Siri Khas Postur: Manusia vs Kereta (Bah. 5)

Sambungan dari Siri Khas Postur (Bah. 4)

Tahukah anda apa persamaan di antara MANUSIA dan KERETA? Kalau anda masih ingat, dahulu En. Susu Sejat ada membuat analogi antara jantung manusia dan enjin sebuah kereta, serta mengaitkannya dengan amalan gaya hidup sihat (En. SS selalu guna istilah “nafkah jantung” dan mengaitkannya dengan rutin “servis kereta”). Namun terdapat satu lagi persamaan yang mungkin kita terlepas pandang atau mungkin tak pernah ambil tahu.

kereta-vs-manusia

Persamaan yang saya maksudkan di sini adalah, kedua-dua manusia dan kereta diciptakan untuk BERGERAK. Betul, badan kita memang diciptakan supaya boleh bergerak. Ini merupakan perkara asas yang berlaku semenjak kita berada di dalam rahim ibu kita lagi. Setiap pergerakan pula disokong oleh beberapa sistem untuk memberikan kesan yang POSITIF atau NEGATIF dalam tubuh badan.

Oleh sebab itulah, sekiranya kita kurang bergerak, maka penyakit pun akan mudah datang kepada kita.  Itulah sebabnya, saya dan SS mendidik anda semua untuk bersenam kalau hendak menurunkan paras lemak di dalam badan, bukan hanya mengambil produk/suplemen tetapi DUDUK DIAM-DIAM. Bila paras lemak turun, risiko mendapat penyakit kronik juga menurun.

Kembali kepada topik asal kita. Pergerakan adalah suatu perkara yang sangat luas untuk diperkatakan. Contohnya sebuah kereta. Ia bergerak dengan menggunakan enjin, tapi adakah anda tahu kereta juga boleh bergerak TANPA MENGGUNAKAN ENJIN? Nak tahu bagaimana? Jawapannya mudah. Tentulah dengan cara menolaknya (ala, macam anda selalu buat ketika kereta anda down tu)!

sistem-kereta

Sepatutnya, untuk kereta bergerak, ia akan menggunakan sistem yang telah direka dalam kereta itu. Contohnya, bateri akan pertama sekali mengaktifkan elektrik ke sistem enjin kereta untuk bersedia dan apabila di’krank’, enjin tersebut akan dihidupkan. Karburator akan menghantar minyak ke seluruh bahagian enjin, enjin menghasilkan daya tujahan dan daya ini ‘dihantar’ ke sistem gear seterusnya ke jajaran tayar lalu kereta sedia untuk digerakkan.

Walaubagaimanapun, kereta masih boleh bergerak tanpa menggunakan sistem tersebut. Seperti yang saya sebut sebelum ini, dengan cara menolaknya, atau barangkali akan ada lembu atau kuda yang menariknya. Namun adakah pergerakannya akan menjadi lebih efisyen, mantap, laju, sempurna? Mana yang lebih efisyen, menggunakan sistem sedia ada yang terdapat di dalam kereta, atau ditolak/tarik dengan kudrat yang lain?

Begitu juga kesnya dengan pergerakan manusia. Otot kita telah dikhaskan untuk tugas-tugasnya yang tersendiri. Ada otot yang major (prime mover) dan ada otot yang minor (synergist) dalam pergerakan.

Apabila postur kita berubah, pergerakan antara otot major dan minor turut berubah. Saya bagi satu contoh. Ada di antara kita yang pernah sakit pada bahagian lutut yang mana lutut tidak boleh dibengkokkan. Anda seterusnya sedaya upaya cuba untuk mengelak dari membengkokkan lutut, lalu anda akan berjalan dengan cara yang luar dari kebiasaannya. Kaki yang sakit akan sengaja diluruskan, bertujuan melindungi lutut anda dari dibengkokkan. Lama-kelamaan anda akan mendapat sakit di bahagian pinggang pula kerana tulang pinggul anda tidak sejajar dengan kedudukan yang sepatutnya. Situasi ini berlaku kerana otot-otot tidak lagi mengikut sunnatullah nya.

Postur di dalam kedudukan yang tidak betul boleh mengakibatkan sakit sendi

Postur di dalam kedudukan yang tidak betul boleh mengakibatkan sakit sendi

ALIGNMENT

Ramai yang tidak tahu tubuh badan kita juga perlu dibuat alignment bagi memastikan ia berada pada jajaran yang betul, sama prinsipnya dengan membuat alignment tayar kereta. Hanya orang yang bertauliah sahaja yang boleh melakukan alignment seperti ini. Mereka antara lain termasuklah Pengamal Terapi Fizikal, Exercise Therapist, Chiropractor dan mereka yang mempunyai ilmu berkaitan postur dan pergerakan. Anda pasti tidak mahu tukang kebun untuk membuat alignment pada tayar kereta kesayangan anda bukan?

Alignment postur penting kerana ia memastikan tubuh badan kita berada pada jajaran yang betul; apabila berada pada jajaran yang betul maka risiko kecederaan ketika bergerak (lebih-lebih lagi ketika bersukan dan bersenam) dapat dielakkan. Sama juga halnya dengan tayar kereta. Sekiranya tidak berada pada jajaran yang betul, tayar kereta akan mudah haus pada bahagian tepi sekali gus memendekkan jangka hayat tayar, di samping pemandu juga terdedah pada risiko kemalangan.

Oleh itu, sebagai mana anda sayangkan kereta anda, sayangilah juga badan anda. Jagalah postur anda dengan betul melalui amalan senaman yang sistematik dan betul, bukan bersenam ikut YOUTUBE, ikut KAWAN, ikut BUKU, ikut POSTER dan ikut mana-mana sumber tanpa mengkaji kesannya terhadap badan anda terlebih dahulu. Sekiranya anda berminat untuk mendalami topik ‘alignment’ ini, anda dijemput untuk menyertai seminar Sihat Holistik dan saya akan melakukan sedikit demo dalam membetulkan ‘alignment postur’ anda.

Bersambung…

Muhamad Bahagia

Biodata Penulis: Muhamad Bahagia bin Jemali adalah Jurulatih Peribadi, Terapi Senaman, Pengamal SMART (Spinal Motion Alignment and Restoration Technique) yang bertauliah di bawah naungan Malaysia Society For Complementary Medicine (MSCM). Pengalaman luas dalam bidang kecergasan dan kesihatan lebih 10 tahun telah menjadikan beliau seorang yang mahir dalam pergerakan (biomekanik) manusia. | Facebook 

*********************************************************

Kepada yang berminat menyertai seminar memantapkan ilmu diet dan senaman, ‘Sihat Holistik’, bolehlah menghubungi En. Muhamad (013-7277007). Masih ada kekosongan lagi untuk lokasi-lokasi berikut: Kemaman – 12 September 2014; Kuala Terengganu – 13 September 2014; Melaka – 20 September 2014. Maklumat lanjut boleh rujuk di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *