Penawar utama untuk segala jenis penyakit

Hari ni ada seorang pembaca yang berkongsi sebuah video yang aku rasa amat bermanfaat, dan dengan berbesar hati aku ingin menyimpulkan beberapa isi penting yang terkandung dalam video tersebut yang bertajuk “23 and 1/2 hours: What is the single best thing we can do for our health?” (23 dan 1/2 jam: Apakah satu-satunya perkara utama yang boleh kita lakukan untuk kesihatan kita?). Kalau diikutkan, entri seperti ini pernah aku tulis beberapa bulan yang lalu, tetapi tak apa, mari kita lihat apa yang Dr. Mike Evans ingin sampaikan di sini.

1. Kita semua sedia didedahkan dengan “preventive medicine” (ubat pencegahan) untuk mengurangkan risiko mendapat satu-satu penyakit. Ini termasuklah mengurangkan lebih banyak makanan berkolestrol dan lemak tepu, meningkatkan pengambilan serat, dan sebagainya. Ini masih penting dan perlu dikekalkan jika anda sudah mengamalkannya. Yang belum, anda masih belum terlambat untuk berubah.

2. Tetapi disebalik semua ini, masih ada satu lagi perkara utama yang boleh memberikan impak yang sangat besar pada kesihatan kita. Ia amat berkesan dalam menangani pelbagai jenis penyakit di sekeliling kita pada hari ini – sebagai contoh Arthritis (47%), Dementia dan Alzheimers (50%), Diabetes (58%), Anxiety (48%), Tekanan perasaan (30-47%), dan bermacam penyakit lagi.

3. Penawar yang dimaksudkan adalah senaman. Ya, bukan menggunakan alat terapi medan elektrostatik, tetapi bersenam.

4. Ramai yang berfikir mereka terlalu sibuk dalam aktiviti harian, tetapi mereka tidak sedar 30 minit, atau mungkin hanya 1 jam sehari untuk menjadi aktif tidaklah sebeban mana pun (faktor sibuk adalah sekadar alasan, alasan paling tak munasabah pernah aku dengar).

5. Kajian Prof. Steven Blair dari University of Carolina di Amerika Syarikat menunjukkan faktor kematian disebabkan penyakit bukanlah disumbangkan oleh obesiti, tabiat merokok, dan sebagainya. Tetapi faktor utamanya adalah disebabkan oleh “cardiac-arrest respiratory fitness” (bahasa mudahnya sakit jantung) yang mana melibatkan organ paling utama dalam sistem manusia, iaitu jantung. Hubungkait kuat untuk masalah ini tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh stamina yang lemah dan rendah (LOW FITNESS).

6. Mengapa mesti ada “LOW FITNESS“? Sebab orang zaman kini malas untuk bersenam dan lebih mempercayai produk-produk yang belum tentu mendapat pengesahan dari hasil kajian pihak ketiga. Fitness (stamina) hanya dapat dibentuk menerusi senaman atau latihan fizikal sahaja.

7. Mereka yang obese tetapi masih kekal aktif dan bersenam adalah lebih baik berbanding mereka yang obese tetapi malas bersenam.

8. Jika senaman adalah satu bentuk penawar, berapa pula dos yang perlu diambil? Secara asasnya lebih kerap bersenam adalah lebih baik. 30 minit seminggu mungkin yang paling minimum.

9. Satu kajian di Jepun (menggunakan para pekerja di sektor perkilangan sebagai sampel kajian) menunjukkan berjalan kaki selama 10 minit sehari tidak memberikan apa-apa kesan pada risiko penyakit darah tinggi, namun penambahan 10 minit berikutnya mampu mengurangkan risiko penyakit darah tinggi sebanyak 12%, dan penambahan 10 minit yang seterusnya mampu mengurangkan lagi sebanyak 12% (Kalau 30 minit, dah 24% pengurangan).

10. Dr. Lennert Veermen, seorang penyelidik dari Australia merumuskan (berdasarkan kajian beliau) bahawa menonton TV 6 jam sehari mengurangkan jangka hayat seseorang sebanyak 5 tahun.

11. Dr. Evans mengakhiri video tersebut dengan soalan yang agak bernas. Memang kita amat sibuk dengan jadual kita seharian, tetapi bolehkah kita mengehadkan tempoh kita duduk dan tidur pada hanya 23 jam 30 minit sahaja? Beban sangatkah 30 minit sehari untuk sesuatu yang baik untuk kesihatan kita di hari tua? Fikirkanlah…

Ini adalah sekadar isi-isi penting yang sempat aku petik dari video tersebut. Sila tonton video tersebut untuk lebih info.

Notes: Dr. Mike Evans is founder of the Health Design Lab at the Li Ka Shing Knowledge Institute, an Associate Professor of Family Medicine and Public Health at the University of Toronto, and a staff physician at St. Michael’s Hospital.

Comments

  1. By relax

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *