Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 6)

Nampak gayanya masih banyak mitos yang menerewang di pelusuk-pelusuk kampung pedalaman, meskipun broadband dan 3G sudah wujud sejak akhir-akhir ini. Kali ni mitos apa pula ya?

17Omega-3 dalam Ikan Sungai (bela)

Tersurat: Mak Ngah Gelap baru sahaja pulang dari Pahang, membawa pulang banyak ikan patin lalu dimasaknya masak lemak tempoyak ikan patin. Berikut adalah perbualan di antara beliau dengan anak menakan kesayangannya, Senah Da Legend.

“Ni Senah, Mak Ngah masak ikan patin, banyak ni, makan noo”

“Ini ikan sungai ka ikan bela Mak Ngah?”

“Bela kot.. mughah (murah) semacam ja. Sekoq (seekor) dua kupang lima duit (25 sen)”

“Mak aih.. mughah sangat tu, takkan la..”

“Betui la Senah.. tu yang aku bawak balik 5 plastik tu, hang jangan tak makan noo”

“Isk.. kalau hak bela, tak mau la makan. Lemak tinggi, kalori tinggi”

“Apa dia? Naik Loghii?? (lori)”

“Tak, K.A.L.O.R.I. Nak teghang (terang) pun payah, che’s tak beghapa pandai. Mak Ngah pi la baca kat internet, kat Susu Sejat dot kom”

“Amboi amboi hang Senah. Tak abeh abeh Susu Sejat dot kom hang. Dia tu sapa? Dia ingat dia baguih? Ni, Mak Ngah dot kom nak habak mai, Ikan patin ni baguih. Lemak ikan patin ni baguih. Pasai apa? Pasai dia kaya dengan Omega-3”

“Mana Mak Ngah tahu pasai Omega-3?”

“Mak Ngah baca kat Reader’s Digest la! Depa cakap, lemak ikan ni baguih, kaya dengan Omega-3, baguih untuk jantung, dijamin sihat.. hang tengok ni.. tengok ni.. slurpp.. slurppp (sambil menghirup lemak yang terdapat pada perut ikan patin tersebut dengan lahapnya)”

Tersirat: Asid lemak omega 3 telah terbukti secara klinikal penting untuk kemandirian tubuh (fungsi utama membrane sel), di samping mencegah kita daripada penyakit-penyakit kronik seperti stroke, sakit jantung dan diabetes. Walaubagaimanapun, sejak zaman nabi Adam lagi tubuh badan kita tidak dapat menghasilkan omega 3. Maka dengan itu, hanya terdapat satu cara sahaja kita boleh mendapatkan omega 3, iaitu melalui diet.

Mungkin Mak Ngah Gelap lupa akan satu perkara. Memang Ikan mengandungi asid lemak omega-3 yang wujud dalam 2 bentuk berbeza: Eicosapentaenoic acid (EPA) dan Docosahexaenoic acid (DHA). Namun, kandungan asid lemak ini hanya wujud dalam kuantiti yang tinggi dalam ikan yang hidup di habitat laut dalam atau sungai dalam.

Secara teorinya, semakin jauh/semakin dalam habitat satu-satu ikan, maka semakin tinggi kandungan asid lemak omega-3 yang dimiliki. Rasionalnya terletak pada andaian bahawa habitat laut/sungai dalam ini jauh daripada sinaran matahari, dan ini bermaksud suhu persekitaran juga adalah jauh lebih sejuk berbanding suhu persekitaran di sekitar permukaan laut/sungai. Maka ikan laut/sungai dalam ini memerlukan lemak yang banyak menyelaputi mereka agar suhu dalaman tubuh dapat dikekalkan.

Dan mengapa pula hampir kesemua lemak yang wujud dalam ikan ini adalah lemak tak tepu (unsaturated fats), dan bukannya lemak tepu seperti yang wujud dalam lembu atau ayam? Jawapannya, lemak tepu mudah membeku, walaupun pada suhu bilik (perhatikan sahaja lemak yang terapung dalam sup tulang beberapa jam selepas dipanaskan), sedangkan sifat sebaliknya ada pada lemak tak tepu.

Lemak tak tepu agak susah untuk membeku, lebih cair dan ciri-ciri ini membuatkan ia sesuai untuk dijadikan sebagai membran sel (bahagian hydrophobic sesebuah membran). Sudah semestinya adaptasi ini harus ada pada ikan beriklim sejuk, dimana lemak yang menyelaputinya haruslah daripada jenis yang sukar membeku, dan oleh yang demikian, kita dapat memastikan hampir 100% lemak yang ada dalam ikan laut/sungai dalam adalah lemak tidak tepu, yang majoritinya dari kelas asid lemak Omega-3.

Selain itu, diet ikan itu sendiri juga yang akan menentukan jika mereka mengandungi kandungan omega-3 yang tinggi atau tidak. Seperti yang kita sedia maklum, tubuh badan kita tidak dapat menghasilkan asid lemak omega-3, begitu juga dengan organisma-organisma bertulang yang lain, dan ini termasuklah ikan.

Hakikatnya, omega-3 hanya dapat dihasilkan oleh hidupan berasaskan tumbuhan, seperti sumber kekacang, algae dan phytoplankton. Kebanyakkan algae dan phytoplankton pula tinggal di kawasan yang terdapat sedikit sahaja matahari, atau bahasa mudahnya, laut/sungai dalam. Ikan laut/sungai dalam mendapat omega-3 daripada algae dan phytoplankton, yang merupakan makanan utama dalam diet ikan-ikan berkenaan.

Hanya ikan yang habitatnya di laut/sungai dalam sahaja yang mengandungi kandungan asid lemak Omega-3 yang tinggi. Semakin dalam/sejuk habitat ikan tersebut, maka semakin tinggi kandungan Omega-3 yang dimiliki.

Setelah Susu Sejat menghuraikan kesemua fakta-fakta di atas, rasa-rasanya ikan patin yang dibela, seperti yang dibeli oleh Mak Ngah tadi tu mengandungi tinggi kandungan Omega-3 atau tidak? Memandangkan ikan dibela di sekitar permukaan sungai, sudah tentulah jawapannya TIDAK!

Meskipun omega-3 bagus untuk kesihatan, kalori tetap kalori. Makan secara berlebihan sesuatu yang berkalori tinggi akan cenderung menghasilkan kalori surplus, sekaligus mengakibatkan kegemukan.

Selepas 2 minggu, hanya kira-kira beberapa hari lagi nak Raya…

Mak Ngah Gelap: Oh my goat! oh my goat!

Senah: Awat (kenapa) Mak Ngah?? Awat dok teghiak lagu tu sekali?

Mak Ngah Gelap: Baju ghaya (raya) aku dah tak muat!!!!

*******

Setelah hampir 2 bulan tidak mengarang entri berkaitan “Mitos Zaman Moden”, ruangan ini akhirnya kembali menemui para pembaca SS. Untuk episod-episod sebelum ini, boleh rujuk pada capaian berikut (lebih ragam di antara Mak Ngah Gelap dan Senah di “Bahagian 5”):

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 1)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 2)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 3)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 4)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 5)

Comments

  1. By toffee

    Reply

  2. By Joy Kalonas

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *