Obesiti sedari kanak-kanak? Perlu cukup tidur

Minggu lepas SS ada berkongsi sedikit tips buat golongan ibu bapa berkenaan bimbingan anak-anak supaya mereka dibiasakan dengan gaya hidup yang sihat dan berkualiti. Pada entri kali ini, SS kongsikan pula satu lagi faktor yang boleh menjurus anak-anak menjadi obese ketika mereka dewasa kelak, iaitu kurangnya masa tidur sedari peringkat kanak-kanak.

Gambar terkangkang sekadar hiasan

Ibu bapa di luar sana, sekiranya anda tidak mahu anak-anak anda berpotensi menjadi obese ketika remaja, mulai saat ini anda wajib memastikan anak-anak anda tidur lebih awal dan mendapat tidur yang mencukupi. Mengapa SS berkata demikian? Kajian terkini para saintis di University of Chicago dan University of Louisville, Amerika Syarikat menunjukkan kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang mencukupi cenderung untuk menjadi gemuk (obese) apabila mereka dewasa.

Menerusi kajian tersebut, pola tidur 308 kanak-kanak sekitar usia 4-10 tahun di Amerika Syarikat telah dibandingkan, dan BMI mereka juga direkodkan sepanjang eksperimen dijalankan. Kumpulan kanak-kanak ini telah dipakaikan alat khusus (seperti gelang) pada pergelangan tangan mereka selama seminggu untuk memantau jumlah masa mereka tidur setiap hari. Sampel darah sebahagian daripada kanak-kanak tersebut juga diambil untuk memantau paras glukos, insulin, triglycerides dan kolestrol dalam tubuh badan mereka, yang merupakan penanda aras kepada diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular yang berpotensi di masa depan.

Hasil daripada penyelidikan tersebut mendapati:

  1. Kanak-kanak tersebut rata-ratanya tidur selama 8 jam sehari (sebelah malam). Ini jauh lebih sedikit berbanding jumlah masa yang disyorkan  untuk golongan ini (4-10 tahun) iaitu sekurang-kurangnya 9 jam tidur.
  2. Kanak-kanak yang tidur sekurang-kurangnya 9 ½ hingga 10 jam sehari (sebelah malam)berpotensi untuk tidak menjadi gemuk atau mempunyai profil darah yang tidak sihat.
  3. Kanak-kanak yang tidur paling sedikit dan mempunyai jadual tidur yang paling tidak teratur (masuk tidur pada waktu yang tidak konsisten, kadang-kadang tidur lambat) mempunyai risiko yang lebih besar untuk menjadi obese dan mempunyai profil darah yang tidak sihat.
  4. Kanak-kanak yang menggantikan kembali tidur yang tak mencukupi sepanjang hari-hari sekolah pada cuti sabtu dan ahad (tidur lebih lama) sedikit sebanyak mengurangkan risiko mereka untuk menjadi gemuk atau mempunyai profil darah yang tidak sihat.
  5. Kanak-kanak yang obese kebiasaannya tidak menggantikan kembali tidur mereka yang tidak cukup ketika hujung minggu.

Kajian klinikal sebelum ini menunjukkan bahawa tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan penambahan berat badan. Ini kerana tidur yang tidak mencukupi bakal mempengaruhi regulasi hormon-hormon yang mengawal rasa lapar dan perasaan kenyang dalam tubuh seseorang.

Tahukah anda? Jumlah keperluan tidur manusia adalah berbeza bergantung pada umur. Berikut adalah skala yang boleh dijadikan panduan.

Bayi: 16-18 jam
Kanak-kanak bawah 7 tahun: 10-12 jam
Kanak-kanak sekolah: 9 jam atau lebih
Dewasa: 7-8 jam

Sumber: National Heart, Lung and Blood Institute

Comments

  1. By beby

    Reply

    • Reply

  2. By Yana Ali

    Reply

    • Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *