Piramid Kalori

Sebelum ini kita sudah mendengar dan tahu apa yang dimaksudkan dengan Piramid makanan. Ia dicanang di mana-mana sahaja, malah majoriti pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan mengesyorkan pemakanan yang seimbang adalah mengikut garis aturan yang telah ditunjukkan dalam rajah Piramid makanan. Dipendekkan cerita, andaikata anda tidak tahu dan belum pernah mendengar apa itu Piramid makanan, maka itu adalah sesuatu yang pelik.

Ok, itu cerita lama. Pada entri kali ni, aku nak berkongsi satu lagi istilah baru yang aku rasa tak ramai yang tahu, dan justeru itu aku cuba untuk memperkenalkan dan mempopularkannya kerana aku rasakan konsepnya sangat mudah, genius, dan cool. Istilah konsep yang aku maksudkan adalah “Piramid Nisbah Kalori” (Caloric Ratio Pyramid) atau lebih mudah dikenali sebagai “Piramid Kalori“.

1 – Apa itu Piramid Kalori?

Ia merupakan gambarajah yang menerangkan nisbah kandungan (berdasarkan distribusi kalori) Karbohidrat:Protein:Lemak yang terdapat dalam satu-satu makanan. Nisbah ini pula diwakili dengan hanya satu titik yang terdapat pada rajah piramid yang mempunyai 3 kelompok warna berbeza pada setiap bucu, yang mana setiap bucu mewakili 3 makronutrien utama (Karbohidrat, Protein, dan Lemak).

Ianya dicipta oleh Nutrition Data, sebuah laman web dari Amerika Syarikat yang menyediakan tapak data maklumat nutrisi yang lengkap untuk pelbagai jenis makanan.

2 – Ciri-ciri utama Piramid Kalori

1. Kawasan sekitar atas bucu yang berwarna merah mewakili kandungan lemak dalam makanan tersebut. Bucu atas piramid yang berwarna merah terang mewakili 100% lemak (Nisbah Karbohidrat:Protein:Lemak = 0:0:100). Semakin hampir titik dengan bucu ini, semakin tinggi kandungan lemak yang terkandung dalam makanan tersebut.

2. Kawasan sekitar bucu kiri yang berwarna hijau mewakili kandungan karbohidrat dalam makanan tersebut. Bucu kiri piramid yang berwarna hijau terang mewakili 100% karbohidrat (Nisbah Karbohidrat:Protein:Lemak = 100:0:0). Semakin hampir titik dengan bucu ini, semakin tinggi kandungan karbohidrat yang terkandung dalam makanan tersebut.

3. Kawasan sekitar bucu kanan yang berwarna biru mewakili kandungan protein dalam makanan tersebut. Bucu kanan piramid yang berwarna biru terang mewakili 100% protein (Nisbah Karbohidrat:Protein:Lemak = 0:100:0). Semakin hampir titik dengan bucu ini, semakin tinggi kandungan protein yang terkandung dalam makanan tersebut.

4. Titik putih. Kedudukan titik putih pada piramid ini memberitahu kita akan sifat/kategori sebenar makanan tersebut. Adakah ia tinggi lemak, tinggi protein, rendah karbohidrat, dan sebagainya.

5. Butiran angka dalam 3 kotak pada bawah rajah memberitahu dengan tepat nisbah nutrisi makanan tersebut.

6. Butiran angka ke-4 (kotak ke-4) hanya ada pada makanan yang mengandungi alkohol sahaja.

3 – Cara menggunakannya

Dalam memilih makanan yang sesuai dengan diet, bukan sahaja nilai kalori makanan tersebut yang perlu dibandingkan dan diketahui, nisbah nutrisinya juga harus diketahui agar sasaran untuk mendapatkan diet yang seimbang dapat dicapai. Dengan adanya Piramid Kalori, pengguna dapat mengetahui dengan hanya sekali pandang sama ada makanan yang dipilih adalah makanan yang seimbang (nisbah 50:25:25), tinggi kandungan protein, tinggi kandungan lemak, tinggi kandungan karbohidrat, dan sebagainya.

Sebagai contoh, ketika memilih sapuan mentega untuk disapukan dengan roti ketika bersarapan. Pengguna akan tertanya-tanya, “Yang mana satu berbaloi dan kaya nutrisi untuk diambil? Yang mana akan membantu aku untuk mendapatkan nisbah makanan yang seimbang?”. Oleh itu, perbandingan pun dibuat berdasarkan Piramid Kalori yang dibekalkan berbanding dengan cara klasik iaitu merujuk satu persatu angka yang terdapat pada label maklumat pemakanan. Bukan tak boleh lihat label maklumat pemakanan, boleh, cuma jika menggunakan Piramid Kalori, proses perbandingan akan jadi lebih mudah dan menjimatkan masa.

Mentega (marjerin) biasa. Lihat bahawa titik putih terletak betul-betul pada puncak piramid yang berwarna merah. Ini menunjukkan makanan ini mengandungi 100% lemak. Ya, 100% lemak. Sila kurangkan.

Mentega kacang biasa. Yang ini titik putihnya terletak rendah sedikit berbanding yang pertama tadi, namun disebabkan ia masih berada pada kawasan merah, maka ia masih boleh dikategorikan sebagai sumber lemak.

Mentega kacang rendah lemak ini titik putihnya sudah hampir terkeluar dari kawasan merah, menunjukkan ia bukanlah 100% sumber lemak (sesuai dengan namanya Mentega kacang rendah lemak). Dengan memilih sapuan mentega seperti ini, maka Piramid Kalori yang seimbang secara keseluruhan dapat dicapai (rujuk rajah akhir entri ini untuk Piramid Kalori yang mewakili pemakanan seimbang).

4 – Panduan diet yang berguna

Diet jenis apa yang sedang anda praktikkan? Serabut dengan strategi pemilihan makanan? Dengan Piramid Kalori, semua soalan itu bukan lagi menjadi masalah yang rumit. Ia ternyata membantu anda dalam memilih makanan yang sesuai dengan pelan pemakanan yang diikuti.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda rasa konsep ini menarik dan membantu? Perlukah ia dipraktikkan pada setiap label makanan di Malaysia? Kongsikan pendapat bernas anda pada ruangan komen.

Comments

  1. By pijiey

    Reply

    • Reply

  2. Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *