Sauna oh Sauna..

Sauna sejak akhir-akhir ini telah menjadi trend terkini untuk sesetengah individu menurunkan berat badan. Tetapi sejauh manakah kebenaran fakta tersebut? Sejauh manakah rakyat Malaysia memahami konsep Sauna yang sebenarnya? Untuk entri kali ini, SS akan mengupas apakah yang dimaksudkan dengan Sauna, dan kesannya dari sudut sains kesihatan. Perlu diingatkan, apa yang SS tulis sebentar lagi adalah berdasarkan kajian-kajian sains terkini, dan tiada niat untuk menjatuhkan bisnes mana-mana pihak. Rakyat Malaysia, bersediakah anda membuka mata dan minda? Anda baca, anda faham, dan anda nilaikan sendiri.

Tahukah anda, “Portable Sauna” telah disenaraikan sebagai salah satu daripada “30 ciptaan paling bodoh” (30 Dumb Inventions) oleh laman web Life.Com ?

Apa itu Sauna?

Sauna merupakan ruang tertutup (bilik) yang direka khas agar wap, sama ada wap kering atau wap lembab terperangkap di dalamnya. Kebiasaanya, suhu di dalam Sauna adalah sekitar 60 hingga 100 darjah Celcius, dan ini merupakan julat yang selamat untuk manusia mengeluarkan peluh (untuk tempoh yang tidak terlalu lama).

Tujuan pembinaan Sauna pada asalnya adalah untuk pemanasan badan di negara-negara Eropah (iklim sejuk), namun konsepnya kini telah disalah tanggap untuk tujuan pengurusan berat badan.

Secara amnya, terdapat 2 jenis Sauna yang boleh didapati pada zaman moden ini, iaitu “Sauna Tradisional” (udara/wap/steam sebagai medium pemanasan) dan juga “Infrared Sauna” (badan dipanaskan secara terus daripada gelombang infra-merah). Produk berasaskan Infrared Sauna seperti “Sauna Pants” dan “Portable Sauna” menjadi sasaran ketika ini memandangkan kosnya yang murah dan mudah dilakukan di rumah.

Kebaikan dan Keburukan Sauna

Terdapat kajian yang menunjukkan Sauna mampu mengurangkan risiko jangkitan selesema, namun kajian ini telah dilakukan kira-kira 20 tahun yang lalu, dan mungkin terdapat percanggahan berkenaan dakwaan tersebut seiring dengan perkembangan dunia sains masa kini.

Terkini, kajian saintifik yang dilakukan pada tahun 2007 menunjukkan Sauna mampu memberikan kesan positif dalam meningkatkan progres seseorang atlit jarak jauh (endurance), sekaligus menyokong kajian yang telah dilakukan oleh pihak NASA kira-kira 30 tahun yang lalu. NASA suatu ketika dahulu pernah merumuskan stimulasi gelombang infra-merah ke atas fungsi kardiovaskular merupakan cara yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan jantung angkasawan-angkasawan Amerika yang terpaksa duduk dalam kapal angkasa untuk tempoh yang panjang.

Selain itu, bersauna juga didakwa mampu mencegah beberapa penyakit seperti “Сhronic fatigue syndrome” (keletihan berulang) dan “Rheumatoid arthritis” (radang sendi), disamping pernah diusulkan dalam jurnal-jurnal medikal untuk dijadikan rawatan penyakit-penyakit seperti sakit otot, rawatan kanser, glaucoma, fibromyalgia, anorexia nervosa, diabetes, hypertension (darah tinggi), hyperlipidemia, atau atherosclerosis.

Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa keburukan sauna jika disalahgunakan. Oleh yang demikian, nasihat daripada doktor bertauliah adalah WAJIB sebelum anda mencuba mana-mana aktiviti Sauna. Berikut adalah antara yang sempat SS terjah:

  1. Baru-baru ini, seorang peserta dari Russia telah meninggal dunia akibat melecur dalam kejohanan Sauna peringkat dunia, yang menyaksikan kejohanan yang dianjurkan di Finland untuk edisi yang ke 12 tersebut dibatalkan serta merta. Kejadian berlaku setelah lelaki tersebut cuba bertahan selama 6 minit di dalam Sauna yang mempunyai suhu setinggi 110 darjah Celcius! (Laporan lanjut boleh di baca di guardian.co.uk)

  2. Sauna berisiko untuk mengakibatkan tubuh badan berada pada fasa ‘hyperthermia’ akibat ‘heat stroke‘. Hyperthermia merupakan kejadian di mana tubuh badan tidak dapat menampung dan membebaskan kembali haba yang dihasilkan atau yang diterima dari persekitaran, atau dalam bahasa medikalnya “kegagalan thermoregulasi” (thermoregulation), dan ini boleh membawa maut.
  3. Sauna berisiko untuk mengakibatkan tubuh badan berada dalam fasa Nyah-hidrat (dehydration), yakni kehilangan air yang melampau dek kerana kehilangan elektrolit yang berfungsi ‘memegang’ air dalam sel.

.

Benarkah Sauna mampu membakar lemak?

Secara umumnya, belum ada lagi kajian khusus yang menceritakan bagaimana Sauna mampu memberi impak kepada proses penurunan lemak badan (body fat) secara klinikal – BELUM ADA. Kebanyakkan kajian saintifik berkenaan Sauna setakat ini adalah menjurus kepada hubungan di antara aktiviti Sauna dan pesakit-pesakit yang mengidapi penyakit tertentu seperti “coronary heart disease” dan darah tinggi terkawal (controlled hypertension). Kajian setakat ini menunjukkan Sauna selamat untuk 2 golongan tersebut.

Berat badan mungkin berkurangan selepas bersauna, tetapi ingatlah bahawasanya berat yang turun selepas bersauna hanyalah berat air semata-mata! Turun berat badan sehingga 1-2 kilogram menerusi sauna adalah normal kerana 60% berat badan kita sendiri terdiri daripada air – dalam tubuh badan seorang lelaki yang beratnya kira-kira 70kg sendiri terdapat kira-kira 40 liter air, atau bersamaan dengan 40kg air! Maka dengan itu, apa yang anda baca berkenaan penurunan berat badan secara intensif (terutamanya lemak) menerusi aktiviti Sauna di internet atau di blog-blog lain adalah MITOS SEMATA-MATA! (pasti ada faktor lain yang menyebabkan berat badan mereka turun, dan faktor tersebut pastinya bukan datang dari Sauna)

Dakwaan berkenaan “Sauna mampu membakar lemak” adalah disebabkan oleh fakta yang mana lemak tepu (pepejal) akan mula menjadi cecair apabila didedahkan pada suhu yang menghampiri takat leburnya (melting point). Fakta seperti ini kita dah pernah belajar di makmal sains sejak dari bangku sekolah lagi. Tetapi benarkah aplikasi ini boleh didedahkan pada sistem yang lebih kompleks seperti manusia?

Manusia ini dicipta oleh Tuhan untuk menjadi makhluk yang lebih sempurna, yang lebih ‘survival‘ berbanding benda-benda bukan hidup. Setakat didedahkan terhadap suhu yang menghampiri takat didih air pun Tuhan dah tetapkan sebuah sistem pertahanan badan untuk mengelakkan tubuh badan kita dari terus terbakar, dan sistem pertahanan badan yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah “Peluh”.

“Pembakaran lemak akan menghasilkan air” – Dakwaan ini pun kalau diaplikasikan dalam makmal, merupakan fakta yang sahih. Memang lemak apabila dibakar akan menghasilkan air, dan sifat-sifat ini ada pada semua hidrokarbon yang terdapat di atas muka bumi ini.

Hidrokarbon + Oksigen → haba + air + karbon dioksida

Tetapi perlu dingatkan bahawa air peluh yang keluar dari liang peluh anda BUKANLAH 100% daripada air yang terhasil daripada pembakaran lemak seperti dalam persamaan kimia di atas. Ramai yang salah tafsir bahawa peluh merupakan hasil tindakbalas sampingan dari pemecahan molekul lemak, tetapi hakikatnya itu bukanlah yang sebenarnya terjadi.

Peluh merupakan proses tindak-balas semulajadi untuk menyejukkan badan, sambil membuang elemen-elemen yang tidak diperlukan oleh badan (perkumuhan). Apabila suhu sekeliling melebihi suhu ideal manusia, badan akan berpeluh untuk menyejukkan tubuh badan kerana menerusi peluh sahajalah haba yang berlebihan dalam tubuh dapat disingkirkan (haba disingkirkan menerusi proses penyejatan air peluh ke atmosfera). Dan ini bererti, bukan semua haba daripada sauna kekal lama dalam tubuh badan dan digunakan secara terus untuk pembakaran lemak (kerana haba-haba tersebut sudah disingkirkan awal-awal lagi). Berterima kasihlah ke atas mekanisma semulajadi kurniaan Tuhan ini, kerana dengan cara ini sahajalah, badan kita tidak akan terus cair dan terbakar (silap haribulan, bukan lemak sahaja yang akan terbakar, tetapi kulit, organ-organ dan otot pun boleh turut terbakar).

.

Benarkah jumlah kalori yang dibakar menerusi sauna setanding dengan senaman kardio seperti Jogging?

Sebelum membandingkan kalori (tenaga) untuk satu-satu aktiviti fizikal, seseorang itu perlu faham terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan ‘kerja’, kerana menerusi ‘kerja’ lah kalori itu digunakan. Dalam fizik, salah satu takrifan kerja ialah daya yang diperlukan untuk menggerakkan sesuatu jisim dari satu titik kepada satu titik yang lain, dan ini adalah bersamaan dengan ΔE (perubahan/perpindahan tenaga).

Kerja = Daya x Sesaran

Apa yang dimaksudkan dengan sesaran? Sesaran merupakan perubahan kedudukan anda, atau dalam bahasa mudahnya “jarak”. Konsep yang cuba diketengahkan oleh rumus fizik yang kita belajar ketika di Tingkatan 4 ini sangat mudah, perubahan tenaga hanya akan berlaku jika terdapat perubahan pada pemboleh-ubah “sesaran”. Dalam fizik, jika nilai sesaran tidak berubah (sifar), maka jumlah kerja yang dilakukan juga adalah, secara teknikalnya, sifar.

Duduk berkurung dalam ruang yang panas tidak melibatkan pergerakan badan dari satu titik ke satu titik, maka secara teknikalnya juga, jumlah kerja yang dilakukan ketika bersauna adalah “sifar”. Tetapi, berjogging (atau apa sahaja jenis kardio) melibatkan perubahan kedudukan dari satu titik kepada satu titik, dan ini adalah bersamaan dengan kerja. Bila ada kerja, barulah ada perpindahan tenaga (ΔE).

Namun ini tidak bererti, bersauna tidak membakar kalori. Selagi kita masih hidup, kadar metabolisma kita masih berjalan. Cuma janganlah dibandingkan jumlah “kerja” yang dilakukan oleh orang yang duduk statik (bersauna) berbanding dengan orang sedang berlari-lari berbatu-batu jaraknya. Dalam dunia fitness sekalipun, senaman kardio membakar lebih kalori berkali-kali ganda lebih banyak berbanding senaman weight training, meskipun weight training itu lebih meletihkan otot dan menggunakan lebih glycogen. Kerana apa? Kerana Weight training tidak melibatkan “sesaran” yang banyak, tetapi kardio melibatkan “sesaran” yang banyak.

Berbasikal merupakan salah satu contoh kardio yang low-impact.

.

Benarkah bersauna selama 15-30 minit mampu membakar kalori sebanyak 600kcal?

Journal of the American Medical Association (JAMA) edisi 7 Ogos 1981 pernah melaporkan kenyataan berikut:

A moderately conditioned person can easily sweat off 500 grams in a sauna, consuming nearly 300 kcal – the equivalent of running two to three miles. A heat-conditioned person can easily sweat off 600 to 800 kcal with no adverse effect. While the weight of water loss can be regained by rehydration, the calories consumed will not be.

Terjemahan: “Seseorang yang ‘normal’ boleh menghasilkan 500 gram peluh menerusi sauna, dan ini memerlukan kira-kira 300 kcal – tenaga yang diperlukan untuk berlari sejauh 2-3 batu. Individu yang mampu menahan haba boleh membakar sehingga 600 hingga 800 kcal tanpa kesan sampingan. Kehilangan air tersebut boleh diganti semula menerusi proses rehidrasi, namun kalori yang telah digunakan tidak akan diganti (telah digunakan kesemuanya)”

Sesungguhnya, hal ini masih dalam perdebatan memandangkan pihak JAMA mengeluarkan dakwaan ini berdasarkan fakta “penghasilan 1 gram peluh memerlukan 0.586kcal”, dan bukannya berdasarkan kajian klinikal yang intensif.

Terdapat sesetengah pihak yang menyangkal ‘teori’ ini dengan mendakwa 300kcal yang dimaksudkan merupakan jumlah tenaga yang diperlukan oleh 500 gram peluh untuk menyejat dari permukaan kulit ke persekitaran, dan bukannya tenaga yang dibakar menerusi proses metabolisma tubuh. Ini adalah bersamaan dengan nilai haba pendam pengewapan untuk air (latent heat of vaporizaton of water) yang bernilai 539 kcal/kg (2260 kJ/kg). Kalau begitu, mana datangnya 300 kcal ini jika bukan dari metabolisma tubuh badan? Sudah pasti tenaga tersebut datang daripada suhu sekeliling yang panas – 300 kcal itu adalah ‘tenaga haba’ di sekeliling anda, dan bukan dari pembakaran lemak dalam badan anda!

Selain pihak JAMA, belum ada lagi pihak lain yang menyokong dakwaan seumpama ini, tambahan pula kajian ini dilakukan hampir 30 tahun yang lalu dan barangkali sudah lapuk dan boleh dipatahkan teorinya dengan mudah berdasarkan penemuaan sains terkini.

Hai semua, saya Mr. CC. Hari ini saya nak memulakan gaya hidup sihat..

Berbalik kepada persolan, “Benarkah bersauna selama 15-30 minit mampu membakar kalori sebanyak 600kcal?” Tahukah anda betapa besarnya nilai 600kcal itu? Tahukah anda bahawasanya sepinggan Nasi Beriani berserta seketul lauk ayam masak kurma dan acar timun nilainya adalah sekitar 600kcal (tidak termasuk air manis yang mungkin hadir bersama hidangan ini)? Jika benar sauna boleh membakar 600kcal selama 15-30 minit, aku mencabar anda semua yang menyokong dakwaan ini supaya menjalankan eksperimen yang sangat mudah ini. Tak susah, mudah sahaja.

Hipotesis Kajian: Sauna membakar kesemua kalori daripada Nasi Beriani yang aku makan
Keputusan Kajian yang dijangka: Tiada peningkatan berat badan, kerana kesemua kalori daripada Nasi Beriani sudah dibakar menerusi Sauna

  1. Untuk makan tengahari, makan sepinggan nasi beriani (245g) berserta seketul ayam masak kurma dan acar timun.
  2. Biarkan makanan tersebut hadam terlebih dahulu untuk tempoh 1-2 jam.
  3. Mulakan bersauna selama 15-30 minit.
  4. Ulangi langkah 1-3 untuk makan malam juga.
  5. Lakukan eksperimen ini secara berterusan selama sekurang-kurangnya 2 minggu, dan dalam masa yang sama, anda tidak perlu bersenam. Bukan apa, bukankah hipotesis anda di sini “bersauna sahaja mampu membakar sehingga 600kcal”?
  6. Selepas 2 minggu, lihat hasilnya menerusi penimbang berat badan. Adakah berat badan anda meningkat, atau kekal slim kah?
  7. Sila hantarkan keputusan eksperimen tersebut di page Facebook Susu Sejat untuk dikongsi bersama SS dan rakan-rakan yang lain.

Komen SS: Bersauna itu baik untuk kesihatan jika diamalkan dengan cara yang betul, TETAPI bersauna bukanlah jalan terbaik untuk menurunkan berat badan. Memanglah bersauna meningkatkan metabolisma kerana apabila bersauna, jantung akan berdegup sedikit laju berbanding biasa, dan badan akan mengerah lebih kerja untuk membawa air ke kelenjar peluh, supaya peluh dapat dirembeskan dengan banyak. Ini memang sebahagian daripada sistem pertahanan badan kita. Namun kesan peningkatan tersebut hanyalah sementara. Sekiranya anda bersauna selama 15 minit, maka dalam tempoh 15 minit itu sajalah kadar metabolisma anda meningkat (tapi tidaklah sampai 600kcal). Ini berbeza dengan senaman yang mencabar kekuatan otot, yang mana sekiranya dipraktikkan, kadar metabolisma adalah sama seperti anda sedang bersenam meskipun anda sedang nyenyak tidur. Wallahualam.


19 thoughts on “Sauna oh Sauna..

  1. dok dalam bilik takde kipas pon sauna pe…takpon dok je dlm kete tanpa bukak ekon, tanpa bukak tingkap…pastu kete dok kt tpt panas….jap lg berpeluh2 laa…free lg kan…hihi…

    apa2pon, sauna pon kekdg best gak…cite pasal stim plak…leh ke pecahkan lemak? ke utk buka liang2 roma sahaja…tq :)

  2. memang diakui, sauna boleh buat kulit melecur.. huhuhu.. pernah masuk dalam sauna yang mcm kotak tu, ada besi kat dalam tu, tersentuh kulit, terus keluar.. huhuhu pastu saya mintak org sauna tu lapik kain tuala….

    keluar dari sauna berat naik sekilo! hahaha sebabnya tak tahan, asik keluar masuk.. pastu minum air… sekali tu je pergi..

  3. Tq for the info. secara kesimpulannye, utk tujuan turunkan berat badan, sauna bukanlah pilihan yg tepat if dijadikan aktiviti utama.

    jika utk tujuan rawatan2 alternatif dan kecantikan, mungkin tiada masalah asalkan dapatkan nasihat2 dari pakar yang bertauliah

  4. Keseluruhan daripada rencana di atas bukan mengharamkan pembelian atau penggunaan sauna.

    Sauna boleh dibeli dan digunakan, tetapi gunakansecara bijak utk kesihatan dan amalkan senaman utk kesihatan dan pengurusan badan.

    itu sahaja. So, nothing to be scared about guys. Open up your mind.

  5. i stuju dgn (sha January 11, 2011 at 9:40 am). stakat ini i bt sauna dah 3 weeks, diet herbalife n workout. berat i dah trn 8kg,kulit i mkin cntik, selulit semakin hilang, kelemumur n gatal2 kulit kepala pon ilang. maknanye…info kebaikan sauna tu ada buktinye..

  6. Terima kasih berkenaan info diatas.Sangat berguna bagi orang yang hendak memahami secara saintifik.Memang benar sauna itu baik untuk kesihatan tetapi hendaklah digunakan dengan cara yang betul. Jangan tersalah faham.Sambil kita bersauna hendaklah kita menjaga permakanan seharian.Sauna itu hanya untuk menambahbaikan kepada yang lebih baik.Bagi saya tidak rugi seseorang untuk beli sauna ttp mestilah dengan tujuan yang betul.

  7. Btl kate sha n sakura. Sauna ade kbaikan die. Tp kte jgnlah nk hrpkn sauna je. Nk jge kshtn bnyk lngkh, bkn 1. Spe2 dh bli, gne je, dismping mngamalkn pmaknn n aktivti sht yg len~~

  8. 1st time sauna atau lama tak sauna mula lah pening & muntah. Mmg takan kurus klu sauna, tp klu sesetengah org tu yg water retention, mmg ble ilang smpi 2kg. tp mase sauna ngan member2, ade tu langsung tak turun berat. Dulu free je sauna sbb member punye hehehe tp mmg best lepas sauna maybe tolong blood circulation. Tapi hanya sanggup paling lama 15 to 30 minit je, klu yg mandi tu, 10 minit dah tak sanggup… klu nk kurus, makan kena jaga, seimbang & bersenam, tu je cara. Tapi ade gak yg kate, aerobik pun xble kuruskan badan, biar btul.. apa beza aerobik ngan bersenam, dua2 kua peluh..hmm. tak kisah aa, klu tak kurus pun, kite aerobik gak at least supaya ade stamina.. tak kurus pun xpe, janji sihat…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>