Penerimaan Terhadap Beras Perang

Beras perang ialah beras yang terhasil setelah padi dikupas/dibuang kulitnya. Ia juga dikenali sebagai ‘brown rice‘, ‘cargo rice‘, ‘loonzain‘, ‘hulled rice‘ atau ‘unpolished rice‘. Apabila beras ini dibersihkan (polished) lagi, yakni apabila dibuang saki baki selaput perang (germa) yang terdapat padanya, maka beras itu akan menjadi warna putih (dikenali sebagai endosperm), apa yang kita kenali sebagai beras putih yang biasa kita lihat dijual di pasaran pada hari ini.

Daripada gambarajah di atas, adalah dapat disimpulkan bahawa beras putih yang dinikmati oleh majoriti rakyat adalah berasal dari beras perang yang telah dicuci/polish isinya. Untuk mencuci selaput perang tersebut agar menjadi warna putih supaya lebih lembut untuk dimakan ketika masak, memerlukan kos yang lebih, kerana melibatkan proses tambahan untuk mencucinya.

Dari segi perbincangan hukum keabadian tenaga, lebih banyak tenaga telah diperuntukkan dalam peringkat industri/kilang untuk tujuan mencuci selaput perang tersebut. Oleh yang demikian, secara teorinya mereka yang memakan beras perang akan mengalami sedikit peningkatan metabolisma ketika proses penghadaman makanan, berbanding mereka yang memakan beras/nasi putih, kerana lebih tenaga diperlukan untuk mencernakan beras/nasi perang yang masih ‘keras’ dan berselaput itu.

Mereka yang makan nasi putih tidak akan mengalami peningkatan metabolisma ‘sehebat’ itu (meskipun kesan thermogenic tetap ada) kerana mesin di kilang-kilang yang mencuci selaput tersebut telah pun membantu dalam “mencernakan” apa yang dikenali sebagai bahagian pertama dalam pencernaan nasi. Sistem pencernaan manusia tidak perlu lagi ‘susah-susah’ untuk menghuraikan selaput tersebut, sebaliknya terus fokus dalam menghuraikan isi nasi (putih) tersebut agar menjadi gula ringkas untuk diserap ke dalam darah.

Perbincangan seperti ini ada saya bangkitkan dahulu dalam membezakan antara oat ringkas dan oat kompleks (Steel-cut oat vs Rolled oat).

Beras perang vs Beras putih

Berbanding beras putih, beras perang memerlukan air yang lebih banyak dan masa yang lebih panjang untuk memasaknya. Nasinya peroi (berketul-ketul, sebutir-sebutir), sedikit keras dan mempunyai rasa yang sedikit berbeza berbanding beras putih. Zat nutrisinya lebih tinggi berbanding beras putih. Kehadiran selaput perang yang kononnya dicuci dan dibuang untuk mendapatkan beras putih itu sebenarnya kaya dengan zat galian (seperti Zink, Magnesium, Fosforus), beberapa jenis vitamin, serta sedikit protein dan minyak. Minyak yang terdapat pada selaput tersebut dikenali sebagai ‘rice bran oil‘ dan terdapat kajian menunjukkan ia mampu menurunkan paras Kolestrol LDL dalam darah.

Kewujudan selaput perang ini juga (majoritinya serat) membuatkan indeks glycemic untuk nasi perang adalah lebih rendah berbanding nasi putih, dan amat sesuai buat mereka yang ingin mengawal paras gula dalam darah agar tidak naik terlalu mendadak selepas makan.

Bagaimana pula dari segi kalori dan kandungan kanji? Ada yang mengatakan kalori untuk sehidangan nasi perang lebih rendah berbanding sehidangan nasi putih. Begitu juga dengan kandungan kanji nasi perang, kononnya lebih rendah dari nasi putih. Di sini ditegaskan, nasi perang dan nasi putih adalah 2 benda yang sama, yang membezakannya hanyalah selaput germa nipis yang melitupi beras perang. Oleh yang demikian, kandungan kalori dan kanji nasi perang dan nasi putih dari jenis yang sama (sebagai contoh Oryza Sativa, padi yang ditanam di Malaysia) adalah sama sahaja. Yang membezakan keduanya hanyalah selaput nipis yang berwarna perang itu. Jangan terkeliru dengan beras perang dan beras basmathi (basmathi barulah rendah kanji), kedua-duanya adalah berbeza sama sekali.

Penerimaan terhadap beras perang

Pada tahun 2005, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ada menjalankan kajian untuk mengkaji tahap penerimaan pengguna terhadap beras perang. Kajian telah dijalankan di negeri Kedah dan sampel responden meliputi 3 kaum terbesar di Malaysia dengan beberapa faktor demografik lain seperti gaji sebagai kawalan. Hasilnya,

1 – 68% tahu akan kewujudan beras perang, tetapi hanya 40% sahaja yang benar-benar tahu akan kebaikannya dan 34% sahaja yang memakan atau pernah memakannya.

2 – Secara keseluruhan, tidak sampai 4% responden yang memakan beras perang setiap hari sebagai sebahagian dari diet harian, dan hanya 10% sahaja yang menikmatinya sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

3 – Bangsa Cina lebih kerap makan beras perang (16.3%) berbanding dengan bangsa India (15.6%) dan bangsa Melayu (6% SAHAJA). Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini dalam entri “Statistik Obesiti di Malaysia 2011“, sememangnya di Malaysia bangsa Cina adalah lebih ‘Health Cautious‘ berbanding bangsa-bangsa yang lain.

4 – Responden juga diminta memberi pendapat terhadap kesanggupan mereka membeli beras ini pada harga pasaran RM2.80 sekilogram. Hanya kira-kira 20% daripada responden sahaja yang sanggup membelinya pada harga tersebut.

Persoalan kini yang perlu dijawab adalah, mengapa beras perang lebih mahal berbanding beras putih, sedangkan kalau dilihat penghasilannya tidak melibatkan banyak proses berbanding penghasilan beras putih? Daripada sumber yang saya dengar dari seorang rakan yang bekerja dengan MARDI, harganya mahal disebabkan beberapa faktor antaranya jumlah penghasilan yang rendah, sukar untuk menyimpannya secara pukal disebabkan beras perang ini mudah rosak (berbanding beras putih), dan masalah berhubung kos penghantaran.

Sumber:

[1] MARDI, Report No. 201 (2005).

[2] Minhajuddin M, Beg ZH, Iqbal J. “Hypolipidemic and antioxidant properties of tocotrienol rich fraction isolated from rice bran oil in experimentally induced hyperlipidemic rats.” Food and chemical toxicology. 2005; 43(5):747-53.

Comments

  1. By dila

    Reply

  2. By farruq

    Reply

    • Reply

  3. By bernie

    Reply

  4. By izzat

    Reply

    • Reply

  5. By Latifah

    Reply

  6. By Azira

    Reply

  7. By lisa

    Reply

    • Reply

      • By lisa

        Reply

  8. By Maz

    Reply

  9. By relax

    Reply

  10. By NORHUMAIRAH SHARIFF

    Reply

  11. Reply

  12. Reply

  13. By Lagi ohsem food

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *