“Telur mata” ala rebus

{EAV_BLOG_VER:3931d2b66a751f51}

Apabila menyebut sahaja “Telur Mata”, pasti ianya akan sinonim dengan istilah “goreng” atau “minyak”. Yang membezakannya, mungkin telur mata yang dimasak oleh mamak kurang sedikit penggunaan minyak jika dibandingkan dengan warung-warung orang melayu (biasalah, harga minyak masak sawit kan murah, kasi banjir minyak tu pun tak apa). Melainkan jika anda menggoreng dengan non-stick frying pan (kuali tak melekat), tidak kisahlah jika ia digoreng dengan minyak yang sikit atau minyak yang banyak, ianya masih digoreng, dan oleh yang demikian kalorinya tetap sedikit tinggi berbanding telur yang direbus atau dimakan mentah.

Oleh yang demikian, pada entri kali ini aku dengan bermurah hatinya ingin berkongsi suatu resepi yang mungkin sedikit pelik bunyinya, tetapi hakikatnya memang itulah dia – “Telur Mata” ala rebus. Resepi ini adalah 100% sihat dan semestinya tidak akan sesekali merosakkan diet si penggemar “Telur Mata Kobau”.

Sama juga seperti persediaan menggoreng, kita terlebih dahulu perlu memanaskan air rebusan (pengganti minyak) sehingga mendidih. Oh ya, pastikan anda menggunakan kuali yang lebih cembung (bukannya leper seperti kuali empat segi burger pak Ramli tu) untuk memastikan proses “merebus” adalah lebih menyeluruh (ala-ala deep fried gitu).

Kemudian pecahkan telur dan masukkan ke dalam air rebusan yang sedang mendidih. Masukkan dengan perlahan-lahan. [Untuk pengetahuan semua, itu tangan mak saya, saya sayang mak saya, hehehe]

Kecilkan sedikit api untuk memastikan air rebusan tadi tidak terlalu membuak. Rasa-rasanya hasil “Telur Mata” kita mula kian kelihatan di sini.

Tutup seketika rebusan tadi dengan tudung periuk selama 1-2 minit untuk memastikan Telur Mata kita tadi cepat masak.

Sekiranya hampir kesemua telur putih kelihatan masak, maka anda sudah boleh berkira-kira untuk menyudip keluar Telur Mata ini.

Untuk menyudip keluar Telur Mata ini, ia memerlukan anda untuk lebih berhati-hati kerana Telur Mata ini lebih lembut berbanding Telur Mata yang digoreng dengan minyak. Lakukannya dengan perlahan-lahan.

Inilah hasilnya – “Telur Mata” ala rebus.

“Telur Mata” ala rebus ni pasti akan menggiurkan sesiapa sahaja yang melihatnya, bukan? Rasanya juga lebih lembut seakan-akan jeli, dan tak keterlaluan jika SS mengatakan kelembutannya adalah hampir sama seperti kelembutan isi kelapa muda.

Untuk pengetahuan semua, “Telur Mata” sebegini masih belum popular di Malaysia, dan masih belum dapat dilihat di mana-mana gerai atau kedai makan sekalipun. Maka dengan itu, SS amat mengalu-alukan mana-mana pengusaha kedai makan yang sedang membaca entri ini agar mempopularkan dan mengkomersilkan resepi ini – sedikit sebanyak ini akan membantu masyarakat kita dalam membanteras isu obesiti dan mengutamakan corak gaya hidup yang lebih berkualiti, disamping dapat juga mengurangkan kos berniaga (kurangkan penggunaan minyak masak). Mungkin anda juga (yang bukan pengusaha kedai makan) boleh membantu sama dengan menghebahkan resepi ini pada rakan-rakan atau sahabat handai anda. Selamat mencuba!

Nota Kaki: Al-Fatihah buat penulis blog humor Telurdibasuh yang telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi. Entri ini merupakan tribute buat arwah yang sering berseloroh berkenaan telur dengan rakan-rakan blogger ketika menziarahi blog-blog mereka (blogwalking). Arwah amat dikenali rakan-rakan blogger di alam maya dengan identiti/tagline “Telur dibasuh, telur dimakan bersama-sama dengan kicap”. Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

Comments

  1. Reply

  2. By aziah

    Reply

  3. Reply

  4. By jalilah

    Reply

  5. By nhm

    Reply

  6. By nina lee daud

    Reply

  7. By NorMah

    Reply

  8. By tan

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *