Potato spring dan budaya ‘pak ikut’

Bagaikan sepasang absorber kereta yang dilumuri minyak pelincir, itulah apa yang aku faham mengenai ‘Potato Spring’..” – Susu Sejat

Pernahkah anda melihat potato spring di pasar-pasar malam, atau di kaki-kaki lima berdekatan rumah anda? Ketika cuti Aidiladha yang lalu, aku berkesempatan pulang ke Taiping untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga. Pada suatu ketika, aku mengajak adik-adik aku berkunjung ke pasar malam Changkat Jering untuk mencari sesuatu yang boleh dijadikan sajian makan malam.

Aku berasa aneh apabila melihat terdapat banyak gerai yang menjual selingkaran kentang yang digoreng membentuk seakan-akan sebuah absorber kereta atau motosikal. Maka aku bertanya kepada adik-adik aku akan makanan yang seolah-olah berasal dari ‘outer space‘ tu.

“Dik, apa mende tu?” aku bertanya.

“Itu lah ‘Potato Spring’. Dia macam kentang rasanya (padahal memang kentang pun),” balas salah seorang adik aku.

“Sedap ke?”

“Sedap, aku dengan akak selalu beli. Hang try la rasa”

“Berminyak..”

Oleh kerana aku belum pernah merasa makanan ini, aku pun cubalah beli secucuk. Terdapat beberapa saiz, jika yang kecil harganya dalam RM1, dan yang besar sedikit berharga RM2. Aku ambil yang RM2.

Sudah menjadi lumrah, sebelum aku menjamah sesuatu makanan, aku akan memicit terlebih dahulu makanan tersebut untuk mengenal pasti tahap “minyak yang diserap” oleh makanan tersebut setelah digoreng. Ternyata sangkaan aku tepat, terlalu banyak minyak yang diserap oleh potato spring!


Apa tu Potato spring?

Potato spring merupakan kentang yang telah dipotong melingkar dengan mesin khas, lalu di cucuk dengan sebatang lidi yang tebal ditengahnya (membentuk seakan-akan spring absorber). Potato spring akan digoreng sehingga garing, dan diletakkan mayonis dan sos cili di atasnya sebelum dijual kepada pembeli.

Pada masa kini terdapat pelbagai syarikat tempatan yang menghasilkan pakej-pakej potato spring ini, dan kesemuanya tumbuh seakan-akan kulat selepas hujan. Setiap syarikat juga berlumba-lumba untuk mempromosikan pakej potato spring masing-masing yang hadir dalam pelbagai perisa. Ada yang B.B.Q, Cheese, Tom yam, dan banyak lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan pakej potato spring ini? Teruskan bacaan anda.


Potato spring bakal menjadi makanan tradisi kita 100 tahun lagi

Apabila terdapat banyak syarikat yang wujud untuk satu-satu kumpulan produk, maka itu akan disusuli pula dengan kewujudan ‘orang tengah’ yang menghubungkannya di antara pengguna dan pengeluar, iaitu peniaga/pembekal. Itulah sebabnya aku dapat melihat sekurang-kurangnya 4 gerai yang menjual potato spring HANYA dalam sebuah pasar malam, seperti yang aku ceritakan awal-awal tadi.

Kemudian persoalan kedua mula timbul, kenapa begitu banyak syarikat yang menawarkan pakej potato spring ini (menawarkan peluang perniagaan kepada peniaga/pembekal tadi)? Jawapannya terletak pada permintaan pasaran. Atau dalam bahasa mudahnya “Rakyat Malaysia Suka/Mula Menyukai Makan Potato Spring”.

Mungkin sesetengah pihak berpendapat gelombang potato spring yang tiba-tiba meningkat naik ini hanyalah bermusim. Mungkin selepas ini masyarakat akan berasa jemu dan jelak melantak snek yang sama berulang kali. Namun aku berasa sebaliknya. Mengapa aku berkata demikian?

Ambil contoh beberapa lagi makanan ringan yang sudah bertapak di Malaysia. Kentang goreng, nugget, dan bebebola ikan/ketam yang suatu ketika dahulu muncul secara tiba-tiba, dan popularitinya mula mendapat tempat di hati masyarakat sehinggalah ke hari ini. Maka potato spring juga akan mengikuti jejak langkah yang sama. Mungkin kesan kewujudannya yang mendadak itu akan berkurangan saban hari, namun percayalah, potato spring tidak akan pupus di Malaysia selagi rakyat suka menikmatinya.

Bila seorang nak jual potato spring, semua pun nak jual

Aku juga kurang suka dengan sikap masyarakat kita yang suka “mengikut” dalam segala hal. Seorang nak jual produk ini, semua pun nak jual produk yang sama. Alasannya, pengguna suka, ada market. Nak wujudkan banyak pilihan buat pengguna? Untung kepada si pengguna, bukan kepada si penjual. Si penjual yang tak dapat bersaing akan mengalami kerugian.

Sebagai contoh kes potato spring, aku bukannya tak menggalakkan orang kita berniaga, aku suka perniagaan kerana ia salah satu punca rezeki yang halal, tetapi nak berniaga biarlah berstrategi. Jika dalam satu pasar malam terdapat sampai 4-5 orang menjual potato spring, aku jamin sebahagian daripada penjual tu tak akan kekal lama di tapak pasar malam yang sama (Dah lah potato spring tu langsung tak menyihatkan).

Situasi yang sama juga merujuk kepada mereka yang menjual pil/produk untuk menguruskan badan. Kalau dalam satu page (facebook) pun semua berlumba-lumba menumpang jual produk yang lebih kurang sama, maka anda (sekelompok peniaga produk) akan kelihatan “menjengkelkan“. Mereka (pembeli berpotensi) akan hanya ada 2 impresi sahaja terhadap produk anda, sama ada dibeli (berminat) atau dicaci (lebih daripada tidak berminat). Tak percaya? Anda boleh lihat sendiri, masuklah mana-mana page facebook yang bertemakan “Aku nak kurus”, “Aku nak slim”, “Kecantikan”, dan berbagai lagi. Benda ni boleh buat gaduh.

Manusia ni tak suka benda yang menjengkelkan, apatah lagi jika anda memegang status sebagai peniaga. Contoh paling mudah, jika anda masuk ke supermarket dan secara tiba-tiba terdapat 3-4 orang promoter produk yang berbeza bersaing mengelilingi anda secara gelabah, anda pasti tidak akan berasa selesa bukan? Bukan diri anda sebagai penjual sahaja yang mendapat bad impression sebagai peniaga “gelabah”, tetapi produk anda sendiri mendapat tempias yang sama.

Lagi satu ciri-ciri peniaga yang menjengkelkan ialah, ‘suka cakap besar’. Jangan sesekali terlalu yakin yang hasil kerja anda akan mendapat kejayaan yang tak masuk dek akal (box office RM40 juta, contohnya lah kan), meskipun niat anda untuk menghasilkan persekitaran dan minda yang positif. Jangan sesekali buat macam tu. Kerana apa? Kerana manusia tidak suka perkara yang menjengkelkan!

P/S: Nak berniaga, kena pandai cari peluang, kena pandai cari Nic yang sesuai, tak perlu ikut jejak orang, sebaliknya, biarlah orang yang mengikut jejak kita. Be a pioneer, not an imitator. Potato spring? Jangan diambil selalu, merasa untuk pertama kali boleh. Kuasa terletak di tangan anda sebagai pengguna. Fikir-fikirkanlah.

Comments

  1. By norazziah

    Reply

  2. By Baby

    Reply

  3. By Kumang Kenyalang88

    Reply

  4. By enni_amat

    Reply

  5. By Bert

    Reply

  6. By annie

    Reply

    • Reply

  7. By annie

    Reply

    • Reply

  8. By afifa

    Reply

  9. By sha

    Reply

  10. Reply

  11. By arms

    Reply

  12. By noor

    Reply

  13. By relax_arr

    Reply

    • Reply

      • By Pou

        Reply

        • Reply

  14. By orang

    Reply

  15. By NorMah

    Reply

  16. By Farha

    Reply

  17. By hafiz

    Reply

  18. By ila

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *