Rahsia menewaskan “plateau” ketika menurunkan berat badan (Bahagian 1)

Topik yang bakal aku kupas kali ini merupakan kemuncak yang dinanti-nantikan oleh semua pihak. Topik ini pernah menjadi bualan antara SS dengan pembaca-pembaca di Page SS suatu ketika dahulu, namun malangnya, komen-komen sebegitu tidak akan kekal lama (makin tertindih ke bawah hari demi hari bila wall post baru dibuat).

Cuba anda pertimbangkan seketika soalan ini: Pernahkah berlaku pada diri anda, di mana apabila anda cuba berdiet untuk menurunkan berat badan, berat badan anda akan turun dengan melaju pada awalnya, tetapi lama-kelamaan akan turun dengan perlahan macam siput? Bukankah ini sesuatu yang mengecewakan? Mengapa ia terjadi, dan bagaimana untuk mengatasinya? Teruskan membaca.

Berat Badan = Air + Otot + Lemak

Turun berat badan merupakan ‘goal’ yang terlalu umum. Cuba anda tanya diri anda sekali lagi, anda nak turun berat apa sebenarnya. Berat air? Berat lemakkah? Atau berat ototkah? Ini kerana, Berat badan manusia sentiasa berubah-ubah kerana 3 faktor ini: air, otot, dan lemak.

Tidak susah untuk kita kehilangan air, kerana air sifatnya masuk pun senang, keluar pun senang. Oleh yang demikian, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa berat badan kita berubah jam demi jam, hari demi hari hanya disebabkan oleh kandungan air dalam badan. Ini kerana kira-kira 57% berat badan seseorang manusia hanyalah terdiri daripada berat air! Oleh yang demikian, jangan terkejut jika pada pagi tersebut, ketika anda menimbang berat badan anda, jarum penimbang akan menunjukkan bacaan “75kg”, tetapi apabila anda timbang pada sebelah petang pula bacaannya sudah berubah menjadi “77kg”. Ini normal.

Satu lagi kesilapan yang sering dilakukan ketika menurunkan berat badan ialah kehilangan berat otot, yang sama sekali penyumbang utama kepada YO-YO effect (turun berat secara drastik, kemudian naik kembali secara drastik). Kadang-kadang, SS tak faham juga, ada sekelompok individu itu yang begitu BANGGA beratnya turun berkilo-kilo dalam masa yang singkat, tetapi malangnya berat tersebut naik kembali ke angka asal juga pada masa yang amat menakjubkan. Barangkali dia nak masuk pertandingan Biggest Loser agaknya, turun 20kg dalam masa seminggu, supaya boleh ‘claim’ duit kemenangan USD100,00. Kemudian, beberapa bulan selepas tu kawan-kawan mereka mula menegur, “eh, ko ni dah berisi balik?” Berbaloikah?

Oleh yang demikian, perlu tanam matlamat dalam diri masing-masing yang harus diturunkan itu adalah lemak, dan bukannya otot mahupun air.

Laju-laju, kemudian perlahan

Meskipun turun berat badan merupakan sesuatu yang individu itu sendiri mahu (Otak dah set nak turunkan berat badan), tetapi hakikatnya badan kita selagi boleh ‘tak mahu’ untuk kehilangan beratnya. Turun berat badan dianggap rugi oleh tubuh badan kita sendiri, dan seboleh-bolehnya mahu dielakkan. Badan akan mula berfikir, “Oh, si senah ni mungkin berada kat Somalia, makanan tak cukup, hari-hari makan nasi segenggam, lama-kelamaan boleh tinggal tulang, tak pasal-pasal mati kering karang. Aku mesti lakukan sesuatu supaya hal ini dapat dielakkan. Mungkin kena rendahkan sedikit kadar metabolisma si Senah ni“. Dalam erti kata lain, ini merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan tubuh badan kita.

Lemak dalam tubuh badan kita disimpan dalam sel lemak – “Fat Cells Theory

Merujuk kepada peranan badan kita di atas, dalam mana-mana program weight loss sekalipun, anda akan melalui 3 fasa ini:

1 – Fasa pertama – Berat turun dengan sangat laju, kadang-kadang tu ada yang sampai 10kg dalam seminggu (bergantung juga pada susuk tubuh individu tersebut). Ini bukan perkara mustahil, kerana kehilangan berat pada awal program sering dikaitkan dengan berat air. Ini terjadi apabila individu tersebut mula menghentikan/mengurangkan pengambilan makanan berunsur karbohidrat (1g karbohidrat secara teorinya memegang air sebanyak 3g). Tidak terkecuali juga, badan sebenarnya ‘terkejut’ dengan perubahan diet dan aktiviti fizikal individu tersebut, maka badan tak sempat nak buat apa-apa selain dari ‘membenarkan’ sahaja kehilangan berat badan itu berlaku. Bayangkan situasi ini seperti paip rumah anda yang terbocor, mesti anda kalut (terkejut) nak berhentikan air yang bocor tu kan? Tak semena-mena, banyak air yang ‘rugi’ di situ.

2 – Fasa kedua – SS lebih suka menghuraikan fasa ini sebagai fasa ‘adaptation‘ (penyesuaian), maksudnya tubuh badan kita cuba untuk menyesuaikan diri dengan ‘perubahan’ diet dan aktiviti fizikal. Kebiasaannya, berat akan turun secara konsisten dalam tempoh ini dan bertahan kira-kira 3-4 minggu. Analoginya, anda boleh membayangkan yang pada ketika ini anda sedang memperbaiki kebocoran paip air, dan dalam nak memperbaiki paip yang bocor itu, masih ada air yang meleleh keluar.

3 – Fasa ketiga – Inilah fasa yang merupakan penghujung/cabaran utama seseorang yang hendak menurunkan berat badan. Fasa yang boleh dikatakan sangat liat, macam daging kerbau. Fasa ini berlaku apabila tubuh badan kita sudah pandai menyesuaikan diri dengan diet dan senaman yang diamalkan. Kebiasaannya, plateau ini tercapai seawal 4 minggu selepas kita memulakan program. Selain itu, plateau juga mudah/lebih pantas terjadi apabila tubuh badan kita kehilangan terlalu banyak otot (berbanding lemak) ketika menjalani program menurunkan berat badan. Apabila kita kehilangan otot, kita sebenarnya kehilangan ‘enjin-enjin’ yang membakar kalori, kerana dengan otot-otot sahajalah kita mampu membakar kalori (dari lemak yang tersimpan dalam badan).

Cukup setakat ini dahulu penerangan dari SS. Dalam entri seterusnya, SS akan huraikan lagi faktor-faktor (penyebab) plateau secara spesifik berserta beberapa tips emas bagaimana untuk menewaskan plateau ini, agar berat badan anda akan terus turun sehingga mencecah angka idaman…. TIADA YANG MUSTAHIL.

(Bersambung di bahagian 2)

Comments

  1. By maya

    Reply

    • Reply

      • By maya

        Reply

    • By siti

      Reply

      • Reply

        • By siti

          Reply

  2. By jeejoe

    Reply

  3. By zaty

    Reply

    • Reply

      • By zaty

        Reply

  4. By sribayu

    Reply

    • Reply

      • By faizah

        Reply

  5. By maya

    Reply

    • Reply

  6. By Grehart

    Reply

    • Reply

  7. By Fiffy

    Reply

  8. By reddish

    Reply

    • Reply

      • By reddish

        Reply

        • Reply

  9. By lingzhie

    Reply

    • Reply

  10. By ziza

    Reply

    • Reply

  11. By haziy

    Reply

    • Reply

  12. By radira

    Reply

    • Reply

  13. By orang

    Reply

  14. Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *