Susu Sejat dan 2012

Petang tadi saya menonton rancangan “Jendela Dunia” di TV3, rancangan yang mana memaparkan soroton peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2012. Bila tonton rancangan seperti ini, saya rasa ramai yang bersetuju dengan saya, bahawa rata-rata peristiwa yang dikupas itu seolah-olah baru semalam sahaja berlaku, sedangkan kesemuanya berlaku dalam masa setahun. Cepatkan 366 hari itu berlalu?

Selesai menonton rancangan ini, saya mendapat ilham untuk melakukan perkara yang sama untuk “Susu Sejat”. Saya duduk seketika, pejamkan mata dan mula mengenang semula apa yang dilalui oleh saya bersama “Susu Sejat” sepanjang tahun ini…

1. Tahun ini saya berjaya mengarang 56 buah entri (termasuk entri ini). Pencapaian ini bukanlah yang terbaik memandangkan pada tahun pertama Susu Sejat diwujudkan, saya pernah mengarang lebih 100 buah entri kurang dari tempoh setahun. Namun pada hemat saya, 56 masih lagi angka yang bagus, ini menunjukkan secara purata Susu Sejat akan ada sekurang-kurangnya satu pengisian baru (update) dalam seminggu.

Minyak yang dipicit dari seketul cucur udang

2. Entri pertama tahun 2012 dimulakan dengan pengenalan kepada kempen “picit makanan bergoreng”. Saya mendapat ilham untuk menaip entri ini ketika makan di sebuah restoran makanan segera. Makanan segera? Ya, saya tahu ia bukan pilihan yang baik, dan saya percaya ramai yang ‘tersepit’ dalam memilih sesuatu yang baik untuk dimakan sedangkan tiada pilihan yang baik pada ketika itu. Justeru, saya memikirkan satu alternatif untuk sedikit sebanyak mengurangkan kesan yang “tidak baik” itu agar menjadi lebih baik – maka lahirlah entri ini.

3. Beberapa minggu kemudian, saya mengarang lagi sebuah entri yang panjang bertajuk Teori Sel Lemak. Teori ini wajib diketahui oleh mereka yang berminat akan hubungkait di antara obesiti dan masyarakat, juga mereka yang telah menurunkan berat badan dan berhasrat untuk mengekalkannya. Ini kerana, walaupun anda telah turun berat badan, namun bilangan sel lemak dalam badan anda tidak akan pernah berkurangan, tidak kira seteruk mana rejim senaman yang anda lakukan. Harus tahu juga apa bezanya antara lemak dan sel lemak – kedua-duanya adalah entiti yang berbeza.

4. Saya berkesempatan untuk mengarang sebuah entri “rangkuman” untuk mereka yang pertama kali menjengah blog ini. Saya faham dengan masalah segelintir pembaca “newbie” yang kadang-kadang menjadi pening dengan lambakan info yang terlalu banyak, sehinggakan ada yang tersesat (meskipun saya sudah sediakan ruangan “Bacaan Wajib” pada menu blog di atas). Dengan adanya entri ini, diharapkan para-para “newbie” tidak akan tersesat lagi. Entri tersebut boleh dicapai di sini.

5. Tahun 2012 juga menyaksikan blog Susu Sejat buat pertama kalinya telah digodam oleh sekumpulan penggodam ‘pak arab’ yang tidak bertanggungjawab. Godaman telah mengakibatkan keseluruhan interface blog terpaksa di-reset semula dan beberapa fail dalam database seperti ebook dan nota subjek metabolisma milik saya dan sususejat (link private) hilang dalam sekelip mata. Pada ketika ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluh dan geramnya hati saya. Kisah lanjut kepada peristiwa ini saya abadikan dalam entri ini.

6. Salah satu ‘interest’ saya dan Susu Sejat adalah untuk melihat dan mengkaji penyakit  pandemik zaman moden iaitu Obesiti. Sepanjang tahun 2012, saya telah mengarang 4 buah entri berkaitan obesiti yang mana skopnya khusus untuk hubung-kaitnya dengan masyarakat (tahun 2011 dan 2010 juga ada banyak entri berkaitan obesiti dan masyarakat, dengan adanya 4 entri baru ini, koleksi entri berkaitan obesiti dalam blog SS lebih banyak dan mantap). 4 entri tersebut adalah:

Sekiranya anda mempunyai minat yang sama seperti saya (mendalami apa itu “obesiti”) dan ingin merujuk entri-entri dalam blog ini berkaitan Obesiti, anda boleh terus ke pautan berikut: Terjah Obesiti

Antara “milestones” lain yang berlaku dalam Susu Sejat di tahun 2012:

7. Tertubuhnya group (forum fb) Susu Sejat pada Mac 2012, hasil inisiatif beberapa geng SS yang tak puas nak berkomen dan berdikusi di page Susu Sejat sebelum ini. Objektif group ini tak lain dan tak bukan sebagai medium untuk pertukaran ilmu dan mengutarakan pendapat disamping menghimpunkan mereka yang mempunyai minat yang sama dalam bidang fitness / health.

8. Menganjurkan 2 pertandingan (contest) – “Snap, Upload dan Komen 2012” (dalam page fb) dan “Cabaran mini diet Eat-Clean” (dalam group fb).

9. Kempen bulan bersenam bersama SS, bermula awal Jun hingga pertengahan Julai, sebelum bermulanya Ramadhan (dari sini wujudnya moto “bersenam itu bagus”)

10. Projek Training Shirt pertama SS akhirnya berjaya direalisasikan, manifestasi kepada idea-idea yang tertangguh sebelumnya.

11. Tahun 2012 juga menyaksikan saya kurang “ekstrim” dalam menulis, tidak seperti sebelum ini entri-entri saya lebih disifatkan panas dan mengancam periuk nasi orang melayu terutamanya ketika saya mereview satu-satu alat atau trend (entri review sauna, terapi elektrostatik, potato spring). Niat ini mungkin disalahtafsirkan sesetengah pihak, meskipun hujah yang saya lontarkan menggunakan jurnal-jurnal saintifik dan penulisan saya itu hanyalah sebagai medium yang menghubungkan jurnal-jurnal ini dan pengguna.

12. Saya juga telah berhenti menggunakan kata ganti diri “Aku” dan mula menggantikan dengan kata ganti diri “Saya” ketika menulis. Kalau anda pembaca blog SS yang setia dan tidak pernah terlepas penulisan saya, saya pasti anda tahu entri yang mana merupakan titik permulaan kepada perubahan ini (cuba teka entri yang mana saya mula menggunakan perkataan “saya” dan berhenti menggunakan “aku”).

Demikian antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2012. Kalau nak baca baki 55 entri yang saya karang sepanjang tahun 2012, anda dialu-alukan untuk  menjengah ruangan arkib. Sebenarnya ada beberapa peristiwa pahit yang saya lalui sebagai blogger susu sejat, namun biarlah saya pendam peristiwa tersebut, tak perlu semua perkara itu diluahkan, betul tak? Tipulah kalau saya kata saya tidak pernah dicaci atau dikutuk secara belakang. Selagi saya minat untuk menulis, saya akan terus menulis, sehinggalah sampai satu masa yang saya tidak akan menulis lagi.

2012

2013 pasti datang dengan lebih banyak keceriaan, lebih banyak cabaran, lebih banyak pengisian, dan lebih interaktif. Selamat tinggal 2012, kita tidak akan bertemu lagi, tapi biarlah pengalaman bersamamu diabadikan dalam laman maya ini.

Demikian laporan tahunan 2012 dari saya.

Yang menurut perintah,

SS

Comments

  1. By Nasoha Nasri

    Reply

  2. By mas

    Reply

  3. By avo

    Reply

  4. By Muhammad Haszairi Shahadan

    Reply

  5. By din

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *