Senarai manusia tergemuk di dunia

Entri kali ini aku hendak menyenaraikan 5 individu yang telah disyaki obese pada tahap melampau (morbid obese) oleh Polis Anti-obesiti Sedunia (PAS, tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik). Tujuan aku, setiausaha sulit SS, mendedahkan 5 suspek ini bukanlah hendak mengaibkan suspek-suspek yang berkenaan, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga agar anda tidak terjerumus ke ‘jenayah’ sivil yang sama, atau anda akan didakwa di bawah akta kesihatan sedunia.

Sebahagian suspek-suspek ini mungkin tidak bernasib baik kerana dilahirkan dengan kelenjar thyroid yang gagal berfungsi dengan baik (kelenjar yang lebih dikenali sebagai ‘cpu’ kepada metabolisma manusia), namun anda tidak mustahil menjadi salah seorang daripada mereka sekiranya anda gagal menjaga diri anda sendiri mulai sekarang!

Berikut adalah butiran 5 individu yang disyaki:

1 – Jon Brower Minnoch

Dilahirkan pada 29 September 1941, beliau merupakan lelaki paling gemuk dalam sejarah dunia. Dengan berat maksimum mencecah 634kg, beliau menerima tempias obesiti seawal usia kanak-kanak lagi dan jangan terkejut, berat badannya sudah mencecah 132kg meskipun usianya baru mencecah 12 tahun!

Dimasukkan ke hospital pada tahun 1978 pada usia 37 tahun akibat kegagalan kardiak dan pernafasan, beliau menerima rawatan penurunan berat badan di hospital (penurunan berat beliau sebanyak 419kg merupakan yang paling besar dalam sejarah), namun penyakit Edema yang datang menyukarkan lagi keadaan. Hari demi hari, penyakit Edema beliau menjadi terlalu kronik sehingga doktor yang merawatnya berkata. “Beliau tidak boleh dirawat lagi”. Tidak sampai setahun setelah rawatan Edema diberhentikan, beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 10 September 1983 dengan berat 362kg dan BMI 105.3!

.

2 – Manuel “Xavier” Uribe

Dilahirkan pada 11 Jun 1965, beliau merupakan individu paling gemuk masa kini (masih hidup) dan memegang rekod tersebut dengan “bangganya”. Mula menjadi obese apabila meningkat remaja sehinggalah beliau tersedar dirinya sudah obese apabila usia sudah mencecah 20 tahun, beliau pernah mempunyai berat badan maksimum sehingga 597kg.

Beliau setakat ini telah berjaya menurunkan 1/3 daripada berat badan beliau dengan berpandukan “Diet Zone” yang dipantau sepenuhya oleh barisan para doktor dan pakar nutrisi. Kesan utama daripada kegemukan melampau yang beliau alami ialah, beliau menghidapi lymphedemas (bengkak melampau) pada kedua belah kakinya, sehingga menyukarkan beliau untuk berjalan seperti manusia normal.

Sehingga kini, beliau tidak boleh bergerak ke mana-mana dan hanya terlantar di atas katilnya sahaja untuk bertahun-tahun lamanya. Dan meskipun badan beliau adalah seperti ini, beliau sudah bernikah sebanyak 2 kali! (Whoaa, aku pun tercabar macam ni!)

Canteekkk… jom pergi Tesco? Kita beli jajan…

.

3 – Carol Yager

 

Dilahirkan pada 26 Januari 1960, beliau pernah memegang rekod wanita paling gemuk di dunia dan pernah mencapai berat badan maksimum sehingga 727kg!

Berat badan beliau disyaki mula bertambah apabila beliau telah dicabul kehormatannya oleh ahli keluarga terdekat ketika remaja. Sejak dari itu, beliau merasa tertekan lalu menjadikan makanan sebagai pendamping dan kawan karib. Pertambahan berat badan giat berlangsung sehinggakan sampai satu ketika, beliau tidak mampu untuk berdiri mahupun berjalan memandang ototnya tidak mampu lagi menampung berat badannya.

Beliau meninggal dunia pada 18 Julai 1994 di rumahnya pada usia semuda 34 tahun disebabkan penyakit buah pinggang dan kegagalan beberapa organ berfungsi. Rumor mengatakan yang beberapa ahli bomba dan penyelamat terpaksa memecahkan tingkap rumahnya hanya untuk membawa mayat beliau keluar dari rumah. Siapa kata kegemukan itu comel?

.

4 – Walter Hudson

Rekod kelahiran tidak sahih (1944), walaubagaimanapun beliau meninggal dunia pada 24 Disember 1991 ketika sedang tidur nyenyak di kamar tidur (tidakkah ini menakutkan?). Berat maksimum yang pernah dicapai beliau ialah 544kg dan semasa hayatnya juga, beliau pernah tersekat di pintu bilik mandinya sehinggakan pasukan penyelamat terpaksa datang menyelamat dan memecahkan dinding untuk menyelematkan beliau!

Bagi beliau, pengambilan sebuku roti, 4 biji ubi kentang, 4 biji ubi keledek, 4 ketul brokoli, 2 kotak sosej, 1lb bacon, 12 biji telur, 8 biji burger, 8 kotak kentang goreng, 3 potong stik ham, 2 ekor ayam, dan 36 gelas air bergas dalam sehari merupakan menu harian yang biasa!

.

5 – Rosalie Bradford

Dilahirkan pada 27 Ogos 1943, beliau yang pernah mencecah berat maksimum sehingga 544kg merupakan pemegang rekod dunia Guinness sebagai wanita paling banyak mengalami penurunan berat badan (416kg).

Ketika zaman kanak-kanak, beliau akan menjadikan makanan sebagai kawan karib terutama apabila berasa tertekan (tidak dinafikan perempuan lebih cenderung untuk makan dan terus makan apabila tertekan). Maka dengan itu, janganlah terkejut apabila ketika beliau berusaha 14 tahun, beratnya telah bertambah sebanyak 48kg hanya dalam masa setahun!

Beliau pernah mencuba untuk membunuh diri dengan menelan pil-pil tahan sakit pada tahun 1998 kerana tertekan dengan masalah berat badannya, seorang cikgu fitness di sana (Amerika Syarikat) bernama Richard Simmons datang untuk membantu. Dari situ, beliau secara perlahan-lahan berjaya menurunkan berat badan dengan banyak. Beliau, sama seperti mereka yang lain meninggal di atas katil hospital pada tanggal 29 November 2006.

Komen SS: Apakah tujuan aku membuka kembali fail-fail 5 suspek di atas? Adakah sekadar untuk suka-suka mengaibkan mereka yang maha obese, atau…? Apakah persamaan di antara kelima-lima kisah di atas? Tidakkah anda semua mempelajari sesuatu daripadanya? Obesiti, oh obesiti…

Comments

  1. By aneesya

    Reply

  2. By Wadi AR

    Reply

  3. By relax

    Reply

  4. By dka

    Reply

  5. By Kamal Ikhwan

    Reply

    • Reply

  6. By wani

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *