Siri Khas Postur: Pengenalan (Bah. 1)

Berapa ramai antara kita yang mempunyai kesedaran mengenai postur badan mereka? Saya percaya pasti tak ramai. Malah mungkin ada antara kita yang tidak tahu bahawa postur badan juga boleh mempengaruhi kesakitan pada beberapa bahagian sendi dan tulang. Selalunya bila dah sakit sendi atau terseliuh, baru kita akan ‘concern‘ dengan postur, betul?

postur

Postur juga sering digunakan dalam menggambarkan bagaimana struktur badan kita untuk beberapa posisi antaranya seperti duduk, berdiri dan baring. Justeru penjagaan postur yang betul adalah penting kerana ia meletakkan badan anda dalam penjajaran yang mana tekanan kepada tulang belakang dan pergerakan yang menyokong ligamen, tendon dan otot adalah terhad. Sekiranya anda mempunyai postur yang tidak baik, ianya boleh mendedahkan diri anda kepada ketidakselesaan dan kecederaan.

Kepentingan menjaga postur  

Keadaan postur badan yang baik dapat meletakkan berat badan anda dalam jajaran yang sama di mana tekanan dapat diagihkan dengan betul kepada otot dan ligamen.  Kesannya, otot dapat bekerja dengan cekap dan efisyen, seterusnya dapat mengurangkan berlakunya ketidak-selesaan semasa melakukan pergerakan di samping mengurangkan berlakunya Artritis Degeneratif atau nama lainnya Osteoarthritis  (kerosakan lapisan tulang rawan di persendian tulang).

osteoarthritis

Apabila otot, sendi dan ligamen bekerja seperti yang sepatutnya, organ-organ penting dalaman anda mampu untuk kekal dalam kedudukan yang betul dan sistem saraf dapat berfungsi secara normal.

Senario lazim – terseliuh

Saya percaya, anda pernah mengalami kecederaan. Mari kita lihat satu contoh.

ali-terseliuh

Arsenal's Koscielny walks out of the pitch after an injury during their Champions League qualifying soccer match against Fenerbahce in Istanbul

Jadi tahukah anda mengapa Ali berjalan terhenjut-henjut? Hal ini adalah kerana dalam sistem badan kita, terdapat satu mekanisma pertahanan (defence mechanism) yang akan cuba ‘melindungi’ bahagian yang sakit.  Sekiranya kaki kanan Ali terseliuh, semua otot kaki kanan akan melindungi kecederaan tersebut daripada menjadi lebih parah dan pergerakan Ali (beban) akan beralih ke sebelah kiri.

Sekiranya Ali mengalami kecederaan selama sebulan, selama tempoh itu jugalah kaki kiri Ali akan menanggung bebanan yang sepatutnya ditanggung kaki kanan.  Lama kelamaan, kaki kiri Ali akan mula sakit akibat pergerakan yang tidak sejajar.  Sekiranya Ali tidak bernasib baik, sebaik sahaja kaki kanan Ali pulih, lutut kanan Ali pula mula merasa sakit akbibat bebanan yang terpaksa ditampung sebelum ini.

Saya percaya ramai yang pernah mengalami senario yang berlaku di atas dan apabila kecederaan berlaku, ianya akan mengganggu ritma pergerakan manusia dan akan mewujudkan apa yang dikenali sebagai KETIDAKSEIMBANGAN OTOT (Muscle Imbalance).

Bersambung…

Muhamad Bahagia

Biodata Penulis: Muhamad Bahagia bin Jemali adalah Jurulatih Peribadi, Terapi Senaman, Pengamal SMART (Spinal Motion Alignment and Restoration Technique) yang bertauliah di bawah naungan Malaysia Society For Complementary Medicine (MSCM). Pengalaman luas dalam bidang kecergasan dan kesihatan lebih 10 tahun telah menjadikan beliau seorang yang mahir dalam pergerakan (biomekanik) manusia. | Facebook 

*********************************************************

Kepada yang berminat menyertai seminar memantapkan ilmu diet dan senaman, ‘Sihat Holistik’, bolehlah menghubungi En. Muhamad (013-7277007). Masih ada kekosongan lagi untuk lokasi-lokasi berikut: Kemaman – 12 September 2014; Kuala Terengganu – 13 September 2014; Melaka – 20 September 2014. Maklumat lanjut boleh rujuk di sini.

Comments

  1. By azlina

    Reply

  2. By Lina Abd Wahab

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *