Perempuan hidup lebih lama dari lelaki?

Ini bukan lagi misteri.

Semalam tatkala aku kebosanan di pejabat, telah terdetik di fikiran aku akan persoalan, “Berapakah rekod usia tertua yang pernah di capai oleh manusia?“. Aku tahu memang ada para nabi yang hidup sehingga usia mereka mencecah ratusan tahun, malah aku juga pernah terdengar hidup sehingga beratus-ratus tahun pada zaman dahulu bukanlah perkara yang mustahil memandangkan keadaan bumi dan alam sekitar pada ketika itu jauh lebih segar dan bebas daripada segala bentuk pencemaran bahan kimia.

Namun persoalan yang aku cari ini adalah lebih kepada persoalan yang perlu dijawab berdasarkan rekod genius yang sah. Maka pencarian aku terhadap persoalan di atas telah menemukan aku dengan satu lagi penemuan yang aku rasa menarik untuk dibincangkan, iaitu “Majoriti wanita hidup lebih lama berbanding lelaki” dan statistik terkini sudah pun membuktikannya. Ini bukanlah suatu kebetulan atau sebahagian tanda hari kiamat (normal lah perempuan lebih ramai berbanding lelaki) memandangkan nisbahnya BERPULUH KALI GANDA jauh berbeza berbanding nisbah populasi wanita:lelaki yang terdapat di dunia pada masa kini.

Sila perhatikan senarai 81 “living supercentenarians” (manusia yang masih hidup dan melebihi 110 tahun) yang berjaya direkodkan sehingga hari ini dan disahkan oleh sekumpulan penyelidik pakar, dan anda semua akan faham apa yang aku maksudkan.

Seperti yang diperhatikan, daripada 81 “living supercentenarians“, hanya 4 orang sahaja lelaki, dan selebihnya adalah perempuan! Ini baru 81 “living supercentenarians” yang telah disahkan, belum lagi termasuk senarai penuh (termasuk yang masih menunggu permohonan agar dimasukkan ke dalam senarai di atas). Kalau diperhatikan, hampir kesemua “living supercentenarians” dalam senarai penuh tersebut adalah perempuan belaka! Mengapa boleh jadi begini? Apakah faktor utama yang membuatkan kaum wanita mampu hidup lebih lama berbanding lelaki?

Teori Tom Perls

Beberapa tahun dahulu, Majalah Time ada menemual seorang wakil dari New England Centenarian Study (pangajian berkaitan manusia tertua) di Boston University iaitu Tom Perls. Antara lain, beliau merumuskan bahawa:

1. Wanita memiliki kitaran hidup yang lebih “tertangguh” berbanding lelaki. Sebagai contoh, seorang lelaki kebiasaannya akan mula menghidapi penyakit berkaitan kardiovaskular (seperti stroke dan lemah jantung) sekitar usia 50 hingga 60 tahun. Walaubagaimanpun, seorang perempuan kebiasaannya akan mula menghidapi penyakit yang sama hanya menjelang 70 hingga 80 tahun; perbezaan (penangguhan) fasa kitaran hidup ini adalah 20 tahun secara kasar. Ini merupakan kelebihan bagi kaum wanita.

2. Kajian juga menunjukkan rumusan di atas (kitar hidup yang tertangguh) adalah langsung tiada kena mengena dengan kehadiran hormon estrogen dalam tubuh wanita. Ini kerana, penambahan hormon estrogen secara manual (secara oral atau suntikan) selepas fasa menopaus adalah merbahaya kepada wanita tersebut. Oleh yang demikian, apakah faktor yang membuatkan terdapatnya perbezaan kitar hidup yang tertangguh ini?

3. Teori demi teori dikeluarkan, antaranya ialah kaum wanita lebih cenderung untuk kehilangan zat besi dari badan menerusi darah haid yang dikeluarkan setiap kalinya datang bulan. Zat besi memainkan peranan yang penting dalam tindakbalas dalam sel yang sekaligus menghasilkan banyak radikal bebas. Seperti yang kita sudah tahu, radikal bebas adalah faktor utama kepada proses penuaan sel (Itulah sebabnya makanan yang kaya dengan antioxidant seperti buah berri penting untuk mencegah kehadiran radikal bebas ini, sekaligus membuatkan pengamalnya kelihatan ‘awet muda’). Kesimpulannya di sini, kitar haid itu sendiri merupakan jawapan kepada mengapa seorang perempuan itu mampu hidup lebih lama.

4. Teori yang lain ada menyebut, hal ini juga didorong oleh kelebihan wanita yang memiliki 2 kromosom X berbanding lelaki (perempuan = XX, lelaki = XY). Andaikata sel mengalami proses penuaan atau termusnah, maka tubuh badan akan mempunyai pilihan untuk mengatasinya (faktor genetik) kerana perempuan mengandungi 2 kromosom X, boleh pilih salah satu daripadanya. Tetapi apabila ia terjadi dikalangan lelaki, pilihan itu menjadi terhad kerana lelaki hanya ada satu X!

Menarik bukan penemuan ini? Disamping ulasan Tom Perls di atas, aku juga ada ulasan aku sendiri. Masih ingat lagi dengan entri aku sebelum ini “Metabolisma tinggi = mati cepat?” Seperti yang kita sedia maklum, lelaki memang dicipta untuk menjadi lebih gagah dan lebih berotot berbanding perempuan, dan ini menjurus kepada perbezaan kadar metabolisma di antara keduanya. Benar, lelaki yang mempunyai berat 75kg mempunyai kadar metabolisma yang lebih tinggi berbanding perempuan yang mempunyai berat yang sama. Adakah disebabkan lelaki dikurniakan keistimewaan ini (kadar metabolisma yang tinggi), maka dengan itu mereka tidak boleh hidup selama perempuan?

Sesungguhnya setiap ciptaan tuhan itu ada baik, dan ada kelemahannya. Mungkin terdapat sesuatu yang mungkin kita boleh belajar dari entri ini, kan geng?

Komen SS: Berbalik kepada persoalan asal, ianya sudah pun terjawab. Usia manusia paling panjang yang pernah direkodkan adalah 122 tahun dan dimiliki oleh Jeanne Calment dari Perancis (Perempuan. Ya, anda tak salah dengar, PEREMPUAN!).

Rujukan: Time.com (Why do women live longer than men?)

Comments

  1. Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *