Siri Khas Postur: Pentingnya Menjaga Postur (Bah. 4)

Sambungan dari Siri Khas Postur (Bah. 3)

Dalam artikel sebelum ini, kita telah melihat secara kasar beberapa jenis masalah postur yang biasa terdapat dalam populasi kita pada hari ini. Mengapa kita perlu menjaga postur? Pentingkah untuk menjaga postur? Ramai yang tertanya-tanya, apakah kesan yang akan berlaku sekiranya postur kita berubah.  Begini, saya beri satu analogi.

Kita pernah belajar sains semasa di sekolah dahulu. Otak kita berfungsi untuk memproses dan menghantar maklumat ke seluruh badan melalui tulang belakang (saraf tunjang). Ibaratkan tulang belakang tersebut sebagai ‘tiub’ yang melindungi saraf. Sekiranya tulang belakang dalam jajaran yang baik, maklumat dari otak akan bergerak dengan baik melalui saraf untuk disampaikan ke semua bahagian (otot dan organ). Namun sekiranya postur tidak berada dalam jajaran yang baik, maka proses penghantaran maklumat/isyarat pasti akan sedikit ‘terganggu’ secara teorinya. Setuju?

disc-postur

Cuba perhatikan 2 gambar di atas.  Gambar 1 adalah gambar dimana tulang belakang berada di dalam jajaran yang betul manakala Gambar 2 adalah tulang belakang yang telah lari dari jajarannya.

Mengapa ia boleh terjadi?  Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada berlakunya situasi ini antaranya gaya hidup, cara kerja, ketidakseimbangan otot dan banyak lagi. Ibaratkan seperti tayar kereta, jajarannya pasti boleh ‘lari’ dari yang sepatutnya bergantung pada cara anda mengendalikan kereta tersebut (saya akan kupas lebih lanjut mengenai perbandingan antara fungsi sistem rangka manusia yang amat mirip dengan kereta dalam Bahagian 5 nanti).

Apabila kedudukan tulang belakang tidak berada pada jajaran yang betul, maka isyarat yang melalui saraf juga tidak dapat dihantar dengan betul.  Apabila saraf tersepit di bahagian tulang belakang, ia boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada kita seperti merasa kebas, semut-semut dan banyak lagi (masalah ini biasa terjadi pada mereka yang tidak mempunyai postur tulang belakang yang betul).

SLIPPED DISC

Salah satu masalah yang sering berlaku pada hari ini adalah Slipped Disc. Disc merujuk kepada satu bahagian atau ‘ruas’ pada sebatang tulang belakang (bayangkan seperti ruas buluh). Jajaran Disc secara tersusun akan membentuk apa yang dikenali sebagai tulang belakang kita.

Slipped pula bermaksud “teralih” atau lari dari kedudukan yang sepatutnya. Slipped Disc amat sinonim berlaku pada mereka di peringkat umur pertengahan 20 hingga 50 tahun terutamanya mereka yang memandu terlalu lama (bekerja sebagai pemandu). Selain itu, mereka yang obese turut berisiko mengalaminya selain dari kemalangan kecil seperti terjatuh.

disc-postur-2

Slipped disc berlaku apabila disc yang lari ini akan menekan urat saraf di belakangnya (Rajah di atas).  Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus keluar dan menekan urat saraf.  Ini menyebabkan sakit belakang yang teramat dan akan turun ke kaki.  Pesakit juga akan berasa kebas dan lemah kaki.

Saya tidak akan mengupas dengan lanjut bagaimana Slipped disc berlaku. Perkara ini akan saya kupas dengan lebih mendalam dalam Bengkel Sihat Holistik. Pokoknya di sini, ingin saya beritahu apabila postur tidak berada pada jajaran yang sepatutnya, maka anda akan mudah terdedah kepada kecederaan dan salah satunya adalah Slipped Disc

FORWARD HEAD

Sangat ramai yang menghadapi masalah postur ini di mana kedudukan kepala berada ke hadapan berbanding bahu (rujuk Bahagian 2 Analisis postur anda sebelum ini).  Mungkin anda rasa postur sebegini adalah perkara biasa. Akan tetapi juruterapi senaman (Exercise Therapist) seperti saya boleh membuat penilaian secara visual mengenai masalah yang dihadapi oleh klien dengan hanya MELIHAT KEPADA POSTUR BADAN.

kepala-kedepan

Gambarajah di atas menunjukkan apabila jajaran di bahagian tulang belakang berubah, maka pusat graviti (Centre of Gravity) juga akan berubah kedudukannya. Semakin kehadapan postur badan kita, semakin tinggi beban yang terpaksa ditanggung oleh kawasan cervical (leher / tengkok).

Seseorang yang mempunyai masalah Forward Head (biasanya) akan kerap merasa sakit kepala disebabkan oleh saraf-saraf di cervical tidak berada pada jajaran yang baik. Antara pengalaman saya ketika membantu klien yang menghidapi simptom Forward Head ini ialah, selepas sesi rawatan, mereka sendiri merasakan kepala mereka menjadi sangat ringan, mata kembali terang, nafas semakin dalam, bahu semakin relaks dan banyak lagi perubahan positif yang berlaku pada diri mereka.

Mengapa terjadinya Forward Head?

Ramai tidak sedar tabiat kita di zaman moden pada hari ini banyak membawa kepada masalah postur, antaranya Forward Head ini. Tuntutan kerja dan aktiviti seharian seperti…

forward-head

banyak membuat kerja di hadapan komputer…

typical-driving-posture

dan memandu kereta…

sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah ini. Tengahari tadi, en. susu sejat ada mengirimkan pada saya dua gambar dan meminta saya memberikan komen berhubung kesan tempat duduk kereta terhadap postur di samping penggunaan alat sokongan belakang (saya panggil Dr. Back Pain). Berikut adalah komen saya (rakaman suara).

seat-kereta

Komen saya berhubung kerusi tempat duduk kereta di atas (2 audio files):

alat-sokongan

Komen saya berhubung “Dr. Back Pain” (2 audio files):

lumbar

Bersambung…

Muhamad Bahagia

Biodata Penulis: Muhamad Bahagia bin Jemali adalah Jurulatih Peribadi, Terapi Senaman, Pengamal SMART (Spinal Motion Alignment and Restoration Technique) yang bertauliah di bawah naungan Malaysia Society For Complementary Medicine (MSCM). Pengalaman luas dalam bidang kecergasan dan kesihatan lebih 10 tahun telah menjadikan beliau seorang yang mahir dalam pergerakan (biomekanik) manusia. | Facebook 

*********************************************************

Kepada yang berminat menyertai seminar memantapkan ilmu diet dan senaman, ‘Sihat Holistik’, bolehlah menghubungi En. Muhamad (013-7277007). Masih ada kekosongan lagi untuk lokasi-lokasi berikut: Kemaman – 12 September 2014; Kuala Terengganu – 13 September 2014; Melaka – 20 September 2014. Maklumat lanjut boleh rujuk di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *