Susu Sejat bukan Krimer Sejat

Entri khas SS yang ke-300!

Pejam celik pejam celik, sedar sedar entri SS dah masuk entri yang 300. Ini bererti semenjak kewujudan blog SS pada 5 Mei 2010 sehinggalah pada hari ini, 21 Jun 2012 (Bersamaan dengan 2 tahun, 1 bulan dan 15 hari), aku telah pun mengarang 300 buah entri!

Bukan hendak berbangga dengan pencapaian sendiri, tetapi terasa macam tak percaya pula yang aku mampu menulis sebanyak tu. Terima kasih atas sokongan para pembaca yang tidak berbelah bagi, ada detik aku merasakan yang aku sepatutnya berhenti menulis, tetapi sokongan para pembacalah yang menguatkan lagi semangat aku untuk menulis. Terima kasih atas sokongan anda untuk 300 entri ini, terima kasih atas sokongan anda terhadap Susu Sejat selama 2 tahun lebih ini.

Untuk entri yang ke-300 ini, aku ingin membicarakan sesuatu yang masih lagi berilmiah tetapi dalam nada yang ringkas dan santai. Ia berhubung dengan soalan yang paling popular aku terima sebelum ini:

Kenapa nama blog anda ini ‘Susu Sejat’?

Bukankah Susu Sejat itu sesuatu yang tak sihat, berkrim, apa pula kena mengena ‘Susu Sejat’ dengan blog kesihatan atau gaya hidup?

Tak kurang juga soalan yang aku terima, “Susu Sejat ni produk apa pula ye? Minum Susu Sejat boleh jadi langsing ke? Ini shake (minuman diet) jenis baru pulak?

Aku tak salahkan semua yang bertanyakan soalan ini, kerana aku pada asalnya juga khabur akan definisi “Susu Sejat”, sebelum aku mengenali apa itu Susu Sejat sebenarnya. Ini kerana Susu Sejat sering kali dikaitkan dengan sesuatu yang berkrim, sesuatu yang digunakan untuk masakan berlemak seperti kari, atau pun sebagai ‘topping’ untuk ais kacang. Kekeliruan penggunaan perkataan ini berlaku kerana masyarakat kita yang sesuka hati memanggil sesuatu berdasarkan produk sejenisnya yang popular. Sebagai contoh:

1. Untuk semua jenis produk Mee Segera, kita akan memanggil ia sebagai “Maggi/megi”, tak kisahlah jenama apa pun, kita akan tetap panggil ia “Maggi/megi”.

2. Untuk semua jenis lampin pakai buang, kita akan menyebutnya sebagai “Pampers”, tak kisahlah jenama apa pun, Mami Poko ke, Huggies ke, kita tetap menyebutnya sebagai “Pampers”.

Kenapa “Maggi” dan “Pampers” itu yang mendapat nama, sedangkan ia juga merupakan produk yang tiada bezanya dengan produk-produk sejenisnya yang lain. Apa bezanya “Maggi” dengan “Cintan”, atau “Ibumie”? Apa bezanya “Pampers” dengan “Huggies”? Ini kerana dalam kategori makanan mee segera, “Maggi” itu lebih awal mendapat nama dan popular berbanding dengan jenama yang lain. Sama juga halnya seperti “Pampers”.

Sekarang masalah penyalahgunaan perkataan ini juga telah terkena tempias kepada “Susu Sejat” dan “Krimer Sejat”. Sedangkan kedua-dua ini terdapat banyak perbezaannya. Banyak!

Susah nak cari “Susu Sejat” sebenar tanpa perkataan “penuh krim”

Susu Sejat (Takrifan) – Adalah susu lembu segar yang telah ‘disejatkan’ kandungan airnya supaya kelihatan lebih pekat. Komposisi nutrien (Karbohidrat, Protein, Lemak) dan mikronutrien adalah masih sama seperti susu lembu segar biasa. Yang bezanya cumalah isipadu. Andaikata segelas susu lembu biasa mengandungi lebih kurang 10g Karbohidrat, 7g Protein dan 8g Lemak, maka untuk Susu Sejat, dek kerana kandungan airnya telah dibuang/disejatkan sedikit, maka setengah gelas atau mungkin 1/3 gelas Susu Sejat masih mengandungi 10g Karbohidrat, 7g Protein dan 8g Lemak, dan juga masih mengandungi beberapa mikronutrien lain seperti Vitamin A, D dan Kalsium.

Mungkin ada yang bertanya, apa tujuan mereka ‘sejatkan’ kandungan air dalam susu lembu segar? Ini kerana pada zaman kolonial dahulu, pihak pemerintah mahu mengeksport sebanyak mungkin susu dari kawasan ternakan lembu ke kawasan jajahan lain, tetapi yang menjadi masalah di sini adalah ruang penyimpanan yang terhad dalam kapal dagangan. Maka dengan mengurangkan kandungan air, tetapi masih mengekalkan nutrien-nutrien lain, maka ruang penyimpanan dapat dijimatkan. Bijak bukan?

Krimer Sejat (Takrifan) – Adalah sebahagian susu lembu segar yang telah dibuang air, dan beberapa kandungan nutrien lain seperti lemak (juga dikenali sebagai pepejal susu), yang mana kemudiannya akan ditambah dengan beberapa bahan luar, antaranya lemak dari sumber tumbuhan, supaya ia berasa lebih berkrim, lazat dan berlemak.

Ini bukan “Susu Sejat”, tapi orang kita ni panggil ini dengan nama “Susu Sejat”. Tak semena-mena “Susu Sejat” yang asalnya menyihatkan itu dapat reputasi buruk.

Sekarang anda nampak perbezaan antara kedua-dua Susu Sejat dan Krimer Sejat? Masalahnya sekarang, perkataan Krimer Sejat ini tidak popular, dan perkataan Susu Sejat itu lebih popular digunakan sejak zaman datuk nenek kita masih kecil. Apabila produk-produk baru Krimer Sejat dikeluarkan pada hari ini, kita akan tetap memanggilnya dengan panggilan “Susu Sejat” kerana sudah terbiasa dengan istilah “Susu Sejat” sejak dahulu lagi. Implikasi dari perbuatan kita ini, Susu Sejat yang asal telah mendapat reputasi buruk dan disalah tafsir sebagai berlemak dan tidak menyihatkan. Sedangkan jika anda menuang  Susu Sejat yang sebenar ke dalam gelas sebanyak 1/3 gelas, kemudian menambah lagi dengan air kosong sehingga memenuhi gelas tersebut, lalu minum, anda sebenarnya sedang minum susu lembu yang asal!

Sekarang balik kepada persoalan asal, kenapa blog ini diberi nama Susu Sejat? Ini kerana pertama, Susu Sejat adalah sama seperti Susu Lembu, diminum kerana minuman yang wujud sejak zaman para nabi ini sememangnya minuman yang berkhasiat, cukup semua nutrien seperi karbohidrat, lemak, protein, kolestrol (untuk pertumbuhan), Vitamin A, D, B kompleks, Kalsium, dan beberapa mineral lagi yang terkandung di dalamnya. Dah macam superfood bukan?

Kedua, Susu Sejat adalah sumber inspirasi kepada pembentukan blog ini. Seperti yang aku beritahu awal-awal tadi, Susu Sejat adalah ciptaan yang bijak! Diulangi, ciptaan yang bijak, dan direka agar bermanfaat untuk semua golongan masyarakat!

Comments

  1. By mieja

    Reply

  2. By shah

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *