Saiz kepala berubah bila berat berubah?

Soalan: “Susu Sejat, adakah ukur lilit kepala kita akan turut berkurang apabila berat kita berkurangan? Adakah ini bermaksud seorang lelaki yang asalnya memakai songkok bersaiz 24 akan mampu memakai songkok bersaiz 22 apabila berat badannya turun 10-20kg?

Rasanya beberapa ketika dahulu soalan di atas pernah diajukan seseorang di Facebook Susu Sejat. Cuma aku tak ingat siapa yang bertanya soalan tersebut, tetapi rasanya jawapan yang dikeluarkan adalah berbagai-bagai. Benarkah ukur lilit kepala manusia mampu berkurang atau bertambah, selari dengan penurunan atau penambahan berat badan? Untuk menjawab soalan ini, aku dah susun beberapa fakta berikut yang boleh dikatakan sebagai “common sense” (logik).

1. Saiz dan bentuk bahagian atas kepala (atas paras hidung atau cuping telinga) majoritinya mengikut saiz tengkorak. Sekiranya anda ‘meluku’ perlahan dahi anda, anda akan merasa bunyi hentakan, seperti hentakan 2 objek keras (tulang). Ini menunjukkan ruang di antara kulit kepala bahagian atas dan tengkorak adalah sangat nipis.

2. Bahagian bawah kepala (bawah paras hidung atau cuping telinga) berbeza sedikit dengan apa yang dibincangkan tadi. Di sini, ruang di antara kulit dan tengkorak mengandungi otot dan lemak. Berapa jumlah otot dan lemak yang ada di kawasan ini? Ini bergantung pada 2 faktor, iaitu genetik (ada yang mempunyai sedikit lemak dan otot di pipi, dan ada yang secara genetiknya tembam) dan persekitaran (gaya hidup).

3. Memandangkan tengkorak merupakan sebahagian dari sistem rangka yang berfungsi sebagai struktur kekuatan badan manusia, sama seperti tulang, maka pembesarannya (saiz tengkorak) juga sama atau selari dengan pembesaran saiz tulang yang lain.

4. Anda pernah dengar bahawa ketinggian manusia akan mula menjadi ‘plateau’ apabila melepasi alam remaja bukan? Ini kerana pembesaran/pemanjangan tulang akan mula terhenti selepas fasa remaja. Pertumbuhan manusia secara default telah sampai ke tahap puncaknya, atau dalam bahasa lain, dah capai tahap matang. Ini bermaksud, saiz tengkorak manusia juga akan mula berhenti membesar pada usia sekitar 25 tahun. Kerana tengkorak dibina dengan ‘arahan’ yang sama seperti yang digunakan dalam pembinaan tulang.

5. Adakah saiz tengkorak manusia akan berkurangan apabila berat menurun? Adakah saiz tulang akan memendek apabila berat turun? Adakah ketinggian manusia akan menyusut apabila berat turun? Jawapannya tentu sekali TIDAK!

6. Sekiranya terdapat pengurangan saiz ukur lilit kepala, ini mungkin disebabkan oleh pengurangan saiz sel lemak yang terdapat dalam tisu adipos di bawah kulit kepala. Perubahannya pula tidaklah begitu ketara, mungkin hanya sebanyak beberapa puluh mikro meter sahaja.

7. Untuk bahagian bawah kepala pula, jawapan yang boleh diberikan mungkin lebih subjektif. Ada segelintir individu yang mampu mengalami penyusutan saiz pipi dan dagu berlapis (double chin) mula menghilang apabila berat badan turun, dan ada pula yang tiada perubahan LANGSUNG atau sangat kecil.

8. Merujuk situasi (7), untuk kes yang pertama, jawapan kepada penyusutan itu mengikut aturan normal iaitu badan, apabila membakar lemak akan mengambil semua lemak yang terdapat dalam ceruk badan, tetapi untuk kes yang kedua, ia adalah disebabkan oleh faktor genetik. Badan lebih cenderung untuk membakar lemak di bahagian lain berbanding bahagian pipi anda. Dan untuk mengatasinya, usaha yang lebih diperlukan untuk membakar lemak di sekitar itu.

Sekarang anda sudah dapat jawapan kepada soalan yang dikemukakan tadi?

Comments

  1. By waterlily

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *