada tahap pencemaran dan kes radiasi yang terdapat di Jepun sekarang. Banyak faktor akan diambil kira termasuklah berapa jumlah radiasi yang telah dilepaskan dari reaktor, keadaan cuaca seperti angin dan hujan pada saat letupan berlaku, jarak seseorang dari kilang, dan berapa lama seseorang itu berada di daerah yang terkena radiasi.

Apakah yang dimaksudkan dengan “radiasi pengion”?

Ketika terurai, baik secara semulajadi atau berpunca dari tindak tanduk manusia, atom akan melepaskan sejenis tenaga yang dikenali sebagai “Ionizing Radiation” (radiasi pengion) atau IR. Tenaga ini dapat bergerak di atmosfera samada dalam bentuk gelombang elektromagnetik (sinar gamma atau sinar-X) atau sebagai zarah (neutron, beta atau alfa). Atom-atom yang memancarkan radiasi ini dikenali sebagai “radionuclides”. Tempoh yang diperlukan untuk tenaga yang dilepaskan oleh “radionuclides” ini untuk berkurang setengah (“half-life”) mengambil masa, dari tempoh paling singkat iaitu kurang dari satu saat, hinggalah paling lama iaitu berjuta-juta tahun, bergantung pada jenis atom tersebut.

Adakah kita kebiasaanya terdedah pada “radiasi pengion”?

Hampir setiap hari kita didedahkan dengan “radiasi pengion” menerusi radiasi yang berasal dari angkasa (sinar kosmik) serta bahan-bahan radioaktif semulajadi yang ditemui dalam air, tanah dan udara (bukankah bahan-bahan di loji nuklear itu datang dari perut bumi juga?) Manusia juga boleh terkena radiasi dari sumber buatan manusia sendiri seperti mesin sinar-X di hospital untuk mendapatkan imej organ dalaman.

Bacaan radiasi disukat dalam unit Sievert (Sv). Secara purata, seseorang akan terdedah kepada 3.0 mSv setahun, yang mana 80% (2.4 mSV) daripadanya adalah disebabkan oleh sumber yang berlaku secara semulajadi (contohnya, radiasi dari alam sekeliling), 19.6% (0.6 mSV) adalah kerana penggunaan radiasi dalam perubatan (sebagai contoh menerusi mesin sinar-X tadi) dan 0.4% sselebihnya (sekitar 0.01 mSV) adalah kerana sumber-sumber lain radiasi buatan manusia.

Sebuah pengesan radiasi menunjukkan bacaan 0.6 microsieverts, melebihi tahap normal untuk satu-satu masa. Foto ini di ambil berhampiran stesen keretapi Shibuya di Tokyo.

Apakah kesan awal pendedahan radiasi terhadap kesihatan?

Apabila bacaan radiasi melebihi paras yang sepatutnya, maka ia dapat menghasilkan kesan akut terhadap kesihatan manusia, seperti kulit kemerahan, rambut gugur, kulit melecur akibat radiasi, dan sindrom radiasi akut (Acute Radiation Syndrome atau ARS). Apabila berlaku kemalangan di loji janakuasa tenaga nuklear, populasi umum di sekitar kawasan tersebut tidak mungkin terkena dos radiasi yang cukup tinggi untuk menimbulkan kesan seperti dinyatakan. Walaubagaimanapun, para penyelamat, responden pertama dan pekerja kilang tenaga nuklear mungkin akan terdedah kepada dos radiasi yang cukup tinggi sehingga menimbulkan kesan akut.

ARS berlaku apabila dos radiasi yang didedahkan pada seluruh tubuh badan adalah melebihi 1 Sv (300 kali ganda melebihi dos tahunan yang dibincangkan tadi, iaitu 3.0 mSv setahun). Antara simptom-simptom ARS adalah kerosakan pada sumsum tulang, dan apabila dos melebihi 10 Sv, organ-organ lain mungkin akan terjejas (contohnya gastrointestinal, kardiovaskular).

Apakah kesan jangka masa panjang akibat pendedahan radiasi ini?

Seperti yang dibincangkan dalam entri sebelum ini, mutasi adalah kesan utama jangka masa panjang daripada peristiwa ini. Apabila berlaku mutasi, maka itu akan merubah sedikit sebanyak fisiologi tubuh badan kita, atau lebih mudah jika kita fahaminya sebagai kanser. Ketika perang dunia kedua 66 tahun dahulu, risiko mendapat leukemia HANYA hadir setelah beberapa tahun kejadian pendedahan radiasi (beberapa tahun setelah Hiroshima dan Nagasaki di bom), manakala risiko untuk mendapat kanser-kanser lain meningkat hanya 10 tahun selepas kejadian!


Mengapa kita harus berwaspada dengan apa yang berlaku di Jepun?

  1. Menurut beberapa pakar nuklear, apa yang berlaku di Fukushima Daiichi pada masa kini adalah di luar kawalan manusia, sehinggakan ia harus digantung operasinya serta merta. Tidak mustahil juga usaha untuk menangani dan membaikpulih loji berkenaan bakal menemui kegagalan memandangkan loji berkenaan sudah mengalami separa cair (partially melt-down).
  2. Adalah sukar untuk membuat ramalan ke mana hala tuju zarah-zarah yang terbocor dari loji di Fukushima Daiichi selepas ini. Semalam, angin telah bertiup dan membawa zarah-zarah tersebut ke sekitar Tokyo, yakni ke arah selatan negara Jepun (rujuk peta pada entri sebelumnya). Berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan, tidak mustahil angin akan terus bertiup dan membawa zarah-zarah tersebut ke sekitar Pasifik. “Semuanya bergantung pada cuaca, ke arah mana angin bertiup,” kata Dr Thomas Cochran, seorang senior saintis di Natural Resources Defense Council.
  3. Tiada penawar ke atas tanda-tanda akut yang berlaku sekarang. Sekiranya jumlah radiasi yang terdedah adalah rendah, gejala-gejala akut mungkin boleh diubati, namun pada tahap tinggi seperti yang berlaku di Fukushima Daiichi pada masa kini, radiasi berpotensi untuk mengakibatkan kanser dan sekaligus membunuh.
  4. Kesan radiasi berupaya menembusi rantai makanan. Pakar nuklear di Institute for Policy Studies, Robert Alvarez, berpendapat Iodine-131 (radioiodine) yang terbebas pada masa kini berpotensi untuk ‘masuk’ ke dalam sumber-sumber tenusu seperti susu.
  5. Pihak berwajib mungkin tidak mendedahkan hal sebenar apa yang berlaku di Fukushima Daiichi dan menyuruh semua rakyat bertenang, dan mendakwa ancaman adalah tidaklah seburuk yang disangka. Walhal pekerja-pekerja di sana sedang ‘bersabung nyawa’ untuk menghentikan kebocoran tersebut. Meskipun mereka dilengkapi dengan suit putih kalis radioaktif, itu belum cukup untuk mencegah mereka daripada terdedah kepada radiasi Cesium-137, dan ada kemungkinan kebanyakkan daripada mereka akan maut.

Alvarez menambah lagi, kerajaan-kerajaan di seluruh dunia (termasuk di Jepun) haruslah jujur dalam memberitahu hal yang sebenar situasi yang sedang berlaku di Jepun. Rakyat perlu didedahkan dengan hal ini, bukan untuk menjadikan mereka panik membabi buta, tetapi bersedia dengan apa segala jua yang bakal berlaku. Jangan biarkan rakyat duduk ternganga, dan tidak tahu apa-apa hanya kerana dakwaan, “Bertenang, tiada apa-apa yang berlaku di Jepun. Abaikan semua SMS-SMS rantai yang diterima, dan buat sahaja kerja harian seperti biasa. Kita selamat”.

SS tidak mengatakan bahawa kesan radiasi akan 100% sampai ke Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya kita bersedialah. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini musim hujan kerap berlaku di pantai barat semenanjung Malaysia. Rasa-rasanya ada tak insan yang akan berpesta mandi air hujan dengan rasa tanpa was-was, yakin bahawa diri mereka tidak akan terkena kesan radiasi? Fikir-fikirkanlah.

Selain daripada meragut hampir sejuta nyawa, tragedi kebocoran nuklear di Chernobyl 25 tahun dulu juga telah memberi kesan kepada alam sekitar. Foto di atas merupakan kawasan di Chernobyl yang dikenali sebagai ‘Red Forest‘ (Hutan Merah). Kebanyakkan zarah-zarah radioaktif telah ‘masuk’ ke dalam pokok-pokok pine yang berhampiran lalu ‘membunuh’ pokok-pokok tersebut.

TERKINI: Berdasarkan statistik bacaan radioaktif yang dikeluarkan oleh Kerajaan Jepun setakat hari ini, kawasan di sekitar Barat Daya Jepun tidak mengalami pencemaran radioaktif sehebat di sekitar bandaraya Tokyo. Bacaan purata radioaktif tertinggi setakat ini dicatatkan di Tochigi yang terletak di antara (dalam lingkungan radius) Tokyo dan Fukushima.  Usaha-usaha pembersihan radioaktif di sana sedang giat dilakukan kini. Sekiranya statistik yang dikeluarkan kekal konsisten (angin tidak bertiup kencang ke selatan), InsyaAllah kesan radiasi tidak akan sampai ke Malaysia. Sama-sama kita mendoakannya.

Comments

  1. By neesa

    Reply

    • Reply

  2. By pao

    Reply

    • By jalilah

      Reply

  3. By Nikman Bulost Adli

    Reply

  4. By azi

    Reply

  5. Reply

  6. By uday

    Reply

    • Reply

  7. By nur

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *